Ustaz jahil dan tempurung akal agama


Mohd Syazreen Abdullah

JANGAN tuding jari kepada orang lain atas kemunduran kita. Kebodohan kita kerana sikap tidak mahu berubah. Tidak perlu salahkan budaya Barat.

Menyebar kebencian terhadap pengaruh liberalisme dan pluralisme tidak akan memandaikan umat dari tempurung kejumudan dan kejahilan.

Buku terkenal karya klasik Amir Shakib Arsalan “Limadza Ta-akhharal Muslimuna Wa Taqaddama Ghairuhum?” ada menyebutkan sikap mundur dan tidak mahu mereformasikan diri punca kejahilan.

Susahlah jika orang jahil yang mendominasi budaya dan pemikiran kehidupan beragama. Mereka hanya membodoh-bodohkan umat. Lebih bahaya lagi apabila mereka diangkat menjadi tokoh sanjungan.

Justeru, reformasi sikap adalah jalan keluar dari kebodohan akal. Kita harus mulai dengan diri kita dahulu. Jika nabi tidak memulakan dengan diri baginda, mungkin Islam tidak tumbuh melata.

Kata Shakib Arsalan, umat jahil kerana mereka likat dengan keagamaan lapuk. Namun, pemikiran boleh mengubah kehidupan. Maka, ubah pemikiran keagamaan lapuk supaya menjadi cerah.

Tentu kita tidak mahu kekal jahil. Kita mahu kemajuan. Namun, kita takut berubah dalam soal agama. Mengubah paradigma beragama kerap mengundang risiko cemuhan.

Masyarakat Melayu-Islam kekal jumud dek faktor kebimbangan itu, apatah lagi tiada tokoh agama kritis yang ampuh merintis kemajuan berfikir. Yang berlambak hanyalah tokoh agama yang jahil berfikir, dan tokoh agama populis.

Gejala umat agama diperbodoh orang agama yang jahil bukan perkara baharu. Masyarakat Melayu-Islam mudah tertipu dengan tafsiran sempit.

Kasihan orang Melayu-Islam, sudahlah pemimpin bermain politik longkang (gutter politics), hal agama pula dikepung agamawan jumud yang anti-rasionalisme.

Syed Hussein Alattas melalui buku Kita dengan Islam ada menyebut: “tidak adanya golongan pimpinan berfikir dalam masyarakat Islam yang cukup kuat pengaruhnya, maka masyarakat Islam tetap akan tergendala”

Beliau sebut lagi, “Jangan terpedaya oleh mereka yang hanya sanggup mengobar-ngobarkan semangat mendengungkan ayat-ayat al-Qur’an, dan catatan-«catatan hadis, dengan jalan pemikiran yang lintang pukang, jahil dalam ilmu dan persoalan, membawa umat Islam ke jalan buntu”.

Jikalau ada seruan seperti Syed Hussein pada waktu kini, seruan itu pasti disesatkan dan diancam warga maya dengan pelbagai label — sesat, orientalis dan kafir.

Betapa kita masih jauh untuk berubah. Leka, kekal dan selesa bertaklid dengan pandangan sempit.

Taasub tokoh pemikiran lama

Perkara tersebut timbul kerana kita mudah taklid agama. Yang sering kita lupa ialah kritis terhadap agama. Pemikiran Islam di Malaysia sudah sampai ke tahap laksana bangkai hidup. Mereka jadikan agama sebagai imejan pada kad pengenalan, penyeri upacara, malah dalil perkauman sempit bagi menyebar kebencian.

Mereka inilah golongan paling mudah percaya akan dongeng dari bibir agamawan sempit. Kerana itu, mereka cepat mengangguk apabila sains dari Barat dituding sebagai “strategi” menyesatkan umat Islam. Semuanya agenda Barat. Ini tidak waras dan tidak keruan.

Puncanya, momokan dari proses islamisasi kuat mencengkam benak pemikiran Melayu-Islam. Fahaman ini datang dari agamawan. Pemikiran jahil dan rapuh disumbat-sumbat dengan dalil agama yang rapuh oleh ustaz berwala’ islamisasi.

Dalil-dalil yang dimuntahkan bukan rekaan bulat-bulat tetapi diselitkan petikan Quran, sunah, ijmak dan pandangan ulama. Namun mereka gagal menjustifikasi hukum tersebut seiring kehendak zaman.

Mereka juga suka merujuk tokoh muslim yang memiliki pandangan mundur. Bab kata Syed Hussein, “manusia lama”. Menurutnya, manusia lama merujuk kepada figur-figur yang membawa pemikiran lama, keras serta statik.

Tokoh pemikiran lama ialah Maududi, Abul-Hassan Ali Al-Nadwi, Hassan al-Banna, Muhammad Qutb dan lain-lain.

Mereka memang cendekiawan dan pemikir Islam. Pemikiran mereka mungkin sesuai pada zaman mereka. Namun, kita jangan pula samakan dengan cabaran zaman semasa. Tidak semua relevan lagi. Bukan silap mereka. Salahnya agamawan tidak masa kini kritis terhadap pemikiran mereka.

Mangsanya orang awam. Dipaksa telan idea yang tidak lagi relevan tetapi dianggap ajaran Islam. Contohnya pemikiran Sayyid Qutb lewat bukunya “Petunjuk Sepanjang Jalan” yang mengisytihar “siapa pun yang mengatakan penggubalan undang-undang adalah hak rakyat maka dia bukan seorang Muslim”.

Maududi pula berpandangan demokrasi yang datang dari Barat bermasalah kerana ia bukan daripada Islam – wanita jangan turun parlimen, politik bukan urusan wanita. Pemikiran sebegini tidak lagi sesuai. Tapi ramai agamawan suka pandangan lama itu.

Jahil mengaku alim

Melayu-Islam mundur kerana orang jahil mengaku alim. Bicaranya angkuh tentang kebenaran. Mereka orang-orang berpengaruh. Punya pengikut dan jadi tukang rujuk. Dialah ustaz yang tahu semua perkara. Sedangkan pengetahuan mereka tentang agama sangat lapuk. Tiada semangat zaman (zeitgeist).

Mereka masih berfahaman Islam – yang dirintis al-Maududi, al-Banna, dan Syed Qutb. Berpegang dengan tafsiran lama melawan akal dan tidak relevan. Mereka tidak kritis menadah pandangan ulama. Mereka sekadar menuruti – pak turut. Kemudian taklid mereka dimuntahkan kepada orang awam.

Entah sampai bila pemikiran agama di Malaysia tidak berkembang andai budaya itu tidak berubah. Semuanya berpunca dari pengaruh orang agama yang tidak kritis dan menolak rasionalisme.

Coretan balas surat Shakib Arsalan kepada Shaykh Basyuni Imran dari kepulauan Melayu pada 1348H berdengung-dengung di telinga kita. Betapa Melayu-Islam mesti keluar daripada kejahilan. Ikutilah sebenar-benarnya nilai ajaran Islam awal yang dipraktikkan nabi, bukan pandangan tokoh agama berfahaman lama.

Memang mereka juga sandarkan pada nabi tapi baginda tidak ajar begitu. Mungkin kita keliru dan tidak kritis memahami ajaran nabi, kita jadi salah faham antara autentik dari nabi atau tokoh jumud bersandarkan nabi demi kepentingan seperti kekuasaan atau daulah islamiyyah

Kita dapat saksikan kualiti pemikiran umat Islam di Malaysia sangat jauh kualitinya dengan pemikiran  kebudayaan negara lain yang maju. Yang kita suka berbicara soal kecil berbanding soal besar isu keagamaan.

Ketakutan itu punca kita jadi tidak berani keluar dari kepompong kejumudan. Gagal untuk berani berijtihad lalu selamanya tidak memurnikan antara wahyu dan hikmah.

Tapi mereka mengaku memperjuang ajaran nabi dan sunah baginda. Namun ajaran sunah yang bagaimana? Nabi tidak membodohkan umatnya dengan menutup pintu akal. Sebaliknya baginda mendekati nas agama dengan rasionaliti seperti sains (hikmah).

Jangan bodohkan umat dek kemalasan kita untuk mengkaji. Luaskan hukum. Budaya beragama  hari ini sangat teruk. Kejahilan demi kejahilan akibat budaya beragama masyarakat Melayu-Islam yang suka mencedok ilmu daripada orang jahil tanpa tapis. Orang ini tidak membudayakan semangat berfikir.

Inilah punca kita kekal jahil dalam beragama. Kita masih di takuk lama. Sampai bila kita mahu kekal pada takah jahil?

Kita dahagakan cendekiawan kritis Islam. Yang berani menegur kebodohan umat. Bukan lambakan ustaz selebriti, sebaliknya ulama yang kritis, progresif dan manusiawi. – 14 Jun, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen