Dr Mahathir failkan permohonan pecat presiden Mahkamah Rayuan


Dr Mahathir Mohamad memohon perintah mandamus bagi memaksa Najib dan kerajaan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Zulkefli Ahmad Makinudin selaku presiden Mahkamah Rayuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2017.

DR Mahathir Mohamad memulakan prosiding perundangan untuk mencabar pelantikan Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai presiden Mahkamah Rayuan hari ini.

Tengahari tadi, peguamnya memfailkan permohonan kebenaran melakukan semakan kehakiman terhadap Perdana Menteri Najib Razak dan kerajaan Malaysia.

Permohonan itu bertujuan mendapatkan perintah mandamus untuk Najib dan kerajaan Malaysia serta merta memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi “membatalkan atau menamatkan perkenan” yang diberikan kepada pelantikan Zulkefli.

Perkhidmatan Zulkefli sebagai presiden Mahkamah Rayuan dilanjutkan selama dua tahun lagi, tindakan kontroversi yang diambil Pejabat Perdana Menteri (PMO) Julai lalu.

Perkhidmatannya sepatutnya tamat bulan ini apabila beliau mencecah umur persaraan wajib ditetapkan Perlembagaan pada 66 tahun dan enam bulan.

Zulkefli bersama-sama Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dilantik sebagai “hakim tambahan” di Mahkamah Persekutuan, membenarkan mereka berkhidmat melebihi had usia yang dibenarkan.

Peguam utama Haniff Kathri Abdulla memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tengahari tadi.

Dalam permohonan itu, yang memetik Perkara 40(1) dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan, perintah mandamus dimohon untuk mengarahkan Najib dan kerajaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong menarik atau membatalkan perkenannya pada 25 Julai lalu berhubung pelantikan Zulkefli.

Permohonan itu memetik empat pelanggaran Perlembagaan Persekutuan:

  • Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan tidak langsung membenarkan pelantikan seseorang yang sudah mencapai umur perkhidmatan perlembagaan iaitu 66 tahun, campur 6 bulan untuk memegang jawatan presiden Mahkamah Rayuan sama sekali.
  • Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan nasihat untuk lantikan hakim tambahan yang belum bersara diberikan kepada Yang di-Peruan Agong sebelum saraan hakim tambahan yang dicalonkan berkenaan.
  • Perkara 122(1A) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan nasihat oleh seorang ketua hakim negara Mahkamah Persekutuan yang diberikan sebelum dia bersara kepada Yang di-Pertuan Agong untuk digunapakai bagi tujuan lantikan mana-mana hakim tambahan yang dicalonkan berkenaan, dan
  • Perkara 122 Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan mana-mana hakim tambahan Mahkamah Persekutuan memegang mana-mana jawatan daripada 4 jawatan tertinggi Mahkamah Persekutuan, termasuk jawatan presiden Mahkamah Rayuan.

Upacara angkat sumpah untuk Zulkefli dijadualkan berlangsung esok.

“Setakat yang Dr Mahathir tahu, pelantikan presiden Mahkamah Rayuan melanggar perlembagaan,” kata Haniff ketika dihubungi.

“Sangat jelas dalam Perlembagaan Persekutuan yang hakim tertinggi termasuklah ketua hakim hanya boleh menjawat jawatan mereka sehingga berusia 66 tahun.”

“Selepas umur itu, mereka hanya boleh menjadi hakim tambahan. Pada pandangan kami, mereka tidak boleh menjadi lain kecuali hakim mahkamah biasa.”

Pada Ogos lalu, Dr Mahathir juga memfailkan permohonan arahan mahkamah untuk memaksa Najib menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menarik balik pelantikan Raus sebagai hakim tambahan dan ketua hakim.

Kes itu ditetapkan untuk didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Oktober.

“Saya perlu nyatakan yang ia tiada kaitan dengan personaliti individu,” kata Haniff.

“Tiada bantahan kepada keupayaan atau prestasi mereka. Itu bukan isunya. Ia berkaitan pelantikan mereka menurut perlembagaan.” – 27 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen