Belia bawah 30 tahun kurang pengalaman memimpin, kata persatuan belia


Yeoh Cheong Ee

Belia di bawah usia 30 tahun mungkin tidak mempunyai pengalaman diperlukan untuk memainkan peranan kepimpinan utama, kata persatuan belia selepas umur belia ditakrifkan semula oleh Putrajaya. – Gambar EPA, 13 Julai, 2019.

BELIA di bawah usia 30 tahun mungkin tidak mempunyai pengalaman diperlukan untuk memainkan peranan kepimpinan utama, kata persatuan belia selepas umur belia ditakrifkan semula oleh Putrajaya.

Dewan Rakyat 3 Julai lalu meluluskan Rang Undang-Undang Akta Petubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 yang antara lain menurunkan umur belia dari 40 hingga 30 tahun.

Rang undang-undang juga menetapkan had usia minimum dan maksimum pemegang jawatan satu pertubuhan belia berdaftar dengan tidak kurang 18 tahun serta tidak lebih 30 tahun pada tarikh pelantikannya.

Persatuan belia mengingatkan bahawa pemimpin di bawah usia 30 tahun mungkin berada dalam fasa mencari pengalaman dan proses pembelajaran, berbeza dengan mereka yang berusia 30-an atau 40-an.

Ini ditambah dengan kekurangan keinginan untuk mengambil peranan kepimpinan yang biasa dalam kalangan belia hari ini.

Presiden Gerakan Belia Bersatu Malaysia (GBMM) Chook Wai Mun berkata, organisasi itu mula melantik golongan berusia bawah 30 tahun untuk memainkan peranan ketua dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Masalahnya ramai orang muda di bawah umur 30 tahun sebenarnya tidak sanggup memimpin organisasi-organisasi ini. Sebaliknya mereka bersedia untuk menyertai aktiviti.

“Mereka tidak sanggup mengambil tanggungjawab lebih besar dan menganggap kedudukan penting seperti pengerusi terutamanya disebabkan kekurangan kemampuan kewangan.

“Sebenarnya ada banyak tempat di mana anda perlu membelanjakan wang untuk memegang jawatan penting dalam organisasi. Kadang-kadang anda perlu bayar sendiri. Memandangkan harga yang perlu dibayar, ramai anak muda berfikir dua kali,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Presiden Pergerakan Pemuda Malaysia Chew Sir Boon berkata, memegang jawatan pemimpin akan menambah tekanan kepada golongan muda yang baru sahaja mulai memikul pelbagai tanggungjawab terutamanya dari segi kerjaya.

Bagaimanapun kedua-dua persatuan tersebut menunjukkan sokongan kepada Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk mengurangkan had umur belia.

Tetapi mereka memberi amaran bahawa cadangan itu tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa dan disokong oleh usaha tambahan seperti meningkatkan pembiayaan, latihan, tempoh penampan yang fleksibel dan keanggotaan.  

Chew berkata, pembiayaan daripada kerajaan kepada pertubuhan belia semakin menurun pada tahun-tahun kebelakangan ini menyebabkan banyak persatuan berdepan masalah kewangan. 

Beliau berkata, kerajaan harus mempertimbangkan untuk memberikan bantuan kewangan dan insentif seperti rebat cukai kepada organisasi ini.

Chook menambah bahawa persatuan-persatuan ini sukar untuk menggalakkan golongan muda untuk terlibat dalam kegiatan disebabkan kekangan kewangan.

Beliau berkata, tumpuan bukan hanya untuk mengurangkan umur belia tetaoi akibat dan kesan selepas melaksanakan dasar itu.

“Organisasinya boleh membuat peralihan yang relevan dalam tempoh tiga tahun tetapi tidak semua kumpulan belia dapat pencapaian yang sama.

“Saya harap kementerian dapat memberi anugerah, tidak semestinya berupa ganjaran kewangan. Ia bagi menggalakkan organisasi belia yang memenuhi kriteria dalam tempoh penampan selama tiga tahun,” katanya.

Chook berkata, dianggarkan sekurang-kurangnya 40% ahli dalam organisasi besar berumur atas 30 tahun.

“Bagi mereka yang berusia lebih tua, kita tidak mempunyai pilihan selain membiarkan mereka pergi. Tetapi kita juga mempunyai sekutu yang dikenali sebagai Kumpulan Yangqing yang mana ahli yang telah mencapai usia maksimum boleh berhijrah dan berhubung dengan kami,” katanya.

Chew mendedahkan bahawa sekurang-kurangnya 50% ahli persatuannya berusia di atas 30 tahun.

“Apa yang boleh kita lakukan adalah untuk merekrut lebih ramai anak muda secepat mungkin.

“Pada masa ini kami mempromosikan satu pendekatan “satu tambah satu” dan menggalakkan anak muda membawa rakan-rakan mereka sekali,” katanya. – 14 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen