Mentakrif erti kebebasan


Meor Yusof Aziddin

BARU-BARU ini masyarakat dikejutkan dengan tragedi kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur yang mengorbankan 21 pelajar dan dua warden.

Berikutan kejadian itu, lebih mengejutkan ialah berita tentang penangkapan tujuh remaja lelaki berumur antara 12 hingga 18 tahun bagi membantu siasatan atas tragedi itu.

Sebelum kejadian tersebut berlaku, mereka (pelajar tahfiz dan suspek) ini dikatakan saling ejek-mengejek antara sesama mereka.

Mereka ini, baik yang kanan mahupun yang kiri, budak yang baru nak belajar apa itu hidup. Inilah kenyataannya. Golongan yang itu “Road to Hell” dan yang lagi satu “Stairway to Heaven”. Yang itu “hitam” yang ini “putih”.

Kadang-kadang apabila kita tinggal dalam mukim kesempurnaan yang zahir, ia mampu membuatkan kita riak akan diri kita sendiri.

Mukim sempurna itu seperti kita melihat diri kita lebih daripada orang lain yang tidak sesempurna kita. Apatah kita masih lagi bergelar pelajar yang sangat naif dalam mentafsir makna hidup dan kemanusiaan. Memang sikap manusia ini lumrahnya lebih suka menilai kulit berbanding isi.

Bernasib baiklah jika kita dihantar ke pusat tahfiz untuk menjadi manusia yang baik dan mulia di sisi masyarakat dan agak malang pula bagi mereka yang terbiar dan liar, jauh dari kasih sayang dan belaian ibu bapa.

Apa yang kita boleh harapkan dengan kehidupan para remaja yang liar dan jauh dari kasih sayang ibu bapa ini? Mereka merasakan bebas untuk melakukan apa saja walau berlawanan dengan undang-undang.

Untuk para pelajar pula, mereka bukan saja perlu diajar tentang bab menghafal, bahkan perlu juga diajar tentang kemanusiaan, tentang warna alam, tentang erti hidup yang sebenarnya. Hitam dan putih adalah warna kehidupan.

Remaja dan anak-anak muda hari ini memang sukar diramal perlakuan mereka. Banyak kisah yang tak masuk akal akan terjadi, sudah pun terjadi. Bapa liwat anak sendiri yang masih remaja, anak pukul ibu sendiri, remaja jadi gengster, pelajar terlibat dengan dadah dan macam-macam hal lagi yang berlaku hari ini.

Dan para remaja ini seakan berbangga dengan perlakuan mereka yang “rebel” tanpa batas. Membunuh di kalangan remaja, itu pun berlaku pada zaman ini sebagaimana tragedi yang menimpa di pusat tahfiz baru-baru ini.

Peranan ibu bapa juga penting dalam bab mendidik anak. Kadang- kadang kita perlu lebih memahami daripada lebih suka menghukum. Itu lebih berkesan. Tak semestinya kita mampu menentukan masa depan mereka untuk jadi seperti yang kita impikan.

Tidaklah pula kita perlu memanjakan mereka sehingga hilang rasa hormat mereka kepada kita. Segalanya perlukan kebijaksanaan.

Kebanyakan kita suka dan inginkan kebebasan. Bebas daripada kongkongan ibu bapa, bebas daripada tanggungjawab, bebas melakukan apa saja sedangkan makna bebas itu sendiri sebenarnya subjektif untuk kita mengertikan.

Walau siapa pun kita, selagi masih terikat dengan hukum peradaban dan fitrah alam, kita tidaklah sebebas mana pun. Yang bebas dan merdeka itu cuma orang gila. – 29 September, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen