Zuraida 'tak dinasihat' untuk dapatkan kelulusan AG sebelum lantik Syazlin


Alfian Z.M. Tahir

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata tiada peguam yang tampil untuk tawarkan khidmat mereka dan tiada sesiapa di kementerian yang mendapatkan nasihat daripada AGC.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Jun, 2019

ZURAIDA Kamaruddin hari ini mula bersuara berhubung kontroversi pelantikan peguam Syazlin Mansor dalam inkues Muhammad Adib Mohd Kassim dan mengatakan beliau tidak dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara.

Menteri perumahan dan kerajaan tempatan itu berkata, tiada siapa pun yang menasihatkan beliau berhubung pelantikan Syazlin sebagai peguam untuk kementerian dan juga untuk keluarga Adib akan menyebabkan konflik kepentingan.

“Saya tidak dinasihatkan. Tiada peguam yang tampil untuk tawarkan khidmat mereka dan tiada sesiapa di kementerian yang mendapatkan nasihat daripada AGC. Jadi kita teruskan dengan pelantikan Syazlin,” katanya kepada pemberita pada satu program di Petaling Jaya.

“Kini saya akan melantik peguam bela baharu untuk kementerian dan semua bukti yang kita kumpul melalui inkues ini akan kekal utuh. Tiada apa yang akan dikurangkan.”

Syazlin merupakan peguam kementerian dan juga mewakili keluarga Adib dalam inkues berkenaan. 

Peguam terbabit bagaimanapun menarik diri secara tiba-tiba pada minggu lalu dan mendakwa beliau diminta menarik diri tanpa memberi sebarang butiran

Peguam Negara Tommy Thomas dalam satu kenyataan sebelum itu berkata, AGC telah mmenarik khidmat Syazlin kerana ia akan menimbulkan konflik kepentingan dalam inkues yang ditubuhkan bagi mencari punca kematian anggota bomba terbabit Disember lalu.

Zuraida mengadakan pertemuan dengan Tommy semalam bagi membincangkan mengenai pelantikan peguam baharu untuk mewakili kementerian.

“Peguam Negara mengesahkan DPP baharu akan mengambil semua bukti dan penghujajahn yang dikeluarkan di mahkamah koroner oleh peguam kita sbelum ini, Syazlin Mansor.

“Ini termasuklah dapatan yang dibuat oleh profesor Shahrom Abdul Wahid,” kata Zuraida.

Shahrom yang merupakan pakar forensik memberitahu mahkamah, Adib berkemungkinan ditarik dari van EMRS dan diserang oleh perusuh pada malam rusuhan di kuil Seafield pada 27 November tahun lalu.

Bagaimanapun, dua lagi pakar membuat kesimpulan Adib mungkin mati disebabkan kecederaan kerana dilanggar oleh kenderaan ketika cuba melarikan diri daripada perusuh.

Tommy berkata, kedudukan Syazlin menjadi konflik kepentingan, dan walaupun beliau dibenarkan untuk mewakili keluarga Adib, beliau enggan.

Zuraida berkata, DPP yang akan menggantikan Syazlin akan bertindak dengan bebas sebagai pegawai yang menjalankan inkues.

“Dengan pelantikan baharu pegawai untuk inkues, kami harap ia menamatkan sebarang tuduhan liar dan membolehkan inkues diteruskan dengan lancar tanpa gangguan,” katanya.

Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 17 Disember. – 3 Jun, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen