Malaysia tidak boleh terus jadi 'tukang pasang', kata penganalisis


Sheridan Mahavera Yeoh Cheong Ee

Malaysia sentiasa menjadi negara yang terkenal kerana memasang jenama luar daripada membuat jenama sendiri, kata penganalisis ekonomi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2019.

KETIKA di era 80-an dan 90-an apabila ekonomi dikuasai sektor pembuatan, sektor perindustrian Malaysia telah menjana pendapatan terutamanya kepada golongan kelas pertengahan.

Kini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mahu mengembalikan era kegemilangan perindustrian melalui teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) seperti kecerdasan buatan (AI), robotik dan big data dalam sektor pembuatan.

Alasannya adalah gelombang kedua pembuatan berteknologi tinggi akan mewujudkan pendapatan yang lebih baik yang akan membantu rakyat Malaysia kelas pertengahan menangani beban kos sara hidup. 

Namun, penganalisis tempatan memberi amaran bahawa sejarah negara sebagai “tukang pasang” akan menghalang matlamat kerajaan untuk mendapatkan kelebihan sepenuhnya daripada IR4.0 

Sekiranya Malaysia terus menjadi negara pemasang (nation of assemblers), seperti memasang semikonduktor pada masa lalu, ia akan kekal di penghujung rantaian nilai pembuatan walaupun dengan IR4.0, kata Dr Ali Salman dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).

Apabila nilai tambahnya kecil, ia bermakna kurang keuntungan kepada pemilik dan apabila keuntungan rendah, jumlah pekerjaan bergaji tinggi akan mengecil. Dan pekerjaan itu sendiri tidak akan ada yang bergaji tinggi, kata CEO Ideas itu. 

Malaysia akan kekal di penghujung rantaian nilai pembuatan walaupun dengan IR4.0 sekiranya terus menjadi negara pemasang (nation of assemblers), kata Dr Ali Salman dari Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas). – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 29 Jun, 2019.

Menurut sejarah, pekerjaan pemasangan di kilang di Malaysia juga dibayar rendah, kemahiran yang rendah dan biasanya akan dipenuhi buruh asing.

Ia masih akan berulang walaupun dengan IR4.0 melainkan Malaysia membuat pembaharuan dalam sektor ini daripada pemasangan produk kepada sebuah negara yang memfokuskan kepada pembuatan barangan, kata Ali. 

Dan untuk itu, perlu ada bakat yang sesuai, sama ada menerusi rakyat Malaysia di negara maju, atau membawa bakat asing yang berkualiti, katanya. 

Ia bukan hanya membuat peruntukan belanjawan yang tepat untuk menggalakkan penggunaan IR 4.0. Ia juga tentang mendapatkan bakat yang betul, kata Ali.

Malaysia sentiasa menjadi negara yang terkenal kerana memasang jenama luar daripada membuat jenama sendiri. Ini meletakkan kita di penghujung rantaian nilai.

Sebagai perbandingan, kuasa perkilangan Asia seperti Jepun dan Korea Selatan akhirnya menggerakkan rantaian nilai daripada menjadi pemasang untuk menjadi pencipta jenama seperti Sony, Panasonic dan Samsung.

Harga tinggi tapi bayaran rendah

Melainkan  Malaysia menggerakkan rantaian nilai pembuatan dan menjadi pencipta, sasaran kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia menangani kenaikan harga barang akan terjejas.

Strategi pentadbiran untuk mengendalikan inflasi dengan memperluaskan senarai barangan yang harganya terbatas misalnya akan memberi kesan negatif kepada ekonomi, tambahnya.

Perkara ini telah dibangkitkan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Saifuddin Nasution Ismail dalam wawancara dengan The Malaysian Insight pada April.

Saifuddin berkata kementerian sedang mengumpul data dari pasar raya mengenai 10 barangan yang paling banyak dibeli dan sedang mempertimbangkan sama ada untuk menambah mereka ke senarai harga kawalan yang pada masa ini termasuk beras, gula, tepung dan minyak masak.

Masalah dengan strategi ini ialah ia mengganggu dinamik penawaran-permintaan dan keuntungan kos yang merupakan sebahagian daripada ekonomi, kata Ali.

Apabila ada kawalan harga barang tertentu, pengeluar tidak lagi berminat untuk melabur untuk membuatnya kerana mereka fikir mereka tidak boleh menghasilkan wang jika harganya dikawal, katanya.
 
Daripada kawalan harga, lebih baik kerajaan wujudkan pekerjaan yang dibayar tinggi dan membolehkan kenaikan harga agar bayaran upah meningkat, katanya.

Sebab mengapa majoriti pekerjaan kolar biru tidak membayar cukup adalah mereka berada di sektor perkhidmatan rendah seperti makanan dan minuman dan runcit.

“Kira-kira 65% tenaga buruh bekerja di PKS (perusahaan sederhana kecil) dan 90% daripada PKS terlibat dalam perkhidmatan. Dan pekerjaan ini tidak dibayar tinggi.– 29 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen