Jadi presiden Umno mana ada cuti, kata Ku Li kepada Zahid


Chan Kok Leong SM Amin

Disember lepas, Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas sebagai presiden Umno kepada timbalannya Mohamad Hasan selepas berdepan tekanan untuk letak jawatan atas dakwaan gagal memberikan hala tuju kepada parti. – Gambar The Malaysian Insight, 6 Jun, 2019.

AHMAD Zahid Hamidi sepatutnya kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno kerana jawatan itu tiada cuti, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

“Saya beritahu Zahid baru-baru ini, dia mana boleh bercuti… mana ada cuti. Dia presiden. Dia bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada parti.

“Saya rasa mereka perlu ambil peduli apa yang berlaku dalam parti atau kita akan hilang hala tuju parti,” katanya, yang juga ahli Jemaah Penasihat Umno.

Walaupun Tengku Razaleigh merasakan pertuduhan mahkamah yang dihadapi oleh Zahid boleh menjejaskan wibawa Umno, biarlah beliau yang putuskan sendiri mahu terus jadi presiden atau tidak.

Ahli Parlimen Gua Musang itu memberitahu The Malaysian Insight, Zahid boleh memastikan masalahnya tidak akan jadi beban parti.

“Seseorang itu sepatutnya lebih bertanggungjawab dan kata saya tidak sepatutnya terlibat dan heret parti terpalit lumpur.

“Kita tidak perlu masukkan dalam perlembagaan bahawa seseorang yang berdepan hukuman penjara patut berundur dari parti,” mengulas cadangan pindaan perlembagaan Umno yang kini masih di peringkat penggubalan.

Merujuk kes bekas menteri besar dan ketua menteri Muhammad Muhammad Taib dan Rahim Thamby Chik, Tengku Razaleigh berkata dua kes itu tidak sama.

“Mereka diminta melepaskan tugas sebagai menteri besar atau ketua menteri, bukannya berundur daripada parti,” katanya.

Pada Disember lepas, Zahid menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan selepas berdepan tekanan untuk letak jawatan atas dakwaan gagal memberikan hala tuju kepada parti.

Zahid, yang terpilih sebagai presiden pada pemilihan Umno akhir Jun tahun lalu, tidak menyatakan berapa lama tempoh beliau melepaskan tugasnya ini.

Berikut petikan wawancara tersebut:

TMI: Apa pandangan mengenai ura-ura pindaan perlembagaan parti supaya pemimpin yang didakwa kes jenayah berundur?

TR: Apa yang berlaku sebelum ini dengan Muhammad Muhammad Taib atau Rhaim Thamby Chik ialah pimpinan merasakan mereka sepatutnya menguruskan masalah peribadi supaya tidak dikaitkan dengan parti.

Oleh itu, mereka diminta melepaskan tugas sebagai menteri besar atau ketua menteri, tetapi bukannya daripada parti.

Saya beritahu Zahid baru-baru ini, dia mana boleh bercuti… mana ada cuti. Dia presiden. Dia bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada parti.

Saya rasa mereka perlu ambil peduli apa yang berlaku dalam parti atau kita akan hilang hala tuju parti.

Tengku Razaleigh Hamzah berkata Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno dan perlu bertanggungjawab atas apa yang berlaku kepada parti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Jun, 2019.

TMI: Ada yang kata Zahid patut kembali semula…

TR: Ada juga yang kata beliau sepatutnya bersara. Kembali untuk meminta perlembagaan untuk menghalang sesetengah orang dalam parti, saya tidak setuju begitu.

Kalau jahat tetapi terpilih, maka yang ada ialah presiden yang jahat.

Tetapi beliau ada hak kerana tidak hilang kelayakan daripada jadi pemimpin yang dipilih walaupun seseorang pemimpin itu sepatutnya buat keputusan sendiri. Kalau kita maju dari segi budaya, kita sepatutnya kata kita tidak mahu pemimpin seperti ini

Ia tidak perlu dimasukkan dalam perlembagaan.

TMI: Ada pandangan bahawa Zahid terbelit dengan masalah kesnya.

TR: Itu sepatutnya jadi tanggungjawab orang yang berkenaan, yang mana masalahnya tidak harus jadi masalah parti.

Seseorang itu sepatutnya lebih bertanggungjawab dan kata saya tidak sepatutnya terlibat dan heret parti terpalit lumpur.

Kita tidak perlu masukkan dalam perlembagaan bahawa seseorang yang berdepan hukuman penjara patut berundur dari parti,

Dia mungkin tidak didapati bersalah nanti.

Kalau dia layak untuk bertanding, dia sepatutnya tawarkan diri. Tetapi pada masa sama, orang itu sepatutnya fikir apa yang dia boleh buat pada parti dengan masalahnya itu.

TMI: Adakah isu kes Zahid dan Najib Razak masalah bagi Umno?

TR: Sudah tentu ia masalah kerana ini soal persepsi. Politik itu permainan persepsi. Malang bagi Najib dan Zahid. Mereka mungkin bersalah, saya tak tahu. Saya pegang pada prinsip yang ada iaitu seseorang tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh mahkamah. – 6 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen