Syed Saddiq dakwa disogok RM5 juta untuk tinggalkan Bersatu


Diyana Ibrahim

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman mendedahkan beliau ditawarkan RM5 juta oleh “penasihat kanan perdana menteri” untuk meninggalkan parti Bersatu dan menyambung pengajiannya di Universiti Oxford.

Ketua sayap pemuda Bersatu itu berkata, tawaran RM5 juta berkenaan dibuat oleh “rangkaian sistematik dedak” yang dirancang penasihat kanan terbabit.

“Semua ini dirancang oleh penasihat kanan (Perdana Menteri) Najib Razak.

“Saya ditawarkan RM5 juta untuk tinggalkan Bersatu dan mengambil biasiswa ke Universiti Oxford.

“Saya tidak akan tinggalkan Bersatu dan akan terus di sini mendedahkan rangkaian sistematik dedak ini,” katanya pada sidang media di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur.

Jelas Syed Saddiq, umpan RM5 juta itu termasuk geran untuk mendirikan sekolah debat di seluruh Malaysia.

Ditanya mengenai bukti tawaran umpan itu, Syed Saddiq berkata, beliau bukan cakap kosong kerana ada semua bukti operasi rangkaian yang disebutnya itu.

“Tentang tawaran dedak itu saya telah berbincang dengan peguam saya, kita mungkin akan melaporkan kes ini ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.” 

Beliau turut menamakan penasihat kanan perdana menteri yang membuat tawaran sogokan RM5 juta itu. The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan komen daripada pegawai kanan itu.

Syed Saddiq juga mendakwa “rangkaian sistematik dedak” itu juga menjadi dalang yang sebelum ini menghubungi beberapa pemimpin Bersatu yang sudah meninggalkan parti itu.

“Sejak dari tahun lepas lagi rangkaian ugutan dan sogokan ini sudah dipratikkan. Ia bermula dengan ugutan melemahkan status kewangan individu tersebut, kemudian mereka juga menyerang orang terdekat seperti ahli keluarga dan sahabat handai.”

Kerana itu kata Syed apabila jemputan sidang media yang bertempat di Hotel Seri Pan Pacific iaitu bersebelahan dengan ibu pejabat Umno, tersebar, beliau terpaksa berdiam diri untuk memastikan pendedahan mengenai sogokan didedahkan.

“Yang buat sidang media di sini sebenarnya saya tidak tahu menahu, mereka yang rancang buat di sini, saya mana ada duit untuk buat sini.

“‘Malah saya diugut untuk hadir sidang media. Mereka ada juga letakkan orang mereka di sini (hotel) ,” katanya.

Syed Saddiq semalam menghebahkan sidang media ini semalam kononnya untuk mengumumkan keputusannya menyambung pengajian ke Universiti Oxford dan menjelaskan kedudukannya dalam Bersatu.

Hebahan itu disebarkan melalui WhatsApp dan dinaikkan di laman Instagramnya. Maklumat itu kemudian mencetuskan spekulasi Syed Saddiq akan lompat parti menyertai Umno kerana lokasi sidang media itu terletak bersebelahan dengan ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tangguh ke Oxford

Pada sidang media pagi tadi, Syed Saddiq turut mengumumkan menangguh tawaran belajar di Universiti Oxford, termasuk melepaskan biasiswa sebanyak RM400,000 untuk memberi fokus pada kerja politiknya.

“Keputusan ini bukan mudah. Saya bakal kehilangan biasiswa sebanyak lebih kurang RM400,000 dari Oxford dan ini bermakna saya akan hilang kelayakan memohon biasiswa sekali lagi,” katanya dengan nada sebak.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat selepas berbincang dengan keluarga dan kawan-kawan rapat, dan di luar pengetahuan sayap pemuda Armada atau pemimpin tinggi Bersatu.

Tegasnya, keputusan untuk menangguhkan pembelajarannya tidak ada kaitan dengan parti politik dan pemimpin Bersatu namun lebih kepada keazamannya untuk berjuang menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.

“Masters in Public Policy (Sarjana Dasar Awam) di Oxford telah lama menjadi idaman saya. Ia sangat dekat di hati saya namun sedalam mana cinta saya pada Oxford ia tidak mampu menandingi cinta saya pada tanah air.

“Tidak guna saya pergi belajar tapi, saya teringat-ingat negara sendiri. Saya lebih rela bergadai harta, daripada hidup dengan hati buta.

“Oxford boleh tunggu, Malaysia akan sentiasa menjadi keutamaan saya.” – 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen