KDN haramkan sebuah lagi buku Faisal Tehrani, 2 buku IRF


Noor Azam Shairi

Buku terbaru Faisal yang diharamkan bertajuk "Aku ____, Maka Aku Ada!" yang diterbitkan oleh Dubook Press Sdn Bhd. – Gambar Facebook, 3 Oktober, 2017.

KEMENTERIAN Dalam Negeri bertindak mengharamkan beberapa buah buku pemikiran Islam yang dianggap boleh mencetuskan keresahan dalam masyarakat termasuk buku penulis prolifik, Faisal Tehrani dan buku terbitan Islamic Reinassance Front yang baru saja minggu lalu berkonflik dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
 
Kesemua buku itu bagaimanapun dianggap oleh peneliti dan intelektual sebagai penulisan yang mengangkat kerencaman pemikiran dalam Islam dan cuba memecah benteng pemikiran yang jumud dalam kalangan umat Islam.
 
Buku Faisal Tehrani yang diharamkan oleh kerajaan bertajuk “Aku ____, Maka Aku Ada!” yang diterbitkan oleh Dubook Press Sdn Bhd pada 2015, menjadikan setakat ini kesemuanya tujuh buah buku hasil karya pensyarah itu yang telah diharamkan sejak 2013.
 
Faisal atau nama sebenarnya Mohd Faizal Musa pernah menerima Anugerah Seni Negara pada 2006, dan kini bertugas sebagai Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi.
 
Selain buku Faisal, Kementerian Dalam Negeri dalam warta berasingan turut mengumumkan pengharaman dua buku terbitan kumpulan pemikir IRF bertajuk Wacana Pemikiran Reformis (Jilid I) dan Wacana Pemikiran Reformis (Jilid II).
 
Pengasas dan pengarah IRF, Ahmad Farouk Musa yang dihubungi oleh The Malaysian Insight bagaimanapun belum bersedia untuk mengulas tindakan Putrajaya kerana masih sibuk menguruskan kesan pengharaman KDN ini.
 
Ahmad Farouk semalam memberi keterangan kepada Jawi atas dakwaan bersubahat dengan penulis Turki, Mustafa Akyol menganjurkan forum mengenai Islam tanpa tauliah di Kuala Lumpur pada 24 September lepas.

Berita pengharaman tiga buku ini menyusul laporan sekatan ke atas buku Mustafa, yang ditahan selama 18 jam di Malaysia seminggu yang lalu untuk siasatan di bawah Seksyen 11 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) kerana mengajar tanpa tauliah.

Bukunya yang diharamkan di Malaysia bertajuk Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty, termasuk edisi terjemahan Bahasa Melayunya, Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan, juga diterbitkan oleh IRF.

Perintah pengharaman buku-buku yang terbaru ini dikeluarkan oleh Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi pada 6 September 2017 mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Percetakan 1948. Perintah itu diwartakan pada 28 September 2017.

Warta itu menyebut larangan dikenakan kerana “mungkin memudaratkan ketenteraman awam, mungkin menggemparkan fikiran orang ramai dan mungkin memudaratkan kepentingan awam.”

Faisal dalam ucapannya membuka Festival Sastera ASEAN ke-4 di Jakarta pada 3 Ogos lalu berkata tindakan kerajaan mengharamkan buku adalah pengkhianatan kepada janji Merdeka yang terkandung dalam Perisytiharan Kemerdekaan 1957.

Buku-bukunya sebelum ini yang diharamkan ialah dua buah novel Perempuan Nan Bercinta dan Sebongkah Batu di Kuala Berang, kumpulan cerpen Tiga Kali Seminggu, drama pentas Karbala dan kumpulan puisi Ingin Jadi Nasrallah, serta kumpulan esei kritikan filem bertajuk Sinema Spiritual: Dramaturgi dan Kritikan.

Buku-buku itu antara lain diharamkan atas dakwaan mengandungi unsur-unsur penyebaran ajaran Syiah dan bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Wakil Khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kebudayaan, Karima Bennoune baru-baru ini melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan Putrajaya mengharamkan buku.

Beliau menarik perhatian antara buku yang diharamkan itu termasuklah buku-buku mengenai Islam yang sederhana dan progresif dan hairan kenapa tindakan itu dibuat ketika kerajaan pada masa sama menonjolkan imej yang sama di peringkat antarabangsa.

“Ini boleh memberikan kesan yang besar kepada perbahasan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan mengakhiri lawatan 10 hari ke Malaysia pada akhir Ogos.

Dalam wawancara dengan Free Malaysia Today, Karima menggesa Putrajaya supaya meraikan dan bukannya menyekat kepelbagaian pandangan dalam Islam. Beliau turut menggesa Putrajaya agar menarik balik sekatan ke atas buku Faisal.

Kenyataan itu senada dengan tulisan Mustafa sebaik pulang ke Amerika Syarikat selepas melalui pengalaman ditahan oleh pihak berkuasa di Malaysia. 

Dalam tulisannya di The New York Times, Mustafa antara lain mengingatkan penguasa agama bahawa semakin mereka cuba mengawal pemikiran mengenai agama Islam dengan tujuan melindungi kesucian agama, semakin orang hilang rasa hormat terhadap Islam.

KDN pada Jun lalu mengharamkan buku terbitan kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan termasuk diplomat, G25 bertajuk “Breaking the Silence –Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy” (Memecah Kesunyian: Suara Kesederhanaan – Islam dalam Demokrasi Perlembagaan).

Buku yang terbit lebih kurang 18 bulan sebelumnya itu diharamkan dengan alasan memudaratkan ketenteraman awam. Namun pengharaman itu lebih ternampak sebagai usaha Putrajaya menyekat sebarang tafsiran atau pandangan mengenai Islam yang berbeza dengan tafsiran dan pandangan rasmi oleh penguasa agama dan jabatan agama.

Buku “Breaking the Silence – Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy” yang diharamkan KDN itu, turut memuatkan kata pengantar oleh bekas perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi. – 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen