SEKUMPULAN pegawai agensi kawalan sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah sanggup membocorkan pintu masuk negara hanya dengan imbuhan sekurang-kurangnya RM10 daripada setiap bas ekspres dan van pelancong yang masuk ke Malaysia dari Thailand.
Imbuhan itu bagi mengelakkan kenderaan mereka diperiksa terlalu teliti oleh penguatkuasa sehingga melambatkan perjalanan, kata pemandu bas dan pengusaha pelancongan kepada The Malaysian Insight.
Imbuhan itu menyebabkan sesetengah barangan kawalan dan larangan dari Thailand boleh dibawa masuk dengan mudah ke Malaysia, termasuk tanpa dikenakan cukai, kata mereka.
Mereka menganggarkan terdapat antara 100 hingga 150 bas pelancong dan ekspres yang melalui sempadan di Bukit Kayu Hitam setiap hari.
“Saya sudah lama menguruskan agensi pelancongan dan setiap kali berurusan di pintu sempadan bawa masuk atau keluar pelancong, saya akan sediakan wang imbuhan antara RM100 ke RM200,” kata seorang pemandu bas pelancong yang hanya mahu dikenali sebagai Salleh.
Salleh menceritakan kepada The Malaysian Insight pengalamannya melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ketika membawa rombongan yang memborong periuk dan perkakas dapur dari Thailand.
“Apabila nampak banyak barang yang diborong, pegawai penguatkuasa tidak mahu terima imbuhan RM10 seperti biasa sebaliknya minta saya bayar lebih untuk kami lepas masuk ke Malaysia,” katanya.
Sejak Disember 2017, semua agensi kawalan di sempadan diselaraskan di bawah Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) melibatkan antaranya Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Di-Raja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.
The Malaysian Insight difahamkan pemandu bas pelancong terpaksa menghulur sogokan kepada pegawai penguatkuasa di setiap lapis pintu kawalan pelbagai agensi, melibatkan polis, kastam, dan imigresen.
Pemandu bas dan van pelancongan yang ditemui The Malaysian Insight bagaimanapun mengakui kegiatan itu mula berkurangan sejak Abdul Hamid Bador dilantik sebagai ketua polis negara, sejak Mei lalu.
“Mereka mula takut sebab dia (Hamid) kerap turun buat spotcheck (pemeriksaan mengejut),” kata seorang pemandu bas.
Kegiatan menyapu duit imbuhan itu bermula apabila penumpang turun di pintu sempadan untuk pemeriksaan imigresen. Pegawai penguatkuasa yang membuat pemeriksaan ke atas kenderaan yang dikosongkan itu akan “bersalam” dengan pemandu bas atau van sambil mengaut sogokan.
Sogokan itu akan berulang pada setiap lapis pemeriksaan lain melibatkan agensi kastam dan AKSEM.
Sogokan itu dikutip dengan kata kunci “name list” atau “senarai nama”. Pemandu kenderaan kemudian akan menyerahkan kertas yang diselipkan dengan wang imbuhan.
Wang untuk pegawai penguatkuasa sempadan juga ditinggalkan di ruang bagasi, yang akan disapu semasa mereka membuka tempat itu untuk pemeriksaan.
The Malaysian Insight juga menyaksikan sendiri perpindahan wang dari tangan pemandu bas kepada tangan pegawai penguatkuasa Aksem semasa pemeriksaan pada peringkat akhir.
Seorang pemilik syarikat pelancongan memberitahu The Malaysian Insight, semasa mula menceburi bidang itu beliau pernah beberapa kali terkandas di pintu sempadan kerana kurang arif tentang amalan menghulurkan duit imbuhan kepada pegawai penguatkuasa.
“Kemudiannya saya dinasihati oleh senior dalam industri mengenai amalan ini. Sejak itu, kami akan tukar wang siap-siap untuk diagihkan kepada pegawai dari agensi berlainan untuk melancarkan perjalanan,” katanya, yang hanya mahu dikenali sebagai Saiful.
Saiful, yang sudah 30 tahun membawa pelancong keluar masuk Malaysia, berkata beliau pernah ditahan lebih tiga jam di Bukit Kayu Hitam kerana tidak mahu menghulur duit imbuhan.
“Bukan saja imej saya tercalar di kalangan pelancong asing tetapi perjalanan pulang semua pelancong ke Singapura turut menjadi lewat,” katanya.
Beliau juga mendakwa amalan ini berlaku bukan saja di Bukit Kayu Hitam tetapi hampir di semua pintu masuk sempadan Malaysia-Thailand.
Seorang pemandu pelancong mendedahkan amalan ini pernah diadu kepada Kementerian Pelancongan tetapi beliau mendakwa syarikat pula jadi mangsa sasaran pihak berkuasa.
“Saya pernah buat aduan dua kali. Akibatnya, tiba-tiba pihak berkuasa buat pemeriksaan ke atas bas milik saya ketika diletakkan di depan bangunan pejabat.
“Apabila ini berlaku, akan timbul pelbagai dakwaan dan aduan daripada pelancong yang menggunakan perkhidmatan kami sedangkan saya tahu pemeriksaan itu hanya sasaran,” katanya. – 23 Jun, 2019.
Komen