PAC bentang laporan tuntutan tunggakan bayaran GST Selasa depan


Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Dr Noraini Ahmad berkata orang ramai juga boleh memuat turun laporan tersebut dari laman web Parlimen selepas ia dibentangkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2019.

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan membentangkan laporan mengenai tuntutan tunggakan bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berjumlah RM19.4 Bilion di Dewan Rakyat pada Selasa depan.

Pengerusi PAC Dr Noraini Ahmad berkata orang ramai juga boleh memuat turun laporan tersebut dari laman web Parlimen selepas ia dibentangkan.

Menurut beliau, laporan sebulat suara dimuktamadkan oleh 13 ahli PAC, hari ini.

“Saya bersyukur ke hadrat Allah SWT semua ahli-ahli PAC Parlimen sama ada daripada pihak kerajaan dan pembangkang dapat mencapai keputusan sebulat suara dalam menyiapkan laporan ini khususnya, untuk perkara rumusan dan syor berhubung tuntutan tunggakan GST berjumlah RM19.4 bilion.

“Saya perlu akui ia adalah satu prosiding yang lama apabila PAC Parlimen mengambil masa selama 11 bulan bermula 15 Ogos 2018 untuk menyiapkan laporan ini dengan mengadakan 10 mesyuarat prosiding membabitkan 10 saksi termasuk mantan menteri kewangan, menteri kewangan, mantan menteri kewangan II, mantan ketua setiausaha Perbendaharaan, ketua setiausaha Perbendaharaan, ketua pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan akauntan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selepas memenangi pilihan raya umum tahun lalu, kerajaan pakatan Harapan dapati sebanyak RM18 bilion daripada daripada RM19.4 bilion itu “hilang”.

Ia didedahkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada 7 Ogos tahun lalu.

Pendedahan Lim itu menyebabkan PAC memulakan siasatan untuk menentukan ke manakah RM18 bilion itu pergi.

Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata PAC juga diberi taklimat oleh beberapa kementerian dan agensi termasuk  Jabatan Audit Negara (JAN), Jabatan Peguam Negara, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jelas beliau, taklimat ini perlu kerana PAC mahu memastikan segala maklumat, rumusan serta syor dalam laporan tidak menyebelahi mana-mana pihak serta berasaskan fakta yang sahih dan tepat.

Noraini juga mengucapkan terima kasih kepada bekas pengerusi, Ronald Kiandee yang memulakan siasatan terhadap isu tersebut.

Tempat Kiandee digantikan dengan Noraini selepas beliau keluar dari Umno dan menyertai Bersatu. Ia selaras dengan manifesto Pakatan Harapan iaitu PAC mestilah diketuai oleh ahli Parlimen pembangkang. – 10 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen