ORANG Melayu kurang selesa dengan tindakan Ahli Parlimen Johor Bahru Akmal Nasir berbuka puasa di rumah ibadat Sikh kerana ia tidak pernah dibuat orang, bertentangan dengan konvensional selama ini, kata pemimpin Umno negeri.
Kata mereka, Akmal yang juga Ketua Pemuda PKR gagal memahami sensitiviti orang Melayu sehingga menyebabkan orang Melayu kurang senang dengan perbuatannya.
Setiausaha Mubarak Johor, Dr. Mohamed Azam Rauzan berkata apa yang dilakukan oleh Akmal hanya mahu meraih populariti dalam kalangan orang bukan Islam dengan menonjolkan imej Islam yang terbuka.
“Mereka (pemimpin Pakatan Harapan) hanya mengunakan hukum akal, di situ mereka silap. Kita ada ahli parlimen muda dan mentah yang tidak mengambil kira sensitiviti agama dan bangsa,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Jelas beliau, usaha untuk mempromosikan Islam tidak salah tetapi tindakan berbuka puasa di rumah ibadat orang bukan Islam dilihat sebagai berlebih-lebihan, bertentangan dengan norma masyarakat Melayu yang lebih konvensional.
“Mereka tidak kuat tentang hukum agama, tidak rujuk kepada mereka yang arif tetapi melakukan sesuatu dengan secara berlebih-lebihan,” katanya.
Semalam, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam satu kenyataan menegur tindakan Akmal yang disifatkan mempunyai implikasi yang serius.
Titah baginda perbuatan itu membuka ruang kepada penyebaran dakyah agama lain kepada umat Islam, selain menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan umat Islam di Johor.
Selasa lalu, Akmal meneruskan langkah memenuhi undangan berbuka puasa di Gurdwara Sahib Johor Bahru sama seperti yang dilakukannya tahun lalu walaupun dapat bantahan dan kecaman pelbagai pihak.
Beliau yang juga ketua pemuda PKR mempertahankan majlis yang diberi nama Majlis Iftar Muhibbah yang menurutnya dihadiri untuk “mengeratkan hubungan sesama rakyat.”
Sementara itu, Pergerakan Pemuda Umno Johor meminta semua parti agar lebih waspada dalam berpolitik apabila melibatkan agama dan kaum.
Ketuanya Mohd Hairi Mad Shah berkata tindakan berlebihan boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan rakyat, yang tidak boleh diambil mudah oleh ahli politik.
“Jangan juga menggadaikan agama dengan tujuan mendapat tempat dalam lapangan politik.
“Walaupun hubungan etnik di negeri ini secara amnya memuaskan, kita seharusnya tidak mengambil mudah soal keharmonian antara kaum dan agama,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Dalam pada itu, Azam kesal dengan sikap pihak berkuasa yang dilihat tidak mengambil tindakan walaupun Sultan Johor sudah bertitah menegur perbuatan berpolitik di rumah ibadat.
“Sultan Johor keluar arahan supaya tidak berpolitik di masjid tetapi mereka (orang politik) masih buat juga. Apa tindakannya? Di mana majlis agama Islam, di mana penguatkuasaan sedangkan sudah keluar arahan?” katanya.
Katanya, sikap sambil pihak berkuasa dan kedegilan ahli politik menyebabkan orang Melayu rasa tergugat, dan keadaan itu tidak baik sekiranya dibiarkan. – 1 Jun, 2019.
Komen
Dimuat naik 7 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan