Melaka model multikulturalisme Malaysia?


Badrul A Bakar

TEMPOH hari pencinta keamanan di Malaysia dikejutkan dengan dapatan lawatan Dr Mujahid Yusof ke Xinjiang, China. Beliau menafikan wujudnya kem tahanan, yang wujud hanyalah sekolah vokasional khas untuk etnik Uyghur.

Pada minggu yang sama Presiden Rusia Vladimir Putin mendakwa multikulturalisme yang merupakan salah satu sub-isme dalam tradisi demokrasi-liberal sudah tamat tempoh.

Sekonyongnya, muncul kicauan daripada Dr Faizal Musa yang menyatakan Melaka pada era Kesultanan Melayu Melaka ialah model masyarakat multikultural.

Dakwanya, kahwin campur berlangsung tanpa perlu pindah agama. Kerana itu wujudnya masyarakat Peranakan, Chettiah, dan Serani yang fizikal mereka ada ciri jelas Melayu.

Baru-baru ini, Malaysia tersentak lagi dengan berita orang Melayu menjadi ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Johor. Kononnya itu kali pertama.

Semua ini mengingatkan penulis kepada perbalahan intelektual antara murid dengan guru menerusi buku selepas berakhirnya Perang Dingin.

Dalam kelas sains politik, berakhirnya Perang Dingin indikatornya ialah runtuhnya Tembok Berlin dan berpecahnya Kesatuan Soviet. Dalam budaya pop, naratornya ialah kumpulan Scorpion dengan lagu Wind of Change, dan juga kumpulan Wings menerusi album Teori Domino.

Francis Fukuyama muncul dengan buku “The End of History and the Last Man” (1992). Hujahnya, demokrasi-liberal ialah pemenang dalam konflik ideologi memandangkan berakhirnya komunisme dan pendemokrasian negara bekas komunis.

Tambahnya lagi, dunia akan aman sampailah ke hari pembalasan kerana tiada sebab untuk berkonflik. Lenyapnya komunisme bermakna tiada lagi blok Barat dan blok komunis. Tiada juga dunia pertama, dunia kedua, dan dunia ketiga berikutan semua negara sudah mendemokrasi.

Demokrasinya pula mengikut gaya pentadbiran Clinton yang begitu menghargai kepelbagaian budaya yang disebut juga sebagai multikulturalisme.

Lima tahun kemudian, tok guru Fukuyama, Samuel P. Huntington muncul dengan sebuah buku berjudul “The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order” (1997). Bidasnya, dunia akan terus berkonflik. Kalau dulu kerana berbeza ideologi, kali ini sebab berlainan agama.

Beliau mengambil contoh konflik Balkan yang timbul akibat agama Katolik, Ortodoks, dan Islam bertembung. Arakian Yugoslavia berpecah enam padahal masyarakatnya dari sudut etno-bahasa begitu homogen.

Contoh lain ialah bangsa Arab di Lubnan yang dulunya sering berkonflik kerana wujud tiga agama iaitu Kristian Maronit, Sunni, dan Syiah. Kini jirannya pula iaitu Syria yang bertelingkah antara Sunni dan Syiah. Ini barulah betul perang saudara.

Hujahnya, kalau sama ras dan sama bahasa tetapi beza agama bangsa boleh berpisah, apatah lagi kalau beza dari segala segi.

Beliau mengkritik dasar multikulturalisme Clinton yang dakwanya cukup merbahaya kepada Amerika. Ini kerana multikulturalisme boleh menyebabkan munculnya masyarakat plural – masyarakatnya tidak berinteraksi walaupun senegeri – yang mengikut konsep Furnivall.

Huntington risau dengan etnik Hispanik yang datang dari Mexico, Puerto Rico, dan Cuba. Tiada sebarang usaha mengintegrasi mereka ke dalam budaya arus perdana Amerika. Misalnya, tahap penguasaan bahasa Inggeris mereka yang cukup lemah. 

Baginya multikulturalisme bukan sahaja membantutkan proses integrasi, bahkan dalam jangka masa panjang boleh meruntuhkan Amerika yang pembinaan bangsanya bertunjangkan budaya White, Anglo-Saxon, Protestant (WASP).

Ternyata, jika pemimpin Republikan tidak campur tangan dalam sektor ekonomi, pemimpin Demokrat pula tidak campur tangan dalam hal integrasi.

Maka, rasanya presiden Trump yang muncul dengan “Make America Great Again” (MAGA), dan membina tembok di sepanjang sempadan selatan Amerika adalah demi keutuhan negaranya yang selama ini amat bergantung kepada kekuatan budaya teras WASP.

Apabila mengoperasi multikulturalisme terhadap Melaka dulu kala, ternyata ia bukan sekadar sebuah masyarakat multikultural. Masyarakat yang multikultural itu ialah Melaka dan Malaysia masa kini, ekoran terbatasnya pergaulan antara kaum.

Maka, masyarakat Melaka pada zaman itulah definisi melting pot yang sebenar. Ramuan yang berbeza bergaul dalam belanga hingga mencipta zat yang baharu.  

Wujudnya komuniti Serani, Baba dan Nyonya, serta Chettiah adalah relevan diperbandingkan dengan masyarakat Mestizo di negara yang pernah dijajah Sepanyol dan Portugis. 

Cara mudah ialah dengan menonton telenovela sama ada siri dari Mexico, Venezuela, mahupun Filipina yang begitu ramai aktor berwajah campuran. 

Lagi mudah ialah dengan melihat foto mendiang Hugo Chaves yang merupakan “Mestizo sejati”.  Ini kerana mantan presiden Venezuela tersebut mempunyai darah penakluk Sepanyol yang berkulit putih, hamba kulit hitam dari Afrika, dan orang asal Amerika atau Amerindian.

Pun begitu, penelitian mendalam menjelaskan asimilasi yang sebegitu memerlukan sekurang-kurangnya persamaan bahasa. Komuniti Baba dan Nyonya serta Chettiah misalnya berbahasa Melayu.

Manakala kemunculan mestizo yang menjadi tunjang bersatunya masyarakat di negara-negara Latin adalah kerana bahasa Sepanyol dan agama Katolik. Kalau di Brazil pula bahasa Portugis dan juga agama Katolik.

Bagi penulis, Malaysia di bawah sedar mengamalkan multikulturalisme sejak dari 1957 atau 1963. Semasa era Barisan Nasional (BN), politik komunal dan konsosiasonalnya lebih kurang sama sahaja dengan gaya pecah dan perintah era kolonial. 

Ini kerana adalah lebih mudah memerintah rakyat yang terpolarisasi berbanding rakyat yang bersatu yang kemudiannya bulat menentang pemerintah.

Tetapi dari segi lain, BN membina negara-bangsa Malaysia yang berasaskan budaya teras Melayu-Islam dengan laungan ketuanan Melayu.

Realitinya, kewujudan budaya teras, berpegang dan mempertahankannya adalah amalan biasa dalam pembinaan bangsa di mana-mana negara di dunia tanpa mengira tahap pembangunannya.

Ini termasuklah WASP di Amerika Syarikat, Inggeris di UK, Hindu di India, Burma di Myanmar, Jawa di Indonesia, Cina di Singapura, dan Han di China.

Maka, kenyataan “kekanda” tersebut dapat difahami. Selain daripada untuk menjaga hubungan diplomatik di antara Malaysia dengan China, beliau memahami ini adalah sebahagian daripada usaha integrasi dan pembinaan bangsa oleh Beijing. 

Ini bagi membolehkan mereka menjadi kurang Turkik dan menjadi lebih Sinik seperti masyarakat Muslim lain di China seperti etnik Hui dan orang Donhuang yang tidak mempunyai sebarang masalah dengan pemerintah.

Inilah realiti pemerintahan di mana jua yang sentiasa menghadapi dilema di antara membina bangsa dan menjaga kepentingan minoriti.

Pendek kata, lemahnya majoriti menggugat keutuhan negara, tetapi usaha mengintegrasi minoriti sering cenderung menjadi tidak demokratik, justeru adalah suatu tirani oleh majoriti.

Mungkinkah juga Melaka dulu kala sememangnya model terbaik multikulturalisme dan pembinaan bangsa? 

Adakah Cina dan India yang ke-Melayuan itu muncul secara sukarela dalam persekitaran yang demokratik? – 16 Julai, 2019.

* Dr Badrul A Bakar atau Dr Bae ialah pensyarah sains politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM. Beliau percaya pada demokrasi dan pendemokrasian, atas pengalaman hidup dalam persekitaran demokratik semasa belajar dan bekerja di Amerika Syarikat sewaktu pentadbiran Clinton.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen