DAP gesa kerajaan akui krisis ekonomi 'tersembunyi'


KERAJAN perlu mengakui berlakunya “krisis ekonomi tersembunyi” dan bukannya menyalahkan rakyat Malaysia dan memperlekehkan penderitaan mereka, kata Ahli Parlimen Kluang Liew Chin Tong hari ini.

Liew berkata kesan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), susut nilai ringgit sebanyak 30% sejak Oktober 2014 dan pemotongan subsidi berturut-turut menyebabkan harga naik.

“Ini menelan pendapatan boleh guna rakyat dan merosakkan penggunaan domestik,” kata Liew, yang juga pengarah Pendidikan Politik DAP, dalam satu kenyataan hari ini.

“Ini berlaku pada masa gaji tidak naik kerana tiada usaha untuk mengurangkan kemasukan buruh asing yang tidak mahir atau campur tangan kerajaan bagi membantu industri meningkatkan keupayaan teknologi.”

Oleh itu, katanya, semakin ramai rakyat Malaysia mencari pekerjaan di luar negara.

Beliau berkata ini dapat dilihat dari segi bilangan rakyat yang melintasi Tambak Johor ke Singapura untuk bekerja setiap hari, yang meningkat daripada 200,000 hingga 300,000 dalam tempoh empat tahun lalu.

“Ramai yang memilih bekerja bidang 3D (kotor, sukar dan berbahaya) di sana. Rakyat Malaysia juga diketahui bekerja secara haram di United Kingdom dan Australia.”

Beliau berkata kerajaan tidak memahami nasib rakyat Malaysia biasa dan mengenepikan kesilapan mereka.

“Apabila timbul masalah, tindak balas segera adalah menyalahkan mangsa yang mengadu.

“Hujung minggu lalu, Najib menyerang mereka yang mengkritik dasar GST. Baginya, kadar cukai 6% baik untuk Malaysia dan tidak perlu merungut atau mengeluh mengenainya.

“Saya lebih terkejut dengan dakwaan yang dibuat oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah yang berkata, ‘Jika rakyat miskin, saya percaya mereka yang menjadikan diri mereka miskin. Jika sempurna anggota tubuh dan boleh berjalan, mereka boleh hidup di Malaysia’.

“Irwan berkata tiada sebab rakyat Malaysia menjadi miskin kerana terdapat banyak peluang untuk mereka menjadi sebaliknya.”

Liew berhujah kerajaan sekurang-kurangnya perlu mengakui krisis 1985 dan 1997.

“Tetapi, kerajaan sekarang sama ada memuji diri sendiri atau menyalahkan mangsa, seperti yang dilakukan Irwan, ketika rakyat Malaysia biasa menderita.” – 29 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen