Penjelasan peguam negara mengenai kes Wan Ji


WAN Ji Wan Hussin (tertuduh), seorang penceramah bebas Muslim, telah dituduh pada 10 September 2014 di Mahkamah Sesyen, Shah Alam di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan, 1948 (Akta Hasutan) kerana telah menerbitkan kata-kata bersifat menghina Sultan Selangor. 

Bagi kesalahan kali pertama, sekiranya disabitkan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun.

Kata-kata bersifat menghasut tersebut telah diterbitkan oleh tertuduh dalam akaun Facebooknya wanji.attaaduddi pada 5 November 2012. 

Tertuduh telah memohon untuk dibicarakan dan pada 9 April 2018 setelah didapati bersalah dan disabitkan oleh Mahkamah Sesyen.

Tertuduh telah dijatuhi hukuman penjara 9 bulan dan memfailkan rayuan terhadap sabitan tersebut.

Pada 9 April 2018, pendakwa raya telah memfailkan rayuan balas terhadap hukuman. 

Kedua-dua rayuan dan rayuan balas telah disebut di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 30 April 2019. 

Namun tertuduh dan peguamnya tidak hadir ke mahkamah pada hari tersebut.

Mahkamah tinggi telah memerintahkan pihak-pihak memfailkan hujahan bertulis dan menetapkan 9 Julai 2019 untuk keputusan. 

Pada 9 Julai 2019, mahkamah tinggi telah memutuskan: 

(i) rayuan terhadap sabitan ditolak; dan 

(ii) rayuan balas terhadap hukuman dibenarkan dan hukuman penjara 9 bulan tertuduh telah dinaikkan ke penjara satu tahun. 

Permohonan penangguhan hukuman secara lisan yang dibuat bagi pihak tertuduh telah ditolak oleh mahkamah tinggi dan tertuduh diperintahkan untuk membuat permohonan rasmi secara bertulis. 

Oleh itu, tertuduh telah mula menjalani hukuman pada 9 Julai.

Permohonan rasmi secara bertulis untuk menangguhkan hukuman telah difailkan semalam dan dibenarkan oleh mahkamah tinggi pada hari ini. 

Pendakwa raya tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan hukuman tersebut.

Sehubungan itu, pada masa kini tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu pendengaran rayuan di mahkamah rayuan. 

Berdasarkan kronologi kejadian, adalah jelas bahawa rayuan balas oleh pihak pendakwaan telah dibuat sebelum PRU14.

Tiada representasi bertulis dikemukakan oleh tertuduh mahupun peguambelanya kepada saya dan saya secara peribadi tidak sedar tentang kes ini sehingga mahkamah tinggi membuat keputusan pada 9  Julai 2019 dan diketahui umum. 

Ini tidak menghairankan kerana pada mana-mana hari bekerja, Kerajaan Persekutuan dan 13 Kerajaan Negeri terlibat secara literal dalam ratusan kes-kes jenayah dan sivil di dalam semua mahkamah dalam negara. 

Oleh yang demikian, adalah mustahil untuk mana-mana orang mengetahui secara peribadi walaupun sebahagian kecil kes-kes tersebut.

Maka, pengagihan dan desentralisasi kuasa adalah penting. 

Jabatan ini sedang meneliti pilihan yang ada berkaitan kes yang sedang dirayu di mahkamah rayuan, namun mengambil kira sabitan oleh dua mahkamah iaitu mahkamah sesyen dan tinggi, ruang lingkup budi bicara kamar saya telah menjadi sangat terhad. 

Kes seperti Wan Ji sekali lagi telah mengalihkan tumpuan utama masyarakat kepada penggunaan secara berterusan oleh jabatan ini untuk tujuan pendakwaan terhadap kesalahan-kesalahan di bawah Akta Hasutan dan salah tanggapan yang menyelubungi subjek tersebut. 

Faktanya adalah seperti berikut. 

Pertama, Akta Hasutan adalah antara akta Parlimen yang akan dimansuhkan sepertimana dinyatakan di dalam manifesto Pakatan Harapan. 

Kedua, jabatan ini tiada menerima makluman daripada Jemaah Menteri berhubung apa-apa keputusan untuk memansuhkan atau meminda Akta Hasutan.

Di bawah sistem kerajaan sedia ada, Jemaah Menteri yang akan membuat keputusan bagi cabang eksekutif sama ada untuk menggubal, memansuh atau meminda undang-undang untuk diangkat ke parlimen, yang mana Jabatan ini berperanan untuk membantu dalam menggubal undang-undang baru. 

Ketiga, Jabatan ini tiada menerima “arahan” daripada jemaah menteri yang menghalang jabatan ini menggunakan Akta Hasutan.

Arahan seumpama itu sekiranya ada, dalam apa jua keadaan sekalipun adalah tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah dengan kuasa budi bicara yang diperuntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan khusus kepada Peguam Negara untuk membuat keputusan berkaitan hal ehwal pendakwaan sesuatu kes bagi pihak Kerajaan. 

Setelah menjawat jawatan peguam negara pada Jun 2018, saya telah memutuskan, mengambil kira undang-undang alternatif di dalam naskah-naskah undang-undang (termasuk peruntukan-peruntukan di dalam Kanun Keseksaan) untuk menggunakan Akta Hasutan sebagai jalan yang terakhir. 

Ini adalah kerana Akta Hasutan adalah undang-undang yang sah dan tidak boleh diketepikan langsung.

Perkara tersebut hanya boleh berlaku sekiranya Akta Hasutan dibatalkan oleh Parlimen. Sejak PRU14, tiada seorang pun dituduh di bawah Akta Hasutan. 

Berhubung dengan kes-kes di bawah Akta Hasutan yang masih berjalan di Mahkamah pada bulan Mei 2018 (tanpa mengambil kira peringkat kes), polisi Jabatan ini adalah untuk mengkaji semula setiap kes berdasarkan fakta kes-kes tersebut. 

Jabatan ini akan bertindak berdasarkan representasi yang diterima daripada tertuduh atau peguambelanya. Ini adalah bagi menjamin ketelusan dan kebertanggungjawaban. 

Peningkatan jumlah ucapan-ucapan berunsur kebencian terutama atas talian terkait ras, agama dan raja-raja di dalam masyarakat kita yang bersifat majmuk bermakna kebebasan bersuara dan ekspresi telah disalahgunakan. 

Cabaran bagi Jabatan ini adalah untuk mengimbangkan kebebasan bersuara yang semakin luas selepas PRU14 dan tersebarnya ucapan-ucapan berunsur kebencian yang menyakiti perasaan rakyat. 

Sekiranya pendakwaan dijalankan, jabatan ini akan bertindak berpandukan Kanun Keseksaan, namun dalam keadaan di mana tiada alternatif di bawah undang-undang, untuk kes-kes yang bersesuaian jabatan ini tidak dapat menolak kemungkinan menggunakan Akta Hasutan, sehingga ia dimansuhkan.  – 12 Julai, 2019

* Tommy Thomas merupakan peguam negara/pendakwa raya. 

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen