NELAYAN di Kuala Selangor mengesyaki ada “orang dalam” kerajaan negeri bersekongkol dengan pengusaha kilang yang mencemari tempat mereka mencari rezeki di Sungai Buloh.
Nelayan yang bosan dengan kerenah jabatan dan agensi kerajaan ini mendakwa tindak-tanduk pihak berkenaan menyebabkan pencemaran di Sungai Buloh itu berlarutan sejak lebih 15 tahun lalu.
Nelayan, Tohar Mohd Amin, 58, berkata mereka mengesyaki demikian kerana air sungai itu kembali bersih apabila pemeriksaan dibuat setiap kali mereka membuat aduan.
“Bila agensi jabatan kerajaan buat lawatan rasmi, air cantik. Lepas itu hitam semula. Memang ada orang dalam (bersekongkol dengan pengusaha kilang),” kata Tohar kepada The Malaysian Insight.
Ini menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukan pencemaran sedangkan aduan dibuat kepada pelbagai jabatan sejak 2007, katanya.
“Semua jabatan yang berkaitan sudah buat aduan tetapi tidak jalan. Kami hanya belum buat aduan kepada Jabatan Agama Islam saja lagi.
“Takkanlah hendak tunggu Hospital Tanjung Karang dengan Hospital Sungai Buluh penuh baru hendak ambil tindakan betul-betul,” kata Tohar.
Beliau percaya pencemaran itu berpunca daripada kilang di kawasan perindustrian Batu 22 di Ijok yang mula beroperasi sekitar 2007.

Nelayan itu mendapati, air sungai tersebut bersih di sebelah hulu dan hanya menjadi hitam dan berbau selepas melalui kawasan perindustrian tersebut.
Seorang lagi nelayan, Kahar Buntal berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luas) sendiri mengakui bahawa kilang berkenaan bertanggungjawa ke atas pencemaran tersebut.
“Luas cerita sendiri kilang tidak cuci sisa air mereka, terus buang dalam sungai. Luas tunjuk gambar pencemaran, sudah kenal pasti kilang yang buat saluran paip, bila air surut baru nampak saluran mereka buat sisa,” katanya.
Kahar, 67, berkata pegawai Luas menyatakan perkara itu dalam satu mesyuarat dengan persatuan nelayan di Bukit Tinggi pada tahun lalu, namun identiti kilang tersebut tidak dinyatakan.
Walaupun Luas tidak mengenal pasti kilang tersebut, nelayan berkenaan mengesyaki kilang bertangungjawab merupakan satu perusahaan kertas.
“Mereka tunjuk gambar saluran saja tetapi kilang tidak tunjuk. Tapi kita tahu kilang kertas, tiada kilang lain. Hendak bertanya apa pun tidak boleh sebab tiada sesi soal jawab, minta kami datang dengar saja,” katanya.

Kahar berkata air sungai yang hitam dan berbau ini turut menjejaskan kesihatan nelayan yang mengalami gatal-gatal dan kudis di kulit.
“Orang nelayan ini biasanya kulit memang cukup tahan tetapi kena dengan air macam ini habis gatal-gatal. Berkudis kaki menggaru sebab gatal sangat,” katanya.
Pencemaran sungai itu juga turut menjejaskan pendapatan mereka kerana ternakan laut seperti kerang habis musnah dan puluhan tan ikan mati, kata seorang lagi nelayan, Omar Bakir, 63.
Katanya, hidupan laut termasuk kerang, kepah dan ketam tidak lagi boleh diternak di kawasan pesisiran pantai disebabkan pencemaran yang terlalu lama dibiarkan oleh kerajaan.
“Dulu ketam, ikan siakap, sembilang, udang galah pun banyak. Sekarang ikan belukang dengan memerang yang paling tahan pun tidak ada. Biawak saja yang tinggal,” katanya sayu.
Penternak kerang akan menanggung banya kerugian kerana pencemaran itu menyebabkan kerang sakit dan mati, katanya.
“Bila pencemaran macam ini, kerang tidak boleh hidup. Pernah lebih 10,000 guni buang dekat laut. Kita angkat (tempat ternak) kerang merah berdarah. Pernah juga berlaku berpuluh tan ikan mati.” – 10 Jun, 2019.
Komen