AHMAD Zahid Hamidi hari ini ini menghadiri program rasmi Umno yang pertama sebagai presiden parti sejak menyerahkan tugas kepada timbalannya Mohamad Hasan pada pertengahan Disember lalu.
Pada kemunculan pertamanya sejak enam bulan lalu, Zahid merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kepong di Pusat Konvensyen Ideal Selayang di Batu Caves, Selangor.
Ketua Umno Bahagian Kepong Rizuan Abd Hamid dalam ucapan alu-aluannya meminta Zahid kembali menjalankan tugas sebagai presiden selepas semua isu yang membelenggu parti sebelum ini selesai.
“Umno masa kini diuruskan oleh Tok Mat (Mohamad). Tok Mat melaksanakan tugas dengan baik… beberapa PRK berjaya… berjaya menyatukan Umno. Kita beri peluang kepada dia.
“Apabila sudah selesai semua, kita berharap Presiden kembali menjalankan tugasnya,” katanya.
Namun, Zahid dalam ucapan perasmiannya langsung tidak memberi maklum balas kepada perkara yang dibangkitkan oleh Rizuan.
Ucapan beliau sebaliknya memberi tumpuan meminta ahli parti bersatu dan tidak mewujudkan kabilah dalam Umno.
Jelasnya, ahli Umno perlu fokus kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana banyak kemusnahan yang bakal berlaku sekiranya Pakatan Harapan terus dibiarkan menerajui kerajaan.
Beliau juga mahu ahli Umno menerima kerjasama PAS dengan ikhlas supaya hasrat untuk merampas Putrajaya menjadi kenyataan.
“Anggaplah 9 Mei 2018 sebagai satu hikmah bagi menyedarkan kita mengenai kerakusan dan penipuan yang ditunjukkan oleh pihak yang selama ini cuma tamakkan kuasa.
“Melayu makin hilang suara. Puncanya kita berpecah, terlalu banyak parti. Sebab itulah kerjasama Umno dan Pas digarap dan akan diperkasakan.
“Gerakan penyatuan ummah sudah memberi hasil termasuk di beberapa PRK dan kini mulai digeruni oleh Pakatan Harapan,” katanya.
Zahid dikritik hebat oleh pemimpin dan ahli Umno kerana didakwa gagal membentangkan arah tuju parti selepas menang pemilihan parti Jun tahun lalu.
Pada masa sama, beliau juga berdepan 47 kes di mahkamah melibatkan pertuduhan jenayah pecah amanah, salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.
Zahid menyerahkan tugas kepada Mohamad pada 18 Disember lalu dengan alasan memenuhi harapan ahli parti yang mahu pimpinan menterjemah hala tuju sesuai dengan slogan baharu “Umno bangkit’.
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan tindakan Zahid itu tidak wajar.
Beliau baru-baru ini meminta Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kembali menjalankan tugas sebagai presiden Umno kerana jawatan itu tiada cuti.
“Saya beritahu Zahid baru-baru ini, dia mana boleh bercuti… mana ada cuti. Dia presiden. Dia bertanggungjawab atas apa yang berlaku pada parti.
“Saya rasa mereka perlu ambil peduli apa yang berlaku dalam parti atau kita akan hilang hala tuju parti,” katanya, dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.
Walaupun mengakui pertuduhan mahkamah yang dihadapi oleh Zahid boleh menjejaskan wibawa Umno, Tengku Razaleigh berpendapat Zahid boleh memastikan masalahnya tidak akan jadi beban parti.
Semalam, Mohamad menegaskan beliau tiada masalah untuk menyerahkan semula tugas presiden yang diamanahkan kepadanya jika Zahid hendak kembali mengetuai parti. – 22 Jun, 2019.
Komen