Saya tak akan bercuti, kata Azmin


Lee Chi Leong

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata beliau akan meneruskan tugas seperti biasa sementara membiarkan polis menyiasat video itu, serta menghargai sokongan yang diberi oleh rakan dan pengundi di kawasannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 Jun, 2019.

MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali menolak gesaan supaya beliau bercuti sementara siasatan terhadap sebaran video seks didakwa melibatkannya selesai.

Ketika ditemui pemberita hari ini ini, Azmin berkata beliau akan meneruskan tugas seperti biasa sementara membiarkan polis menyiasat video itu. Beliau juga menghargai sokongan yang diberi oleh rakan dan pengundi di kawasannya.

“Tugas Pakatan Harapan sebagai kerajaan baru ialah berpegang kepada dasar baru, pendekatan dan politik baru. Nilai-nilai ini perlu dikekalkan.

“Saya akan terus menumpukan tugas saya sebagai menteri hal ehwal ekonomi, dan saya di sini untuk menyokong dasar Perdana Menteri (Dr Mahathir Mohamad). Kita akan terus berkhidmat untuk rakyat,” kata timbalan presiden PKR itu.

Azmin tetap menegaskan beliau bukan lelaki dalam video lucah yang tersebar sejak awal minggu ini dan mendakwa ia adalah satu plot untuk memusnahkan masa depan politiknya.

Semalam, kumpulan penyokong gerakan reformasi, Otai Reformis 1998 mendesak Azmin bercuti sementara siasatan kes video itu selesai.

Pengerusi kumpulan itu, Idris Ahmad dalam satu sidang media di Kuala Lumpur berkata desakan tersebut bertujuan untuk menjaga nama baik kerajaan Pakatan Harapan.

Azmin hari ini sekali lagi berkata penyebaran video tersebut sebagai politik kotor dan mengesa semua pihak memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan.

“Bagi saya, dari hari pertama lagi, ini adalah politik kotor. Dan kenyataan saya sebelum ini jelas - saya tak akan biarkan perkara ini. Tetapi oleh kerana laporan sudah dibuat, biarlah pihak berkuasa terus menyiasat, tak perlu ada campur tangan.”

Terdahulu hari ini, Azmin menerusi mesej kepada rakan-rakan dan penyokongnya Twitter berkata beliau yakin kebenaran pasti akan terbukti dan dugaan yang dihadapinya ketika ini akan dapat diatasi.

“Terima kasih atas kata-kata semangat, ingatan dan doa.

“Saya amat bersyukur atas sokongan dan perhatian yang ditunjukkan kepada saya sepanjang tempoh yang paling mencabar ini, tetapi yakinlah kebenaran akan tiba dan kita akan mengatasinya.

“Kepada Allah kita berserah,” tulisnya.

Polis semalam menahan Haziq Abdullah Abdul Aziz, ahli PKR yang membuat pengakuan mendakwa Azmin berhubungan seksnya di Sandakan, Sabah pada 11 Mei lalu. Beliau mendedahkan mereka sudah berhubungan beberapa kali sejak tiga tahun lalu.

Haziq ditahan bagi membantu siasatan mengikut Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabi’i (Seksyen 377B), menyebar bahan lucah (Seksyen 292), dan mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan (Seksyen 504).

Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.

Beliau ditahan semasa cuba meninggalkan Malaysia untuk berlepas ke Manila petang semalam di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.  – 15 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen