Terserah pada Zahid bila mahu tamatkan cuti, kata Najib


Ahmad Zahid Hamidi yang jawatannya dipangku Mohamed Hasan ketika ini, mengambil cuti daripada jawatannya secara sukarela selepas menghadapi pelbagai pertuduhan mahkamah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Jun, 2019.

AHMAD Zahid Hamidi sendiri yang perlu buat keputusan untuk menamatkan cuti dan kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno, kata Najib Razak, selepas beliau  aktif semula dalam kegiatan parti sejak kebelakangan ini.

Bekas presiden Umno itu berkata keputusan itu adalah atas Zahid sendiri dan beliau tidak perlukan persetujuan daripada Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk berbuat demikian. 

“Mengikut Perlembagaan Umno, Zahid berhak untuk memimpin kerana tempoh beliau diberi mandat masih ada. 

“Soal beliau hendak kembali bertugas adalah tertakluk kepada dirinya sendiri, tidak perlu persetujuan MT Umno,” kata Najib pada sidang media selepas program Raya Bersama Bossku di Shah Alam, malam tadi. 

Zahid kembali hadir dalam beberapa program rasmi parti selepas mengambil keputusan menyerahkan tugas presiden Umno kepada Timbalannya Mohamad Hasan Disember lalu.

Minggu lalu, Zahid merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kepong di Batu Caves Selangor. Ia adalah kemunculan pertamanya dalam program rasmi Umno sejak enam bulan lalu.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kemudiannya menjelajah Kedah minggu ini dengan program “Jom Jelajah Syawal”. 

Program tersebut dipenuhi dengan acara antaranya perjumpaan dengan Ketua-Ketua Umno Bahagian dan pemimpin badan masyarakat serta merasmikan mesyuarat Umno bahagian dan ceramah perpaduan ummah. 

Najib Razak dan isterinya, Rosmah Mansor bergambar bersama hadirin.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 29 Jun, 2019.

Menurut Najib, beliau faham Zahid sememangnya perlu meninjau reaksi ahli Umno di akar umbi sebelum membuat sebarang keputusan. 

“Zahid kena tinjau dahulu reaksi akar umbi untuk dia buat keputusan yang tepat. Saya cakap dari segi perlembagaan,” katanya. 

Zahid menyerahkan tugas kepada Mohamad pada 18 Disember lalu dengan alasan memenuhi  harapan ahli parti yang mahu pimpinan menterjemah hala tuju sesuai dengan slogan baharu “Umno bangkit’.

Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan tindakan Zahid itu tidak wajar.

Beliau baru-baru ini berkata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu wajar kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno kerana jawatan itu tiada cuti.

“Saya beritahu Zahid baru-baru ini, dia mana boleh bercuti… mana ada cuti. Dia presiden. Dia bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada parti.

“Saya rasa mereka perlu ambil peduli apa yang berlaku dalam parti atau kita akan hilang hala tuju parti,” katanya, dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.

Minggu ini, Zahid dihadapkan dengan 40 pertuduhan jenayah rasuah tambahan menjadikan keseluruhannya 87 kes termasuk melibatkan pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Beberapa kesnya akan mula dibicarakan bermula 18 November ini.

Sementara itu, mengulas mengenai rumah terbukanya malam tadi, Najib meluahkan rasa terharu dengan kehadiran lebih 5,000 orang. 

“Saya cuba perkenalkan konsep rumah terbuka ini dekat dengan rakyat. Mereka yang datang bukan anggota parti walaupun ada beberapa ahli parti yang hadir. 

“Ini bermakna konsep bossku dan 1 Malaysia dapat diterima rakyat jelata,” katanya. 

Sepanjang program yang bermula jam 8 malam, Najib dilihat meluangkan masanya bergambar dengan hadirin sehingga jam 11 malam.  – 29 Jun, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen