Pihak berkuasa agama bebaskan penulis Turki


Radzi Razak Noel Achariam

Penulis Turki Mustafa Akyol dibebaskan selepas keterangannya diambil oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan hari ini. – Gambar Youtube, 26 September, 2017.

WARTAWAN Turki, Mustafa Akyol yang ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi dibebaskan tengah hari ini selepas keterangannya diambil oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Pengarah Jawi Abdul Aziz Jusoh berkata Mustafa ditahan susulan waran tangkap yang dikeluarkan ke atasnya untuk membantu siasatan kerana mengajar agama tanpa tauliah. Beliau disiasat mengikut Seksyen 58(2) Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

“(Mustafa) telah dibebaskan pada 26 September 2017 (Selasa) pada jam 12 tengah hari setelah pihak Penguatkuasa Agama Jawi melengkapkan siasatan dan berpuas hati bahawa pihak penganjur telah tidak memaklumkan kepadanya keperluan mendapatkan tauliah daripada pihak berkuasa agama bagi mana-mana orang yang akan menyampaikan pengajaran Islam atau boleh disifatkan sebagai mengajar mengenai Islam di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Jerald Joseph mengesahkan pembebasan Mustafa.

Mustafa Akyol ditahan di KLIA malam tadi ketika cuba meninggalkan negara ini dan diserahkan kepada pihak polis yang kemudian membawanya ke ibu pejabat Jawi di Kuala Lumpur.

“Dia dihantar semula ke Balai Polis Jalan Travers sebelum dibebaskan tengah hari ini,” kata Joseph.

Mustafa yang juga ahli akademik warganegara Turki dijemput ke negara ini oleh Islamic Rennaisance Front (IRF) untuk menyertai beberapa acara diskusi ilmiah di Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.

Sementara itu, Abdul Aziz turut memberi amaran penganjur program di Kuala Lumpur agar memastikan semua jemputan yang memberi apa saja ceramah berkaitan agama Islam dalam program mereka perlu mendapatkan tauliah daripada pihak Jawi.

“Mana-mana penceramah yang gagal berbuat demikian akan diambil tindakan menurut undang-undang Seksyen 11 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan)1997 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, manakala penganjur juga boleh didakwa bersubahat dan dikenakan hukuman yang sama apabila disabitkan,” kata beliau lagi.

Mustafa dan Pengarah IRF Dr Ahmad Farouk Musa semalam dipanggil ke pejabat Jawi namun pertemuan itu dilaporkan tidak berlangsung.

Mustafa berada di Kuala Lumpur atas jemputan IRF untuk menyampaikan kuliah berkenaan isu murtad dan demokrasi dalam Islam serta memperkatakan buku terbarunya, The Islamic Jesus: How the King of the Jews Became a Prophet of the Muslims.

Menurut Jawi, siasatan terhadap Mustafa dan IRF dibuat hasil aduan orang ramai berhubung diskusi meja bulat pada Ahad bertajuk Does Freedom of Conscience Open the Floodgate to Apostasy? (Apakah kebebasan nurani membuka jalan kepada murtad?).

Selepas acara pada sebelah pagi Ahad itu, Mustafa menyampaikan syarahan bertajuk Is Democracy Still Relevant? The Experience of Turkey, Malaysia and other nations (Apakah Demokrasi Masih Relevan? Pengalaman Turki, Malaysia dan negara-negara lain).

Syarahannya yang dijadual semalam mengenai bukunya tentang Nabi Isa dalam Islam, Kristian dan agama Yahudi itu bagaimanapun dibatalkan.

Mustafa yang terkenal kerana mengkritik polisi keras Presiden Turki Recep Tayyib Erdogan menetap di Amerika Syarikat dan merupakan penulis prolifik dalam isu Islam. Tulisannya kerap terbit di akhbar Turki, Hurriyet Daily News, the New York Times dan portal Al-Monitor.com.

Mustafa juga menulis enam buku termasuk Islam Without Extreme: A Muslim Case for Liberty, yang telah diterjemah kepada Bahasa Turki dan Indonesia, serta ke dalam Bahasa Melayu dengan judul Islam Tanpa Keekstreman: Berhujah untuk Kebebasan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bulan lalu menuduh ilmuan Indonesia, Mun’im Sirry membawa “ajaran sesat” ke Malaysia. Mun’im sebelum ini muncul sebagai panel dalam forum anjuran IRF bertemakan “kesederhanaan dalam al-Quran” yang turut menampilkan Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin.

Pada 2014, Jakim menghalang tokoh agama Indonesia, Ulil Abshar Abdalla daripada menghadiri sebuah lagi forum anjuran IRF. Pendiri Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia itu kemudian mengambil bahagian dalam forum itu melalui Skype. – 26 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen