Menjawab Edry Faizal dan DAP: Malaysia bukan lahir dalam vakum


NAIB Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin, yang juga bekas menteri besar Johor bertikam hujah dengan Pengetua Akademi Bangsa Edry Faizal yang juga Adun DAP bagi Dusun Tua.

Pertikaman hujah antara mereka berdua itu bermula daripada tulisan seorang lagi Ahli Parlimen dari DAP, Wong Shu Qi yang dibidas oleh Khaled dalam tulisan beliau yang berjudul Naratif Malaysia Tidak Boleh Tolak Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971.

Tulisan Khaled ini mendapat sanggahan daripada Edry Faizal yang kemudiannya dibalas kembali oleh Khaled.

Pertikaman hujah mereka yang berlangsung dalam suasana tertib, beradab dan santun merupakan satu perkembangan sihat dalam memperkaya dan memperdalamkan lagi wacana seputar persoalan identiti, kebudayaan dan keperibadian kebangsaan.

Ini petanda bahawasanya usaha untuk memaknai kehidupan berbangsa dan bernegara dalam tanah air kita masih belum lesu. Masih ada wacana tentang citra kebangsaan diangkat dan dibahaskan oleh ahli politik negara kita. Syabas buat Wong, Edry dan Khaled.

Alhamdulillah, syukur, setelah tumbangnya kerajaan Umno-Barisan Nasional, ruang demokrasi dan hak untuk berbeza pandangan kelihatannya lebih luas dan terbuka tanpa adanya sekatan yang keterlaluan daripada kerajaan baru Pakatan Harapan berbanding dengan kerajaan yang terdahulu.

Justeru, merayakan ruang demokrasi yang lebih terbuka pada era Malaysia Baru, tulisan ini kritik terhadap tulisan Edry yang pada hemat saya satu tulisan yang baik tetapi punya beberapa kelemahan fundamental.

Sanggahan pertama

Pertamanya, persoalan tentang bangsa (baca: nasion), kebangsaan (baca: nasionalisme) dan negara (baca: state – iaitu politi kepemerintahan). Edry pada paragraf pertama tulisan beliau itu dengan penuh yakin mengatakan bahawa negara-bangsa tidak wujud sebelum datangnya nasionalisme.

Ada tiga konsep besar dan rumit yang dipetik oleh Edry – bangsa, kebangsaan dan negara. Kenyataan penuh yakin daripada Edry ini punya kesalahan fundamental kerana tidak semua masyarakat manusia di dunia ini yang mengalami proses pembentukan bangsa yang sama.

Ada yang kesedaran bangsanya didahului dengan pembinaan negara (state – politi kepemerintahan) terlebih dulu – yakni pembentukan bangsa dilakukan oleh negara (politik kepemerintahan) tanpa perlu melalui proses kebangsaan (nasionalisme).

Menurut beberapa sarjana kajian bangsa dan kebangsaan, negara seperti England, Perancis, China misalnya adalah contoh di mana politi kepemerintahan yang wujud sebelum moden mempunyai pengaruh besar dalam mewujudkan kesedaran bangsa. Hanya selepas kesedaran bangsa wujud, barulah gerakan kebangsaan muncul. Di politi-politi ini bangsa muncul terlebih dahulu sebelum terjadinya gerakan kebangsaan.

Ada pula masyarakat yang kesedaran bangsanya didahului oleh proses kebangsaan atau dengan kata lain gerakan kebangsaan (nasionalisme) yang membentuk kesedaran bangsa. Jerman dan Itali misalnya adalah contoh negara Eropah di mana gerakan kebangsaan atau nasionalisme mempengaruhi dalam membentuk idea tentang bangsa Jerman dan Itali.

Negara yang pernah mengalami penjajahan Barat seperti Indonesia, Malaysia, Cambodia, Burma, Vietnam misalnya, cenderung melalui proses gerakan kebangsaan terlebih dahulu sebelum kesedaran bangsa muncul.

Manakala negara (baca: politi kepemerintahan) pula adalah suatu bentuk entiti yang terdiri daripada institusi kuasa dan penguatkuasaan yang juga punya bentuk berbeza dari satu masyarakat ke satu masyarakat yang lain, dari satu zaman ke satu zaman yang lain dan berbeza pula proses sejarah yang dilaluinya.

Kerana itu negara (baca: state/politi kepemerintahan) umumnya dibahagikan oleh sarjana sejarah khususnya kepada dua bentuk mewakili dua zaman yang berbeza iaitu politi tradisional dan politi moden.

Malah istilah “negara” sudah pun wujud dalam hikayat-hikayat Melayu ratusan tahun dahulu sebelum kedatangan penjajah Barat. Mungkin apa yang dimaksudkan oleh Edry bila beliau mengemukakan konsep negara-bangsa itu adalah negara sebagai sebuah politi moden.

Namun begitu, sebagai pengetua Akademi Bangsa, seharusnyalah Edry lebih berhati-hati dan cermat dan tidak mengeluarkan hujah secara pukul-rata khususnya ketika menanggapi persoalan rumit seperti negara, bangsa dan kebangsaan yang bersifat anjal dan berbeza-beza mengikut suasana politik, kondisi budaya, konteks ruang serta masa dan proses sejarah yang dilalui oleh sesuatu masyarakat manusia di mana fenomena negara, bangsa dan kebangsaan itu berlaku.

Sanggahan kedua

Kelemahan kedua penghujahan Edry ialah dari sudut pemberian takrif kepada konsep bangsa. Edry mentakrifkan bangsa (nasion) sebagai “sesebuah komuniti atau ras yang berkongsi budaya yang sama, tradisi, sejarah, dan bahasa yang sama”.

Dari sini sebenarnya agak jelas Edry bukan sahaja tidak cukup menghadamkan wacana akademik tentang bangsa tetapi beliau juga sangat keliru apabila menyamakan bangsa (nasion) sebagai ras.

Agak ketara juga kekeliruan Edry apabila beliau turut menggunakan kata “komuniti atau…”. Ini menunjukkan bahawa beliau sendiri tidak pasti apakah bangsa ini suatu bentuk komuniti atau suatu bentuk ras?

Dari sudut sosiologinya istilah seperti bangsa, etnik, kaum dan ras adalah pengkategorian komuniti manusia. Komuniti bukan ras. Tetapi ras adalah suatu bentuk pengkategorian komuniti manusia yang ada di dunia ini berdasarkan perbezaan ciri-ciri fizikal rupa bentuk wajah dan tubuh badan.

Daripada takrif yang Edry berikan jelas menunjukkan bahawa faham beliau ialah bangsa (nasion) itu ras yang berkongsi “budaya yang sama, tradisi, sejarah, dan bahasa yang sama”. Ini tentunya satu kesalahan yang sangat fundamental.

Ras adalah istilah yang merujuk kepada perbezaan ciri-ciri fizikal manusia (baca phenotypical traits) contohnya rupa bentuk mata, hidung, warna kulit, jenis rambut dan ciri-ciri fizikal yang lain.

Kalau menggunakan takrif Edry maknanya semua ras kulit putih, berhidung mancung (baca caucasion), semua ras berkulit cerah, bermata sepet (baca mongoloid), semua ras berkulit hitam, berambut keriting (baca negroid) dan semua ras yang berkulit sawo matang dan berhidung pesek (baca malayan) berpotensi untuk menjadi bangsa yang sama jika mereka berkongsi budaya, tradisi, sejarah dan bahasa yang sama. Tetapi hakikatnya tidak begitu.

Malah konsep ras sebagai kategori komuniti manusia yang berasal dari taksonomi manusia ciptaan Linnaeus dan dikembangkan oleh Blumenbach pada kurun ke-18 yang kemudiannya dijadikan pula alat ideologi penjajahan dikritik hebat oleh sarjana sosiologi moden dan amat jarang sekali konsep ini digunakan lagi di ruang akademik di dalam mencirikan komuniti manusia.

Namun begitu, kekeliruan Edry dalam memberi takrif terhadap apa itu bangsa boleh difahami kerana bangsa adalah suatu konsep yang rumit, liar, binal dan sukar untuk ditangkap maknanya dengan kejap.

Dalam kalangan sarjana kajian bangsa dan kebangsaan sendiri pun sukar untuk mencapai kata putus yang tuntas.

Pun begitu daripada bacaan-bacaan saya yang tak seberapa luas ini, belumlah lagi saya menemui sebarang hujah dalam kajian bangsa dan kebangsaan yang memberi takrif bahawa bangsa itu adalah ras.

Umumnya majoriti sarjana tersohor kajian bangsa dan kebangsaan seperti Gellner, Smith, Connor, Breuilly dan Anderson menghubungkan kelahiran bangsa dengan unsur-unsur budaya yang dipermudahkan perkongsiannya melalui pembentukan politi-politi kepemerintahan dan kemajuan teknologi yang mendorong kepada penyebaran kesedaran berbangsa.

Bangsa juga menurut beberapa orang sarjana kajian bangsa dan kebangsaan berkait rapat dengan persoalan sosiopsikologi, perasaan, emosi, etnisiti, kewujudan politi dan peradaban yang lampau serta proses sejarah bersama yang dilalui oleh komuniti manusia tersebut.

Faham sejarah DAP

Berbicara tentang proses sejarah inilah akan menemukan kelemahan Edry yang paling mencolok. Memandangkan Edry merupakan Adun DAP, tidak keterlaluan rasanya untuk ditebak bahawa ini jugalah yang menjadi faham sejarah DAP. Faham sejarah DAP umumnya cenderung polos sejarah.

Ini dapat dilihat daripada hujah Edry apabila menyatakan bahawa, “seharusnya sejarah Malaysia perlu dilihat sewaktu penubuhannya bukan melihat sejauh zaman kurun pertama atau sewaktu penciptaan manusia”.

Beliau kemudiannya menyambung dengan berkata, “sejarah bersifat jalur waktu; daripada A kepada B. Maka kerana itu mengambil sejarah pembentukan Malaysia adalah sesuatu yang wajar untuk memahami nilai-nilai yang terkandung dalam Malaysianisme.”

Ini suatu pendekatan yang terang-terangan polos sejarah dan bertentangan dengan hakikat sejarah itu sendiri.

Maknanya sebelum Malaysia, sejarah tidak wujud buat masyarakat Melayu, Cina, India, Orang Asli, Sabah dan Sarawak. Kalau wujud pun, jangan diambil kisah. Ketepikan kisah-kisah sejarah silam pelbagai masyarakat yang ada di Malaysia ini kerana “seharusnya sejarah Malaysia perlu dilihat sewaktu penubuhannya”.

Malaysia lahir dari vakum?

Dengan kata lain Malaysia wujud dalam hampagas. Tiada proses, tiada peristiwa, tiada tokoh, tiada perjalanan kisah silam, tiada pemberontakan rakyat terhadap penjajah, dan tiada pergelutan pelbagai pandangan dan idea sebelum penubuhan Malaysia.

Maknanya semua kisah tentang politi-politi Melayu terdahulu, kerajaan-kerajaan Melayu silam, empayar Melaka dan tokoh-tokohnya, sosok-sosok pejuang anti-penjajah seperti Tok Janggut, Bahaman, Maharaja Lela, Tokku Paloh, Abdul Rahman Limbong, Tok Gajah, Dol Said, Sayyid Masahor, Rosli Dhobi, Rentap, Antanom, Panglima Saleh – semuanya perlu dikuburkan kerana kesemua mereka ini tidak wujud ketika penubuhan Malaysia dan seperti faham Edry “seharusnya sejarah Malaysia perlu dilihat sewaktu penubuhannya”.

Itulah natijah kepada faham polos sejarah pengetua Akademi Bangsa DAP ini.

Apakah di sebalik faham polos sejarah Edry ini terselindung usaha-usaha daripada DAP untuk menafikan Melayu sebagai sebuah komuniti sejarah yang sudah pun wujud dan membina politi serta peradabannya yang khas dan tersendiri di wilayah yang sekarang dinamakan Malaysia ratusan tahun dahulu sebelum kedatangan penjajah Eropah?

Adakah ini tujuannya – menafikan kewujudan peradaban Melayu – apabila Adun DAP ini mengemukakan hujah “seharusnya sejarah Malaysia perlu dilihat sewaktu penubuhannya”?

Menurut faham Edry, “sejarah bersifat jalur waktu; daripada A kepada B. Maka kerana itu mengambil sejarah pembentukan Malaysia adalah sesuatu yang wajar”. Ya, sebahagian daripada sejarah terkandung unsur waktu. Tetapi dalam sejarah juga terkandung ingatan (memori). Bahkan ingatan adalah unsur terpenting dalam melahirkan apa yang kita panggil sebagai sejarah.

Tiada kenangan, tiada sejarah

Tanpa ingatan tak akan ada sejarah. Dengan membatasi sejarah hanya pada waktu iaitu bermula dari pembentukan Malaysia, Edry bukan sahaja menidakkan hakikat sejarah silam sebelum pembentukan Malaysia tetapi juga beliau cuba menafikan ingatan kolektif yang wujud dalam kesedaran pelbagai masyarakat Malaysia yang rencam ini.

Penafian terhadap ingatan lampau dengan cuba membatasinya ke waktu tertentu merupakan suatu bentuk kejulingan sejarah yang sangat mencolok.

Bagi konteks Malaysia, tidaklah perlu untuk kita mengambil sejarah Malaysia sejauh zaman kurun pertama atau sewaktu penciptaan manusia seperti mana yang disindir oleh Edry.

Namun suatu keperluan untuk kita menggali sejarah lampau sejauh mungkin selagi disertakan dengan bukti nyata yang kukuh dan hujah yang munasabah.

Malaysia pada hari ini lahir daripada proses masa lampau yang panjang dan rumit. Menafikan masa lampau dan membatasinya ke waktu penubuhan Malaysia akan melenyapkan pemahaman kita yang lebih mendalam tentang hari ini yang kita geluti bersama-sama.

Bagaimanakah untuk kita bergerak ke hadapan kalau sekiranya kita tersangkut pada hari ini akibat daripada kecendangan sejarah silam?

Kalau sejarah hanya dibatasi pada masa penubuhan Malaysia atau kedatangan penjajah Inggeris – itu juga satu ketidakadilan kepada komuniti yang ada di Malaysia ini.

Apakah sebelum penubuhan Malaysia, komuniti mereka tidak ada sejarah masing-masing? Apakah komuniti mereka polos sejarah? Tentunya tidak. Setiap komuniti ada sejarah masing-masing yang diingati dan warisi secara bersama.

Yang penting bukanlah untuk membatasi ingatan sejarah ini hanya dalam kerangka waktu tertentu seperti mana yang diajukan oleh Edry tetapi menghormati dan mengiktiraf kesejarahan setiap komuniti yang ada di Malaysia ini.

Keengganan Edry (dan DAP) untuk menghormati dan mengiktiraf sejarah silam sebelum penubuhan Malaysia dan sebelum kedatangan penjajah Barat ke alam Melayu ini adalah salah satu daripada punca yang menyebabkan cita-cita untuk melahirkan Bangsa Malaysia sukar dilaksanakan.

Kita pada hari ini kesan daripada masa silam. Memahami masa silam adalah sebahagian jalan untuk mengurai kekusutan yang berlaku hari ini agar kita dapat merembah jalan untuk membina masa depan bersama yang lebih cerah. – 31 Mei, 2019.

* Azharuddin Aziz ialah pembaca The Malaysian Insight.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen