Umno Selangor sewakan bangunan, muktamad hujung tahun ini


SM Amin

UMNO Selangor sudah tidak lagi sesuai beroperasi di bangunannya sekarang, kata pengerusi badan perhubungan negeri, Ismail Sabri.

Beliau mengesahkan laporan pihaknya akan menyewakan bangunan di Shah Alam selepas akaun bank parti itu dibekukan ekoran terkait siasatan kes skandal 1Malaysia Development berhad (1MDB).

Ismail berkata Umno Selangor akan menyewakan bangunan itu, bergantung pada perbincangan mengenainya di peringkat parti.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan pula memberitahu keputusan memberi sewa bangunan Umno Selangor di Shah itu akan dimuktamadkan sebelum akhir tahun ini.

“Kita akan bincang secara dalaman. Tetapi pada prinsipnya, memang kita rasa tidak perlu (Umno menduduki sepenuhnya bangunan itu) sebab bangunan itu terlampau besar. 

“Kita cuma perlukan dua tingkat sahaja. Bangunan Umno Selangor ada sembilan tingkat; pastinya kita akan sewakan,” kata Ismail kepada The Malaysian Insight.

Ketua Umno Selangor Ismail Sabri Yaakob mengulas tentang nasib ibu pejabat Umno di Shah Alam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 September, 2018.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan dua pihak iaitu sebuah bank dan sebuah hotel sudah menunjukkan minat menyewa bangunan yang terletak di pusat bandar ibu negeri Selangor itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini membekukan akaun beberapa pertubuhan dan individu, termasuk Umno Selangor, bagi menyiasat dakwaan bahawa dana 1MDB digunakan untuk membiaya kegiatan politik.

Menurut Nadzari, Umno Selangor masih menimbang sama ada menyewakan keseluruhan bangunan itu atau sebahagiannya saja kerana pilihan itu melibatkan proses yang berbeza.

Tetapi walau apapun pilihannya, tujuan utama Umno Selangor ialah meningkatkan pendapatan parti melalui hartanah yang dimilikinya, tambah beliau.

“Kita bagi sampai hujung tahun ini untuk mengoptimumkan pendapatan melalui hartanah-hartanah ataupun apa-apa juga yang kita ada terutamanya bangunan Umno Selangor ini. 

“Banyak tingkat-tingkat yang kosong, jadi kita kena optimumkan. Rasa sangat rugi tetapi sewanya tidak mendapatkan hasil yang sepatutnya.

“Kita akan tengok kemungkinan sama ada mengisi keseluruhannya atau mengisi mengikut kekosongan,” kata Nadzari kepada The Malaysian Insight.

Usaha meningkatkan pendapatan itu makin mendesak kerana Nadzari juga menjangkakan agensi kerajaan persekutuan yang sekarang menyewa bangunan milik Umno Selangor akan berpindah keluar apabila kontrak sewaan tamat.

“Kita menjangkakan mereka akan keluar selepas perjanjian sewa tamat. Apabila berlaku perkara ini, ia akan beri kesan kepada kewangan Umno dan sebab itu kita sedang melihat semua kemungkinan yang ada,” katanya.

Antara pilihan yang dipertimbangkan oleh Umno Selangor ialah menyewakan keseluruhan bangunan itu dengan hak menamakannya semula, yang akan mendatangkan untung yang lebih.

“Kalau hak penamaan bangunan itu mereka hendak dan kita rasa ia berbaloi untuk mengoptimumkan pendapatan ataupun sewa, kita akan sewakan. Tiada masalah,” katanya.

Nadzari menjelaskan Umno Selangor tidak akan ada masalah untuk meneruskan operasi kerana ia boleh berpindah ke bangunan lain yang lebih kecil.

“Kita ada banyak bangunan dan bangunan kita bagus-bagus. Kita ada satu lagi bangunan yang lebih baik daripada ini iaitu di Jalan Ipoh. Tiada masalah untuk operasi pejabat,” katanya.  – 23 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen