Bom ikan masalah 20 tahun Sabah


Yeoh Cheong Ee

Bom ikan kaedah mudah tangkap ikan di Sabah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 12 Julai, 2019.

KEKURANGAN penguatkuasan di perairan Sabah menyebabkan penggunaan meluas bom ikan, kata kumpulan nelayan selepas tragedi kematian tiga penyelam termasuk dua pelancong asing baru-baru ini. 

Dua kumpulan nelayan berkata Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang bertanggungjawab kepada keselamatan kawasan itu perlu memperhebat operasi di kawasan yang menjadi lubuk industri perikanan haram sejak 20 tahun lalu. 

Kata mereka lagi, penggunaan bom ikan popular kerana ia hasilnya “tujuh kali ganda lebih banyak” berbanding kaedah konvensional perikanan digunakan nelayan. 

Bom ikan melibatkan penggunaan bahan letupan, biasanya dibuat sendiri yang dicampur dalam botol dan diletupkan, ia menyebabkan gelombang kejutan yang membunuh ikan. Ikan yang mati akan terapung di permukaan laut dan nelayan hanya perlu mengutipnya menggunakan jaring. 

Presiden Persatuan Nelayan Semporna Salleh Abd Salleh berkata nelayan haram di kawasan itu selalunya adalah pendatang haram digaji penduduk tempatan. 

“Mereka inilah yang menggunakan bom ikan, setakat yang kami tahun. 

“Nelayan tempatan tak berani guna kerana takutkan undang-undang,” kata Salleh kepada The Malaysian Insight. 

Malangnya, situasi ini berleluasa kerana unit penguatkuasaan di Semporna tidak cukup kakitangan. 

Salleh mencadangkan langkah tambahan seperti mewujudkan lebih banyak pos kawalan di pulau serta meningkatkan jumlah pengawal laut untuk membanteras nelayan haram. 

Saiful Bahari daripada Persatuan Nelayan Sandakan berkata penggunaan bom ikan adalah masalah berterusan kerana kegagalan pihak berkuasa bertindak. 

“Masalah sudah lama, tetapi agensi penguatkuasaan dan pemantauan kurang cekap. Walaupun kami berulang kali lapor masalah ini, kami masih boleh nampak nelayan Filipina menggunakan bom ikan di sini.” 

Katanya lagi, nelayan asing tidak kisah dengan kesan penggunaan bom ikan itu, sehingga tidak kisah ada yang cedera atau “diletupkan”. 

“Mereka tak peduli. Mereka tak takut!” katanya. – 12 Julai, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen