Tauliah mengajar atau surat tutup mulut, soal peguam dan pensyarah


Sheridan Mahavera

Penahanan penulis Turki, Mustafa Akyol pada Ahad kerana memberi ceramah tauliah pihak berkuasa agama dipertikaikan kerana dianggap disalah guna dan dipakai dengan tidak konsisten. – Gambar Facebook, 27 September, 2017.

PENULIS Turki, Mustafa Akyol yang ditahan semalaman di Malaysia pada Ahad, melanggar undang-undang kontroversi yang selama ini digunakan oleh pihak berkuasa agama terhadap ahli politik dan pengkritik anti kerajaan, kata peguam dan ahli akademik.

Kata mereka, undang-undang pentauliahan daripada pihak berkuasa agama itu merupakan suatu konsep yang dipertikaikan yang telah disalah guna dan dipakai dengan tidak konsisten.

Undang-undang yang termaktub dalam enakmen pentadbiran Islam di negeri-negeri itu mensyaratkan sesiapa yang mengajar agama Islam atau apa-apa yang berkaitan dengan agama Islam, harus terlebih dahulu mendapatkan tauliah atau kebenaran daripada pihak berkuasa agama negeri tempat seseorang itu mengajar.

Ahli akademik dan peguam berkata pemakaian undang-undang itu yang tidak konsisten selama ini mencetuskan dakwaan ia disalah guna untuk membungkam mana-mana pihak yang mempunyai pandangan mengenai Islam yang berbeza daripada yang dipegang oleh pihak berkuasa agama.

Mereka juga mempersoalkan sekiranya undang-undang itu boleh dipakai terhadap seorang ahli akademik yang menyampaikan syarahan umum, kenapa ia tidak dipakai terhadap ahli politik yang bercakap tentang Islam atau pensyarah yang mengajar subjek Islam di universiti?

Mustafa ditahan semalaman sehingga tengah hari semalam dan disoal siasat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) selepas bercakap di forum meja bulat anjuran Islamic Renaissance Front (IRF) bertajuk “Does Freedom of Conscience Open the Floodgate to Apostasy?” (Apakah kebebasan nurani membuka jalan kepada murtad?).

“Saya sudah mengendalikan kes yang mana undang-undang digunakan terhadap mereka yang tidak sebulu dengan pihak berkuasa agama,” kata peguam syarie, Faiz Fadzil kepada The Malaysian Insight.

Mereka ini termasuk ustaz, kata Faiz, malah pernah juga membabitkan pemimpin politik seperti Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Mereka yang didakwa tidak memiliki tauliah ini tidak semestinya mereka yang menyebarkan ajaran sesat kerana ada peruntukan undang-undang yang khusus untuk kesalahan itu, jelas Faiz.

Mustafa ditahan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin malam ketika cuba meninggalkan Malaysia dan diserahkan kepada pihak polis yang kemudian membawanya ke ibu pejabat Jawi di Kuala Lumpur.

Beliau ditahan selepas satu waran tangkap dikeluarkan terhadapnya oleh mahkamah syariah setelah gagal menghadirkan diri ke pejabat Jawi pada petang Ahad.

Mustafa dipanggil oleh Jawi untuk diambil keterangan bagi siasatan terhadap beliau dan hosnya, IRF, kerana mengajar agama tanpa tauliah mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Penolong profesor pengajian Islam, Dr Maszlee Malik mempersoalkan sama ada undang-undang yang digunakan bagi menahan penulis Turki, Mustafa Akyol minggu lalu juga terpakai terhadap majlis awam lain yang membincangkan hal ehwal agama Islam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2017.

Mustafa dibebaskan tengah hari semalam selepas keterangannya diambil.

Lawyers for Liberty menyifatkan penahanan Mustafa sebagai sesuatu yang “mengejutkan dan tidak dapat diterima” kerana ini sebenarnya bukan kali pertama beliau datang ke negara ini.

“Pandangannya diketahui umum dan tercatat, dan tidak ada apa-apa yang membayangkan beliau mengancam keselamatan negara atau ketenteraman awam atau melanggar batas norma demokrasi sehingga menjadikannya sebagai satu jenayah,” kata Pengarah Eksekutif LFL, Eric Paulsen.

Penolong profesor pengajian Islam, Dr Maszlee Malik, yang juga pernah jadi ahli panel dan penceramah pada majlis anjuran IRF, turut mempersoalkan tindakan Jawi terhadap Mustafa.

Ini kerana beliau dan orang lain yang pernah terlibat dalam forum anjuran IRF tidak pernah disiasat oleh Jawi sebelum ini.

Dalam kenyataannya semalam, Jawi tidak menyatakan apakah ia menyiasat tiga lagi ahli panel forum pada Ahad itu. Kesemua mereka bercakap mengenai Islam dan menyertai sesi soal jawab.

Maszlee juga mempersoalkan sama ada undang-undang itu juga terpakai terhadap majlis awam lain yang membincangkan hal ehwal agama Islam.

“Adakah undang-undang ini terpakai pada ahli akademik di universiti, dan pada ahli politik kerajaan termasuk menteri? Sekiranya terpakai, kita mahu lihat pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang dengan konsisten.

“Sekiranya ia terpakai pada acara IRF, tidakkah patut ia juga dikenakan pada penceramah lain dalam majlis lain,” soal pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu.

Peguam Faiz berkata acara awam termasuk forum tidak tertakluk di bawah undang-undang tauliah kerana undang-undang itu asalnya digubal untuk mengawal guru-guru yang mengendalikan kelas agama.

Beliau juga menyeru pihak berkuasa agama agar bersikap terbuka terhadap pandangan yang berbeza dan lebih terbuka juga dalam soal pentauliahan.

“Apalagi Islam ini agama yang disandarkan pada ilmu dan rasional. Umat Islam harus bersedia untuk berbincang dan berhujah dengan mereka yang berbeza pandangan.

“Ada banyak kekeliruan mengenai Islam. Anak-anak mencari jawapan di Internet. Cara terbaik untuk menangani hal ini ialah dengan menggalakkan perbahasan agar sebarang salah faham dapat diperbetulkan.”

Mustafa berlepas meninggalkan Malaysia menuju ke Amerika Syarikat malam tadi. Beliau menaiki pesawat ke Istanbul, Turki pada 11.35 malam sebelum menyambung penerbangan ke Boston. – 27 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen