Ketua SPRM Kedah salahkan pegawai rasuah, bukannya orang awam


Kalidevi Mogan Kumarappa

Rakyat Malaysia dilihat berjalan ke Thailand selepas melepasi kawalan imigresen di Sungai Golok. Pengarah SPRM Kedah berkata tidak wajar menyalahkan orang awam susulan kegiatan rasuah yang berleluasa di sempadan Malaysia-Thailand. – Gambar EPA, 27 Jun, 2019.

KEBOCORAN pintu sempadan dengan rasuah RM10 adalah salah pegawai penguatkuasa undang-undang yang tidak berintegriti, kata Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah Shaharom Nizam Abd Manap.

Katanya, sebagai penjawat awam yang diberi amanah dan tanggungjawab mengawal pintu sempadan, mereka harus mempertahankan integriti dan membanteras rasuah. 

“Bagi saya integriti perlu ada pada setiap penjawat awam. Jika integriti mereka tinggi, kejadian sogokan tidak akan berlaku malah mereka sendiri boleh tangkap dan serah kepada SPRM.

“Orang awam memang akan cari jalan mudah dengan bagi sogokan kepada penjawat awam. 

“Semua penjawat awam sedia maklum tentang kesalahan memberi dan menerima rasuah tetapi hanya segelintir yang sanggup buat aduan kepada SPRM,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Jelas beliau, penguatkuasa sepatutnya menolak sogokan dan menasihatkan orang awam bahawa memberi sogokan itu salah di sisi undang-undang.

“Sekiranya mereka masih berdegil untuk beri rasuah, tangkap mereka,” katanya.

Shaharom mengulas laporan The Malaysian Insight kelmarin mengenai kegiatan pegawai penguatkuasa di pintu sempadan Bukit Kayu Hitam yang “mengaut” sogokan serendah RM10 daripada setiap bas ekspres dan van pelancong yang masuk ke Malaysia dari Thailand.

Menurut Shaharom, pihaknya ada menerima aduan berhubung isu imbuhan itu malah pegawainya sendiri ada membuat risikan selepas menerima maklumat orang awam tetapi mereka sukar dapat kerjasama daripada pihak yang terlibat.

“Kami sedar kejadian yang berlaku. Masalah yang dihadapi ialah untuk mendapat kerjasama daripada semua pihak untuk ambil tindakan kepada mereka yang terlibat.

“Namun dari semasa ke semasa kami akan terus memantau di sekitar sempadan,” katanya.

Semalam, dalam reaksinya kepada laporan sama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kedah menyalahkan pengusaha van dan bas ekspres yang didakwa memberi sogokan kepada anggotanya sehingga menyebabkan amalan itu berlarutan.

Komander Aksem Kedah Abd Latif Abdul Rahman berkata pemandu bas dan van pelancongan ini perlu hentikan amalan mereka.

“Orang yang bagi duit itu yang rosakkan negara sebenarnya. Jadi tindakan pencegahan patut bermula dari pemberi dulu.

“Operator ini adalah anai-anai yang merosakkan negara. Mereka tidak mahu diperiksa dan sebagainya jadi mereka terus bagi duit dan meneruskan perjalanan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Sejak Disember 2017, semua agensi kawalan di sempadan diselaraskan di bawah Aksem melibatkan antaranya Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Di-Raja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara. – 27 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen