Kenyataan Nik Abduh tak berakal, kata Amanah


Yasmin Ramlan

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, kenyataan ahli Parlimen Pasir Mas itu bukan sahaja tidak berakal malahan sering mengkafirkan parti lain. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Oktober, 2017.

KENYATAAN Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz terhadap Parti Amanah Negara (Amanah) di status Facebook bertajuk “PAN yang malang” disifatkan oleh Amanah sebagai kenyataan orang tidak berakal.

Timbalan Presiden parti itu Salahuddin Ayub berkata, kenyataan ahli Parlimen Pasir Mas itu bukan sahaja tidak berakal malahan sering mengkafirkan parti lain.

Dalam status Nik Abduh yang dimuat naik semalam, parti pecahan PAS itu didakwa mahu menghancurkan parti Islam itu sebelum melangkah ke Putrajaya.

“Kenyataan orang tak berakal.

“Tak sudah-sudah sucikan parti sendiri dan mengkafirkan parti lain,” kata Salahuddin kepada pemberita di ibu pejabat Amanah di Kuala Lumpur apabila diminta mengulas mengenai status Nik Abduh itu.

Nik Abduh dalam kenyataannya semalam turut mendakwa ajaran DAP menyebabkan Amanah bertindak sedemikian.

“Ajaran mabuk DAP itu telah menikam-nikam saraf, otot dan urat-urat halus otak mereka.

“Mereka kekejangan melihat Pas yang ‘cool’ berhadapan ‘The Apocalypse’ ciptaan DAP itu. Mereka memberontak terhadap PAS dan seni dakwahnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau.

Nik Abduh turut menyelar Amanah yang didakwa mempunyai tujuan untuk menghancurkan parti Islam itu.

“Mereka menunggu dan terus menunggu. Itu pungguk merindukan bulan namanya.. ‘Last-last’, bulan pun serabut tengok muka mereka. Pergi meninggallah..,” katanya di Facebook. – 3 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen