AGENSI Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kedah menyalahkan pengusaha van dan bas ekspres yang didakwa memberi sogokan kepada anggotanya sehingga menyebabkan amalan itu berlarutan.
Komander Aksem Kedah Abd Latif Abdul Rahman berkata pemandu bas dan van pelancongan ini perlu menghentikan tindakan tersebut terlebih dahulu untuk membanteras kegiatan terbabit.
“Orang yang bagi duit itu yang rosakkan negara sebenarnya. Jadi tindakan pencegahan patut bermula dari pemberi dulu.
“Operator ini adalah anai-anai yang merosakkan negara. Mereka tidak mahu diperiksa dan sebagainya jadi mereka terus bagi duit dan meneruskan perjalanan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Abd Latif juga berkata kes itu sepatutnya dilaporkan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan ibu pejabat Aksem untuk tindakan segera.
“Kalau betul ada, saya terbuka, ambil gambar dan terus lapor SPRM. Biar SPRM turun, lapor pada saya pun boleh. Saya boleh adakan pemeriksaan mengejut di sempadan,” katanya.
Beliau mengulas pendedahan The Malaysian Insight mengenai anggota yang mengutip wang serendah RM10 dari pemandu bas dan van bagi melepasi kawalan di Bukit Kayu Hitam.
Pemandu bas dan van berkenaan mengakui membayar wang sogokan terbabit untuk mengelakkan kenderaan mereka diperiksa terlalu teliti oleh penguatkuasa yang melambatkan perjalanan.
Pengusaha ini mendedahkan, sogokan di kawalan sempadan di Kedah itu berulang pada setiap lapis pemeriksaan lain melibatkan polis, kastam, dan imigresen.
Wang untuk pegawai penguatkuasa sempadan juga ditinggalkan di ruang bagasi, yang didakwa akan disapu semasa pihak berkuasa terbabit membuka tempat itu untuk pemeriksaan.
Sogokan itu dikutip dengan kata kunci “name list” atau “senarai nama”.
Pemandu kenderaan kemudian akan menyerahkan kertas yang diselipkan dengan wang rasuah.
Imbuhan itu menyebabkan sesetengah barangan kawalan dan larangan dari Thailand boleh dibawa masuk dengan mudah ke Malaysia, termasuk tanpa dikenakan cukai, kata mereka.
Ditanya lanjut, Abd Latif berkata beliau perlu rujuk kepada agensi yang menganggotai Aksem untuk mendapatkan penjelasan dakwaan berkenaan.
Pihak berkuasa itu adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara.
“Setiap agensi mempunyai pasukan siasatan dalamannya iaitu Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard untuk polis manakala kastam dan imigresen adalah unit siasatan dalamannya sendiri.
“Kami akan siasat sekiranya dakwaan kutip duit ini benar,” katan Abd Latif.
Jelasnya, sewaktu operasi, pegawai polis, kastam dan imigresen dalam Aksem dapat dikenalpasti melalui pakaian celoreng khas.
Unit lain PDRM, JKDM, JIM serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang bertugas di sempadan pula mengenakan pakaian seragam masing-masing, katanya.
Abdul Latif berkata, beliau kecewa dengan dakwaan tersebut kerana anggota beruniform yang mengawal sempadan berkenaan sudah berkali-kali diingatkan supaya tidak mengamalkan rasuah.
“Bagi Aksem setiap pegawai dan anggota yang berurusan dengan orang ramai, tidak dibenarkan memiliki lebih dari RM50 ketika bertugas.
“Sekiranya ada (wang lebih dari ditetapkan), mereka perlu isytiharkannya lebih awal kepada penyelia ketika masuk tugas.
“Jadi, sekiranya ada bukti bergambar, kami boleh adakan spot check dan jika ada anggota atau pegawai yang memiliki wang lebih hasil rasuah, mereka mampu ditahan serta merta,” katanya.
Abdul Latif turut memberi jaminan akan menukar pegawai terlibat serta-merta untuk melakukan tugas yang tiada kaitan dengan sempadan sekiranya tuduhan berkenaan terbukti benar.
“Mereka yang kutip duit seperti ini tidak sesuai bertugas di sempadan kerana kawasan ini adalah sensitif,” katanya.
Beliau bimbang sekiranya amalan itu akan membawa kerosakan lebih besar sekiranya dibiar berpanjangan.
“Pada mulanya mereka akan bagi benda kecil masuk nanti akan bagi masuk benda lain macam senjata api pula. Ia akan rosakkan negara kita sahaja, itu yang kita bimbangkan,” katanya. – 25 Jun, 2019.
Komen