SUNGAI Buloh di Kuala Selangor tercemar makin teruk sejak akhir 2017, kata exco negeri, susulan pelepasan sisa buangan dari kilang kitar semula plastik di kawasan perindustrian Ijok.
Pencemaran itu masih berlaku walaupun Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil tindakan selaras dengan peruntukan perundangan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kata Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Izham Hashim.
“Kepesatan pembangunan ini juga melibatkan pembangunan hingga ke tebing sungai menyebabkan tiada rizab sungai untuk kerja-kerja penyelenggaraan sungai dijalankan.
“Pembangunan kawasan perindustrian berhampiran Sungai Buloh merupakan antara risiko penyumbang utama kepada pencemaran jika tiada langkah kawalan dan sistem rawatan sisa buangan disediakan di tapak,” katanya kepada The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight baru-baru ini mendedahkan rungutan dan keperitan pemimpin serta penduduk setempat mengenai pencemaran yang sudah berlarutan sejak 15 tahun lalu.
Mereka malah percaya ada tangan “orang dalam” kerajaan yang pejam mata kepada tindakan tidak bertanggungjawab pengilang mencemarkan sungai.
Izham yang juga Adun Pandan Indah menyalahkan pembangunan yang pesat di sepanjang lembangan sungai tersebut sebagai punca masalah pencemaran tidak dapat dibendung.
Kawasan perindustrian di Lembangan Sungai Buloh antaranya termasuk Kampung Jaya Sungai Buloh, Bandar Baru Sungai Buloh, Kampung Baru Sungai Buloh dan Kawasan Perindustrian Ijok.
Beberapa nelayan yang ditemui The Malaysian Insight juga mendedahkan air sungai tersebut kelihatan bersih di sebelah hulu dan hanya menjadi hitam dan berbau selepas melalui kawasan perindustrian di Ijok.
Beberapa perkampungan dan kawasan perumahan di sekitarnya juga berpotensi jadi penyumbang pencemaran. Antaranya, Kampung Paya Jaras, Taman Seri Buloh, Kampung Kubu Gajah, Kampung Merbau Sempak, Taman Desa Moccis dan Kampung Bukit Kuching.
Menurut Izham, JAS dalam laporannya kepada satu mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai dan Pantai Negeri Selangor pada Februari lalu memaklumkan penurunan ketara tahap kualiti air di Sungai Buloh iaitu dari kategori sederhan tercemar kepada tercemar.

Katanya, pencemaran sungai itu disebabkan oleh aktiviti kerja tanah, pertanian, perindustrian dan pelepasan sisa terbuang kumbahan sama ada yang separa terawat atau tidak dirawat,
“Di kawasan hilir Sungai Buloh terdapat kawasan pertanian bagi tanaman kelapa sawit. Aliran air permukaan dari ladang kelapa sawit ini berpotensi membawa sisa baja dan racun yang digunakan dan memberi kesan yang signifikan kepada kualiti air Sungai Buloh,” katanya.
Laporan JAS tersebut bertentangan dengan jawapan jabatan itu sebelum ini yang mengatakan bahawa siasatan yang dijalankan oleh JAS mendapati keadaan sungai di muara Sungai Buluh adalah keruh.
Surat yang dilihat sendiri oleh The Malaysian Insight mengatakan “Siasatan di sepanjang aliran sungai dari Jalan Bukit Cerakah sehingga ke muara Sungai Buluh tidak menemui sebarang punca yang menyebabkan pencemaran sungai”.
Jawapan tersebut juga bercanggah dengan siasatan yang dibuat oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang mengakui sungai hitam dan berbau itu berpunca daripada pencemaran di sekitar kawasan perindustrian di Ijok dan Alam Jaya.
Izham juga berkata beliau sudah menubuhkan Jawatankuasa Pemuliharaan Sungai-sungai Selangor awal tahun lalu, yang melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan dan badan masyarakat untuk tindakan lebih holistik dan proaktif.
“Jawatankuasa ini saya pengerusikan sendiri, diwujudkan pada Januari lalu bertujuan memantau dan mengambil segala tindakan perlu bagi memulihara sungai di Selangor.,” katanya.
Jelas Izham, pembentukan jawatankuasa itu adalah langkah susulan berdasarkan hasil Kajian Kebersihan Lembangan Sungai Buloh pada 2012 yang dibuat oleh Lembaga Urus Air Selangor (Luas).
Kajian itu mengenalpasti guna tanah dan risiko punca pencemaran yang berpotensi serta pelaksanaan pensampelan status kualiti air Sungai Buloh bagi mengesan pencemaran tetap dan pencemaran tidak tetap, katanya.
“Bagi pencemaran tetap, beberapa potensi punca telah dikenalpasti antaranya loji rawatan kumbahan, kawasan perindustrian dan komersial, kilang pemprosesan telur ayam, kilang batu-bata dan aktiviti pengorekan pasir.
“Manakala bagi pencemaran tidak tetap, antara penyumbang pencemaran adalah kawasan perumahan dan ladang kelapa sawit.
Maka, apa sahaja pelepasan sisa terbuang dari kawasan tersebut secara langsung memberi kesan kepada kualiti air Sungai Buloh,” ujarnya. – 15 Jun, 2019.

Komen