KDN haramkan sebuah buku Mustafa Akyol


Kementerian Dalam Negeri mengharamkan buku tulisan wartawan Turki Mustafa Akyol, “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty” kerana mencetuskan keresahan dalam kalangan orang ramai. – Gambar mustafaakyol.org, 3 Oktober, 2017.

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengharamkan sebuah buku Mustafa Akyol, wartawan Turki yang ditahan selama 18 jam di Malaysia seminggu lalu kerana bercakap tentang Islam di negara ini tanpa tauliah jabatan agama, lapor The Star.

Buku bertajuk “Islam Without Extremes: A Muslim Case for Liberty” diharamkan melalui warta yang dikeluarkan sehari selepas beliau ditahan oleh pihak berkuasa di Kuala Lumpur.

Pengharaman itu bagaimanapun ditandatangani oleh menteri dalam negeri pada 6 September lepas, mengikut Akta Mesin Cetak dan Percetakan 1948.

Warta itu turut mengharamkan edisi terjemahan Bahasa Melayunya yang bertajuk “Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah Untuk Kebebasan”.

Menurut The Star, buku itu dipercayai diharamkan kerana “mencetuskan keresahan dalam kalangan orang ramai” dan “menggugat kepentingan awam”.

Mustafa ditahan selepas Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mendapat waran tangkap daripada mahkamah syariah selepas Mustafa gagal hadir ke pejabat jabatan itu pada Isnin, 25 September untuk membantu siasatan dakwaan mengajar agama tanpa tauliah.

Beliau kemudian ditahan ketika hendak berlepas pulang ke Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam yang sama. Keterangannya hanya diambil pada keesokan harinya dan beliau dibebaskan pada tengah hari Selasa.

Mustafa yang juga ahli akademik warganegara Turki dijemput ke negara ini oleh Islamic Rennaisance Front (IRF) untuk menyertai beberapa acara diskusi ilmiah di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.

Pengarah IRF Dr Ahmad Farouk Musa semalam disoal siasat di pejabat Jawi dan akan dituduh pada 4 Disember ini atas dakwaan bersubahat dengan Mustafa mengajar agama Islam tanpa tauliah. Tuduhan mengikut Seksyen 43 Akta Kesalahan Syariah 1997 (Wilayah Persekutuan) itu membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Mustafa berada di Kuala Lumpur atas jemputan IRF untuk menyampaikan kuliah berkenaan isu murtad dan demokrasi dalam Islam serta memperkatakan buku terbarunya, “The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims”.

Menurut Jawi, siasatan terhadap Mustafa dan IRF dibuat hasil aduan orang ramai berhubung diskusi meja bulat pada Ahad bertajuk Does Freedom of Conscience Open the Floodgate to Apostasy? (Apakah kebebasan nurani membuka jalan kepada murtad?).

Selepas acara pada sebelah pagi Ahad itu, Mustafa menyampaikan syarahan bertajuk Is Democracy Still Relevant? The Experience of Turkey, Malaysia and other nations (Apakah Demokrasi Masih Relevan? Pengalaman Turki, Malaysia dan negara-negara lain).

Syarahannya yang dijadualkan pada 25 September mengenai bukunya tentang Nabi Isa dalam Islam, Kristian dan agama Yahudi itu bagaimanapun dibatalkan.

Mustafa yang terkenal kerana mengkritik polisi keras Presiden Turki Recep Tayyib Erdogan menetap di Amerika Syarikat dan merupakan penulis prolifik dalam isu Islam. Tulisannya kerap terbit di akhbar Turki, Hurriyet Daily News, The New York Times dan portal Al-Monitor.com.

Selepas pulang ke Amerika Syarikat, tulisan Mustafa mengenai pengalamannya ditahan oleh pihak berkuasa agama di Malaysia diterbitkan di akhbar The New York Times.

Tulisan itu antara lain mengingatkan penguasa agama bahawa semakin mereka cuba mengawal pemikiran mengenai agama Islam dengan tujuan melindungi kesucian agama, semakin orang hilang rasa hormat terhadap Islam.

KDN pada Jun lalu mengharamkan buku terbitan kumpulan bekas pegawai kanan kerajaan termasuk diplomat, G25 bertajuk “Breaking the Silence –Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy” (Memecah Kesunyian: Suara Kesederhanaan – Islam dalam Demokrasi Perlembagaan).

Buku yang terbit lebih kurang 18 bulan sebelumnya itu diharamkan dengan alasan memudaratkan ketenteraman awam. Namun pengharaman itu lebih ternampak sebagai usaha Putrajaya menyekat sebarang tafsiran atau pandangan mengenai Islam yang berbeza dengan tafsiran dan pandangan rasmi oleh penguasa agama dan jabatan agama.

Buku “Breaking the Silence – Voices of Moderation: Islam in a Constitutional Democracy” yang diharamkan KDN itu, turut memuatkan katapengantar oleh bekas perdana menteri, Abdullah Ahmad Badawi. – 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen