KERAJAAN negeri Selangor perlu campur tangan untuk menangani masalah pencemaran Sungai Buloh di Kuala Selangor yang berlarutan lebih 15 tahun, kata Adun Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli.
Kerajaan perlu berbuat demikian kerana Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan jabatan-jabatan berkaitan gagal melaksana penyelesaian tuntas, katanya.
“Isu yang sama tetapi sampai sekarang tiada tindakan. Balik-balik jawapannya ‘kita siasat’. Jabatan berkaitan kena ambil serius perkara ini dan kerajaan negeri pun kena campur tangan.
“Jangan sampai jadi macam Sungai Kim Kim (di Johor) baru semua orang hendak menggelabah buat operasi besar-besaran, hendak isytihar darurat semua,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Sungai Buloh sepanjang 42km itu berpunca di daerah Gombak dan melalui mukim Sungai Buloh di daerah Petaling dan memasuki Selat Melaka di Kuala Selangor.
Sungai yang jernih itu dikesan bertukar hitam dan berbau sebaik sahaja melepasi kawasan perindustrian di Batu 22 di Ijok.
Penduduk di kawasan ini berkata, masalah itu dikesan sejak kawasan tersebut mula beroperasi sekitar tahun 2007.
Siasatan JPS dan JAS
Menurut Juwairiya, jawapan yang diperolehi dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengenai pencemaran tersebut juga bercanggah.
Jelasnya, JPS mengakui sungai yang hitam dan berbau itu berpunca daripada pencemaran di sekitar kawasan perindustrian di Ijok dan Alam Jaya.
“Mereka turun buat siasatan dan akui berlaku pencemaran dan minta tindakan penguatkuasaan kepada pemilik premis yang menjadi punca pencemaran Sungai Buloh.
Namun sebaliknya, JAS pula memberitahu, jabatan tersebut mendapati air sungai tersebut hanya keruh dan tidak melibatkan pencemaran, kata Juwairiya.
“(JAS) cawangan Sabak Bernam beritahu, mereka turun ke lokasi pencemaran hanya mendapati air cuma keruh dan tiada pelepasan efluen berwarna hitam ke Sungai Buloh.
“Kalau JPS boleh turun buat siasatan dan terbukti ada pencemaran semua, bagaimana JAS kata tidak ada apa-apa. Itu agak bercanggah. Perkara ini tidak selesai lagi,” katanya.
Sementara itu, sebuah lagi jabatan yang tidak dinamakannya memberitahu, pencemaran itu berpunca daripada kegiatan pertanian di Kampung Api-Api, yang tidak dapat dipercayainya.
“Itu lagi tidak masuk akal sebab sebelum kawasan pertanian itu lagi sungai sudah hitam,” katanya yang bingung dengan perkembangan ini.
Oleh itu, kerajaan negeri perlu mengambil tindakan bersepadu memandangkan jabatan berkenaan memberi maklum balas yang bercanggah di antara satu sama lain.

“Berdasarkan jawapan daripada jabatan-jabatan yang bercanggah, saya perlu panjangkan kepada pihak negeri untuk melihat perkara ini dengan lebih serius. Kita perlu ambil tindakan bersepadu,” katanya.
Sekiranya tiada sebarang tindakan daripada kerajaan negeri, Juwairiya merancang untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas menangani pencemaran Sungai Buloh.
Sementara itu, Yang Dipertua MDKS Rahilah Rahmat ketika dihubungi The Malaysian Insight berkata pihaknya maklum dengan aduan mengenai pencemaran air tersebut dan sudah mengambil tindakan.
“Bermula dari 2018 sehingga Mei 2019, sebanyak 19 notis dan 8 kompaun dikeluarkan terhadap kilang perindustrian berhampiran yang beroperasi serta berpotensi menyumbang pencemaran sungai.
“Pemantauan berkala seperti operasi bersepadu bersama jabatan dan agensi lain dijalankan seperti yang ditetapkan dalam jadual khas pemantauan kilang di zon yang dikenal pasti,” katanya.
Menurut Rahilah pemilik kilang wajib mengadakan sistem pengolahan efluen perindustrian mengikut spesifikasi yang dibenarkan bagi merawat air kumbahan sebelum dilepaskan ke perparitan awam.
Perkara itu ditetapkan di bawah peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, katanya.
Jika gagal mematuhi arahan tersebut, pemilik boleh didenda RM1,000 atau dipenjara enam bulan atau kedua-duanya mengikut Seksyen 82 (5) Akta Kerajaan Tempatan 1976, katanya.
Beliau juga meminta kerjasama daripada orang ramai untuk melaporkan segera kepada MDKS atau Jabatan Alam Sekitar sekiranya melihat pencemaran tersebut berulang. – 10 Jun, 2019.
Komen