Bisnes konvensional dan racun VUCA


Zainal Rashid Ahmad

HARI ini, kecelaruan dalam pengurusan korporat dan perniagaan konvensional sedang melalui period baharu. Terutama, bagi syarikat yang mengalami kemeruduman bisnes akibat perubahan teknologi.

Tekanan paling buruk yang mencetuskan VUCA ialah organisasi yang gagal bermigrasi secara skil. Malah, gagal melaksanakan model bisnes baharu ketika ledakan digital sedang menelan pengaruh perniagaan konvensional dan era fizikal.

Selain kelembapan ekonomi yang sudah mencengkam sejak lima tahun lalu, memerosotkan bisnes fizikal dan analog sudah dijangka sejak lebih sedekad lalu.

Ledakan digital dan munculnya Revolusi Industri (IR) 4.0 terus menguasai pasaran dan sedang mengucapkan selamat tinggal pada bisnes konvensional.

Atau lebih tepat, ledakan digital kini membunuh organisasi bisnes konvensional umpama racun tedung yang sedang mengalir ke jantung.

Kesakitan dan rasa panik serta tindak balas yang gelabah ketika berdepan dengan kesakitan punca utama mencetuskan VUCA.

Apa itu VUCA?

VUCA singkatan simptom Volatility, Uncertainly, Complexity and Ambiguity.

Empat istilah yang membentuk akronim VUCA ini berkait dengan ketidaktentuan hala tuju perniagaan dan keadaan bisnes yang tidak stabil. Seterusnya mengganggu persekitaran pengurusan yang rumit serta akhirnya meletakkan masa depan syarikat dalam keadaan kabur dan keliru.

Sindrom VUCA kembali popular dalam analisis korporat seluruh dunia terutama pada era ledakan IR 4.0 atau akibat gangguan kemeruduman ekonomi global yang berserabut.

Istilah VUCA pertama kali digunakan dalam analisis ketenteraan pada era sembilan puluhan untuk menggambarkan situasi di medan tempur.

Selalunya sebagai kajian apabila suasana operasi dan informasi pasukan di lapangan berada dalam tahap bahaya atau ketidaktentuan strategi untuk bertindak mendepani musuh.

Kekurangan informasi dan keupayaan pasukan di lapangan dalam mengendalikan misi tempur mencetuskan VUCA. Ini ancaman yang membahayakan kerana kecelaruan tindakan akan mencetuskan kesilapan strategi dan mendedahkan keselamatan nyawa pasukan di lapangan.

Dalam pengurusan korporat pula, kekurangan informasi untuk menilai keadaan bisnis yang mencabar adalah punca VUCA. Ditambah lagi dengan kecelaruan mencari kaedah berkesan dalam membangunkan semula perniagaan.

Keadaan yang kompleks ini secara drastik boleh memusnahkan bisnes dalam sekelip mata.

Pihak pengurusan dan penjawat dalam syarikat yang dilanda VUCA selalunya akan berdepan dengan konflik dan pertelagahan antara jabatan.

Malah, lebih teruk apabila berlaku pertentangan tindakan sesama unit operasi kerana tiada petunjuk dan maklumat yang tepat. Apa lagi tanpa model pemulihan perniagaan yang strategik.

Petunjuk bagi tindakan pemulihan hanya akan jelas apabila proses penyusunan semula bisnes memiliki informasi yang lengkap dan tepat. Pengurusan perlu pantas mengenal pasti keadaan sebenar yang sedang mengganggu perniagaan.

Lebih penting, maklumat dan strategi pula mesti dikongsi secara kolektif agar wujud kesepakatan. Ini penting dalam menyusun struktur dan tindakan proses pemulihan.

Bahaya percaya teori kejayaan semalam

“The greatest danger in times of turbulence is not the turbulence. It is to act with yesterday’s logic.“ – Peter F Drucker

Selalunya, syarikat yang pernah sukses akan terus bercakap mengenai kejayaan perniagaan masa lalu. Pasukan pengurusan sukar menerima hakikat kewujudan era digital menenggelamkan kehebatan masa lampau sekelip mata.

Selalunya, ramai yang enggan menerima hakikat kegagalan. Apa lagi mahu mengubah cara bekerja. Sikap “denial” mencetuskan krisis dalaman.

Apabila seorang pengurus jualan menyifatkan kegagalan bisnes disebabkan kekurangan promosi dan pengurus pemasaran pula menyabitkan punca kemerosotan berlaku akibat kualiti produk – sindrom VUCA pun bermula.

Krisis lebih serius sekiranya staf operasi menyimpan anggapan produk yang dikeluarkan syarikat sudah tidak lagi relevan dengan kehendak pasaran.

Dalam konteks era bisnes dalam talian contohnya, pengurusan syarikat Perusahaan Kecil Sederhana (SME) pada ketika ini paling teruk berkrisis. Mesyuarat dipenuhi dengan mood bertekak. Semua saling menuding jari mengenai punca sebenar bisnes merudum.

Selalunya pengurusan pemasaran menyifatkan IR 4.0 adalah punca kemerosotan. Ini kerana produk saingan dalam talian menawarkan jualan langsung pada harga lebih murah.

Pengurus logistik pula menyalahkan premis edaran kerana produk tidak dipaparkan pada tempat yang betul dalam susun atur yang impresif.

Pengurus jenama pula menyalahkan warna pakej yang tidak menyerlah. Manakala, pengurus piawaian menyifatkan kualiti produk itu sendiri telah merosot.

VUCA menjadikan budaya saling memindahkan kesalahan berterusan dan berpanjangan. Sekali gus mencetuskan ketegangan komunikasi antara jabatan.

Dalam kes SME sekarang, IR 4.0 dan reformasi digital mencetuskan banyak perubahan mendadak.

Banyak pengurusan SME gagal mengadaptasi cara mengendalikan bisnes pada era ledakan digital. Mereka gagal menangani persaingan terbuka yang berlaku di platform digital.

Bagi organisasi gergasi, kesukaran menjadi lebih rumit. Media massa umpamanya, tidak dapat bersikap refleksi dan fleksibel dalam menyusun tindak balas pantas menyesuaikan model perniagaan baharu.

Isu ketaksuban pada model kerja lama serta tidak memiliki skil migrasi adalah ancaman terbesar. Selalunya soal sentimen, “perwilayahan kuasa” dan gagal menerima hakikat produk gaya tradisional tidak lagi relevan menjadi gangguan utama. Sikap ini mencetuskan budaya denial.

Apa yang online lakukan?

Fenomena jualan online yang menghubungkan pengeluar produk atau pengilang secara langsung dengan pembeli, mengganggu operasi premis edaran di pusat beli-belah.

Kewujudan Lazada, Shoppe, Zalora serta Alibaba.com mencetuskan masalah pada premis edaran. Kos sewaan bangunan dan upah pekerja yang terus meningkat tahun ke tahun menjadi beban tambahan. Manakala perolehan jualan pula makin menjunam.

Sepasang Converse Edisi Terhad dijual di premis fizikal dengan harga RM299 ke RM499. Sedangkan platform atas talian menawarkan harga antara RM150 hingga RM259.

Khidmat online pula membolehkan pembeli di Kuala Lumpur menempah secara langsung dalam talian semua model keluaran Converse daripada pengeluar di China.

Bagi perniagaan media massa, saingan peralihan pengiklan ke servis enjin digital mengubah angka janaan pendapatan utama.

Contohnya, Youtube menawarkan hanya RM2 ribu bagi memastikan jangkauan iklan kesedaran jenama mencapai lebih sejuta tontonan. Harga iklan semakin murah bagi gandaan sejuta capaian yang seterusnya.

Manakala, iklan TV pula mengenakan caj RM50 hingga RM100,000 bagi jangkauan yang sama.

Jurang kos iklan ini mencetuskan kepanikan kepada operator media massa konvensional.

Ketika kos operasi media massa tradisional semakin meningkat, harga caj iklan pula semakin tidak kompeten dengan saingan yang ditawarkan platform digital.

Itu antara contoh realiti gangguan perniagaan yang teruk bagi media massa.

Mustahil dengan kos operasi yang kekal tinggi, operator media massa tradisional mampu bersaing dengan tawaran iklan digital yang terlalu murah.

Malah, platform digital memiliki kuasa komunikasi lebih efisien dengan generasi muda yang memiliki daya beli yang lebih agresif.

Media massa tradisional masih dikitari krisis data pelanggan dengan angka kumpulan penonton dan pembaca yang sudah berumur.

Walaupun berdaya beli, namun pembaca dan penonton senior dianggap tidak agresif dalam perbelanjaan segmen gaya hidup yang trendy.

Begitulah. Perubahan persekitaran bisnes IR 4.0 berlaku sangat pantas. Selain kekurangan skil untuk beradaptasi dalam teknologi aplikasi, kegagalan pengurusan tradisional mengubah set minda. Ini menyebabkan kemelut VUCA semakin berbahaya.

Ular tedung sudah mematuk. Makin teruk anda menjerit kerana panik, dan banyak anda melakukan tindakan tidak perlu, nyawa makin terancam. Racun maut akan lebih cepat mengalir ke jantung apabila anda menjadi agresif dan gelabah.

Maka, makin cepatlah anda mati! – 3 Julai, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen