Umno Selangor tiada duit, pertimbang sewakan ibu pejabat


SM Amin

Umno Selangor yang sebelum 2008 mentadbir negeri terkaya Malaysia itu kini dilaporkan berdepan masalah kewangan dan mempertimbangkan untuk menyewa bangunannya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2018.

UMNO Selangor bercadang menyewakan bangunannya di Shah Alam untuk meraih sumber pendapatan baharu selepas akaun bank pergerakan itu dibekukan ekoran siasatan kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Sumber Umno Selangor memberitahu The Malaysian Insight, dua pihak sudahpun berminat untuk menyewa bangunan yang terletak di pusat bandar ibu negeri itu.

Akaun bank pergerakan itu dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat dakwaan bahawa dana 1MDB digunakan untuk membiaya kegiatan politik.

“Dulu katanya akaun dibekukan tiga bulan sahaja tetapi mungkin sekarang jadi 12 bulan. Umno Selangor sukar untuk beroperasi jika keadaan ini berterusan,” kata sumber.

Umno Selangor sebelum ini menguasai pentadbiran negeri paling kaya di Malaysia itu, namun ditewaskan pada 2008 dan seterusnya terpaksa bergantung kepada dana Umno pusat.

Akaun Umno pusat juga dibekukan selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu dan bekas presidennya Najib Razak diheret ke mahkamah atas tuduhan pecah amanah berkaitan dana SRC International, salah satu unit 1MDB.

Menurut sumber lagi, Umno Selangor kini mempertimbangkan untuk memindahkan operasi dari ibu pejabat di Shah Alam ke bangunan lama milik parti di Jalan Ipoh Kuala Lumpur.

Pemimpin bahagian itu berkata, perkara itu diputuskan dalam satu mesyuarat Umno Selangor minggu lalu.

Susulan kekalahan memalukan Barisan Nasional diterajui Umno pada PRU14, siasatan 1MDB yang digagaskan Najib Razak kembali dibuka. Antara kesannya adalah akaun beratus pihak termasuk beberapa Umno negeri dibekukan sementara siasatan dilakukan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2018.

Mengulas perkara itu, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahalan berkata tiada sebarang masalah jika bangunan Umno Selangor itu akan disewakan.

Namun cadangan untuk menjual bangunan itu tidak timbul dalam mesyuarat tersebut, tegasnya kepada The Malaysian Insight.

“Siapa cakap? Berita tak benar. Tidak timbul soal kita hendak jual (bangunan).

“Tiada perbincangan, tiada niat untuk jual, dan tiada sebarang rundingan dilakukan. Tiada sesiapa pun broker yang dilantik untuk menjual bangunan ini,” katanya ketika dihubungi.

Seorang lagi ketua bahagian Umno di Selangor yang dihubungi juga menafikan bahawa usul untuk menjual bangunan tersebut dibangkitkan dalam mesyuaat.

“Tiadalah. Dalam mesyuarat tiada dibincangkan perkara itu.” kata Ismail Kijo, ketua Umno bahagian Ampang.

Bagaimanapun, Ketua Umno bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos pula berpandangan bahawa bangunan itu boleh disewakan, atau terus dijual sekiranya mendapat tawaran yang baik.

Tambahnya, Umno Selangor tiada sebab untuk terus menduduki bangunan ibu pejabat sekarang memandangkan mereka hanya menggunakan sebahagian sahaja ruang di bangunan tersebut.

Jelas beliau, Umno negeri tidak memerlukan ibu pejabat di Shah Alam kerana pergerakan itu tidak mengadakan mesyuarat setiap hari.

“Kalau betul pun bangunan itu hendak disewa, saya fikir tiada masalah. Umno pun hanya guna tiga tingkat sahaja, banyak kosong. 

“Sesiapa hendak sewa atau beli dengan harga yang sesuai, Umno boleh pertimbangkan perkara itu,” katanya. – 23 Ogos, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen