Umno Selangor mahu sewakan bangunan


SM Amin

Umno Selangor sedang berusaha menyewakan bangunan pejabatnya di Shah Alam bagi meraih sumber pendapatan baharu. – Gambar fail EPA, 28 Jun, 2019.

UMNO Selangor sedang berusaha menyewakan bangunan pejabatnya di Shah Alam bagi meraih sumber pendapatan baharu sekali gus mengurangkan kos operasi parti untuk mengurus bangunan 10 tingkat itu.

Tindakan dibuat selepas agensi anti rasuah membekukan akaun banknya sejak setahun lalu dan membuat tuntutan melucut haknya ke atas sejumlah wang yang didakwa diterima daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Agen hartanah yang dihubungi The Malaysian Insight, berdasarkan maklumat pada iklan di Facebook, mengesahkan bangunan yang menempatkan pejabat Umno dan milik Umno negeri itu hendak disewakan kepada pemilik baharu.

Bagaimanapun, ejen tersebut enggan mendedahkan butiran lanjut berhubung penyewaan tersebut.

Berdasarkan keratan iklan tersebut, Umno Selangor mahu menyewakan keseluruhan bangunan.

Pemangku Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang dihubungi enggan mengesahkan iklan tersebut tetapi tidak juga menafikan.

The Malaysian Insight sebelum ini pernah melaporkan terdapat dua pihak iaitu sebuah bank dan hotel menyatakan minat untuk menyewa keseluruhan bangunan tersebut.

Nadzari ketika itu tidak menolak kemungkinan operasi Umno Selangor akan berpindah ke satu lagi bangunan milik mereka di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur sekiranya bangunan di Shah Alam itu disewakan kelak.

Tinjauan The Malaysian Insight ke Bangunan Umno Selangor semalam mendapati Jabatan Perhubungan Perusahaan Selangor adalah penyewa tunggal sekarang yang beroperasi di aras 4.

Empat tingkat digunakan untuk operasi parti sebagai pejabat Badan Perhubungan Umno Negeri Selangor, pejabat Barisan Nasional Negeri Selangor, bilik mesyuarat dan dewan seminar Umno. Lima aras lain terbiar kosong.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, Pusat Transformasi Usahawan (ETC), Hub Transformasi Usahawan dan Kumpulan Muara Sdn. Bhd merupakan antara penyewa di bangunan tersebut.

Minggu lalu, SPRM menamakan Umno Selangor antara 41 pihak yang dituntut dalam saman sivil untuk melucutkan hak mereka ke atas wang keseluruhan RM270 juta yang didakwa mereka terima daripada 1MDB.

Selain Umno Selangor, SPRM menamakan ibu pejabat Umno dan lima pejabat negeri iaitu Kelantan, Kedah, Pahang, Johor dan Sabah. – 28 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen