Samping yang tinggal


Badrul A Bakar

PADA Ramadan lepas, telah dikupas tentang pupusnya pesak di baju Melayu masa kini. Dalam pada itu muncul pula sebuah artikel oleh Faisal Tehrani, tetapi di Malaysiakini. Beliau yang pandai sejarah menyentuh tentang samping. 

Katanya, samping bukan berasal dari Nusantara, tetapi dari benua kecil India. Ini samalah seperti agama Hindu dan Buddha yang suatu masa dulu menjadi anutan leluhur kita. Samping mengalami proses suai dan serap (adapt and adopt), samalah seperti agama Hindu dan Buddha. 

Namun apabila Islam datang, Hindu dan Buddha hilang, tetapi samping kekal. Begitulah istimewanya samping untuk orang Melayu.

Kisah samping boleh diperbandingkan dengan Scottish Kilt. Skirt yang selalu dipakai oleh lelaki Scotland ketika berarak sambil bermain bagpipe. Ini ironi kerana kilt datang dari England yang merupakan saudara atau jiran yang sekejap mereka sayang dan sekejap lagi mereka benci. 

Scotland hendak berpisah dari United Kingdom kerana hegemoniknya England. Dominannya England sampaikan orang Scottish tidak lagi mahir berbahasa Gaelic yang merupakan bahasa asal mereka. Tetapi apabila referendum, ternyata Scotland tidak berani untuk berkerajaan sendiri. 

Cukup rumit kerana ada love-hate relationship, dan ada pula masalah keyakinan diri yang justeru menyebabkan Scotland tidak mampu bermandiri.

Masalah kurang yakin diri itu jugalah yang sedang melanda industri samping songket Terengganu.  Walaupun jambatan angkat yang sudah siap justeru boleh turun dan naik, tetapi jualan samping songket terus menurun tanpa ada sebarang petunjuk ia akan naik.

Menurut beberapa rakan yang berkunjung ke Kuala Terengganu, pengusaha samping songket sedang terhimpit kononnya kerana Barisan Nasional (BN) tidak lagi berkuasa. Menurut mereka mantan parti pemerintah itulah yang selama ini menyokong industri samping songket Terengganu. 

Ini kerana banyak ritual parti terutamanya Umno yang memerlukan pemimpin dan ahli memakainya. Malah samping juga menjadi pilihan mereka dalam menghadiahkan cenderahati.

Namun, secara tersiratnya mereka menyatakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak menyokong industri mereka.  

Benarkah dakwaan tersebut? Atau ini sekadar ikut-ikut trend masa kini menyalahkan PH atas segala malapetaka yang melanda. Hatta, kalau jerawat tumbuh di pipi pun puncanya kerajan PH.

Pun begitu trend menyalahkan kerajaan memerintah adalah legasi PH sendiri. Kini ia digunapakai oleh BN dan menular pula dalam kalangan rakyat, seperti yang boleh dilihat di Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain media sosial.

Mungkin PH perlu husnuzon dengan takdir mereka dengan menganggapnya sebagai satu kifarah bagi membasuh dosa mereka yang sewenangnya menyalahkan BN dalam segala hal semasa menjadi pembangkang suatu waktu dahulu.

Ini termasuklah perpecahan yang melanda Pakatan Rakyat yang merupakan rentetan daripada perpecahan dalaman PAS. Golongan profesional @ Erdogan @ Anwarinas @ pro-DAP disingkir secara bergaya oleh golongan ulama yang termakan hasutan BN.

Begitulah hebatnya pasukan perang saraf dan propaganda pembangkang zaman itu yang hanya menggunakan blog, YouTube, Facebook dan Twitter kerana kerajaan BN pada masa itu mengongkong televisyen, radio dan akhbar.

Walaupun serba kekurangan mereka berjaya melakukan media framing lantaran membentuk persepsi betapa hegemoniknya BN dalam politik Malaysia yang di kala itu lengkap dengan 3M, iaitu money, media and machinery atau wang, media dan jentera.

BN bagaikan pendekar Melayu yang lengkap bertanjak, berkeris, malah bersamping songket Terengganu yang nauzubillah mahal, malangnya kalah di pada yang tidak rata. 

Jika trend menyalahkan kerajaan ialah legasi PH, kebergantungan swasta terhadap kerajaan adalah warisan BN. Negara pembangunan (developmental state) bukan sekadar campur tangan dalam ekonomi, bahkan berpartisipasi dalam ekonomi menerusi ekuiti dalam pelbagai syarikat.

Begitulah, apabila inisiatif kerajaan tiada maka bermasalah ekonomi. Seperti samping songket Terengganu, apabila kerajaan tidak membeli maka merudumlah jualan.

Kisah sedih samping di Aidilfitri menjadi satu lagi bukti model negara pembangunan BN telah berjaya membina kebergantungan yang menyerlahkan juga amalan penaungan-dinaungan (patron-client), budaya rent-seeking dan dedakisme. 

Inilah dilema biasa apabila menjadi pemerintah dalam menguruskan ekonomi, iaitu antara campur tangan dan kebergantungan. Dalam jangka masa panjang ia bukan sahaja merosakkan industri dan memincangkan ekonomi, malah membejatkan politik dan berupaya memusnahkan negara. 

Mungkinkan negara berkebajikan yang terkenal dengan politik moral ada penyelesaiannya? – 25 Jun, 2019.

* Dr Badrul A Bakar atau Dr Bae ialah pensyarah sains politik di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM. Beliau percaya pada demokrasi dan pendemokrasian, atas pengalaman hidup dalam persekitaran demokratik semasa belajar dan bekerja di Amerika Syarikat sewaktu pentadbiran Clinton.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen