Perihal agama Melayu fahaman setem 80 sen


Mohd Syazreen Abdullah

MELAYU jadi jumud kerana diajar bersyukur dan beradab. Syukur sebab lahir dari rahim Islam berdarah kacukan Melayu. Kononnya, nikmat iman hanya ada pada orang beragama Melayu-Islam. Adab pula harus mensakralkan tradisi beragama.

Melayu diasuh supaya beradab, jangan sesekali kritik agama. Justeru, mazhab aliran Syafie menjadi agama Melayu-Islam. Ber-Islam mesti tiru gaya Islam-Arab.

Walau ramai Melayu-Islam sibuk bangkit mahu pertahankan agama tetapi mereka tidak serius untuk faham agama. Bab agama, Melayu-Islam suka bertaklid. Mereka tidak mahu kritis dalam memahami agama. Mereka percaya agama tidak boleh lagi dipersoal.

Agama umpama bapa. Jangan sesekali dicabar, disoal si anak kecil. Dogma itu bersebati dalam praktik kehidupan. Justeru, soal agama susah untuk diperbahas.

Di Malaysia, demokrasi membebaskan wacana. Meskipun kritik atau ampu, diskusi agama terbentang luas. Kita bebas menganuti aliran dan kumpulan. Dari sejumud-jumud aliran persis setem 80 sen sehingga aliran kemuncak rasionalisme persis ateis seperti yang dirintis Ibnu Muqaaffa, Ibnu Rawandi, Jabir bin Hayyan dan Muhammad Zakariya ar-Razi.

Malangnya, majoriti Melayu-Islam tidak suka wacana kritis agama. Bahkan mereka teruja menghentam gerakan wacana agama ala-moderat. Mereka sanggup berwala kepada pemikiran setem 80 sen daripada melondehkan agama-dogma.

Telanjangkan agama merupakan dosa besar. Kritis bukan budaya Melayu-Islam. Melayu-Islam bangsa yang tunduk dan akur lagi patuh kepada syiar agama – warisan turun-temurun dari nenek moyang. Bukannya agama yang Allah mahu.

Anti liberal

Orang Melayu-Islam takut benar dengan modenisasi. Mereka dimomok kononnya wacana liberal sebagai memurtadkan dan merosakkan Melayu dan Islam. Kelompok anti liberal – kumpulan setem 80 sen umpamanya – gemar menyebar dakyah kepada umat Melayu seolah-olah gerakan itu didalangi orang-orang yang gagal dalam melaksanakan perintah agama. Konon liberal adalah kelompok yang terseleweng dari Islam.

Justeru, janganlah Malaysia baharu dibina atas landasan ketaasuban agama dan kaum. Kita tidak mahu kembali kepada pemikiran terbelakang dan menjadi jumud. Jangan sampai ruang, diskusi, dan budaya dimonopoli kumpulan Islam taasub dan Islam perkauman atas nama kebebasan.

Wacana modenisasi harus lebih tersusun. Kejumudan dan konservatif hanya boleh dikalahkan melalui pencerahan ilmu. Di negara kita, naratif ektremis dikawal kelompok tersebut. Mereka taasub kepada kumpulan, taklid kepada pemimpin. Bukan kebenaran.

Anehnya, ajaran mereka lebih mudah disantuni Melayu-Islam. Melayu mana yang tidak suka jika Malaysia jadi negara Islam? Tambahan lagi al-Quran dan sunah jadi modal dakwah. Umat Melayu begitu mudah terbuai dengan Islam versi tersebut berbanding wacana liberal. Jarang-jarang dapat diakses. Masih janggal di mata Melayu-Islam. Jadi, kita bimbang naratif ektremis mekar subur di bumi Malaysia.

Wacana modenisasi gagal mendapat tempat dalam budaya Melayu-Islam. Pembaharuan pemikiran keagamaan gagal disegarkan, tidak menjuarai hati majoriti mereka. Walhal sejarah membuktikan pemikiran sempit sesebuah kaum dan kelompok anti modenisasi bakal menghancurkan peradaban dan kebudayaan sesebuah negara dan tamadun.

Jangan menyesal kemudian hari jika negara ini mengulangi peradaban jahiliah bangsa Arab suatu ketika dahulu.

Jumudnya bangsa Arab

Bangsa Arab pernah jumud. Dunia Arab tidak mencapai kemakmuran sehinggalah mereka dapat menyudut keagamaan ke ruang peribadi. Kemajuan mereka terhalang oleh benteng agama yang menebal – sikap asolah dan tidak mahu pembaharuan dek bencinya terhadap modenisasi. Justeru, kebudayaan baharu tidak sesekali wujud selagi tradisi lapuk tidak dirombak.

Kritik pemikir Arab, Adonis diungkap dalam Fatihat li-Nihayat al-Qarn: Bayanat min ajl Tsaqafat Arabiyhat Jadidat – deklarasi ke arah kebudayaan Arab-Islam 1979.

Menolak perubahan dan pembaharuan punca Arab jadi jumud. Mengubah pemikiran keagamaan acapkali dilabel hina agama. Mereka anti kebebasan berfikir. Mundur kerana tidak suka budaya menelaah dan mengkaji. Tafsiran kebudayaan dan keagamaan berubah jadi kolot. Yang boleh berubah-ubah kekal menjadi statik. Yang lama tidak diperbaharu lalu tidak ada inovasi (al-ibda’) pada sikap kebudayaan dan pemikiran. Sebaliknya mereka selesa meniru segala yang sedia ada (al-ittiba’).

Ironi, mereka kata itu adalah lanjutan pemikiran keagamaan di samping slogan kembali kepada ajaran Quran dan sunah. Maka, asbab kemunduran kebudayaan Arab adalah gagalnya menonjol dalam sikap keanjalan berfikir. Walhal keanjalan berfikir ada dalam Islam. Keanjalan berfikir adalah kebijakan menghidupkan dinamika pemikiran keagamaan sebagai melawan naratif ektremis.

Modenisasi sebagai lawan kepada aliran kejumudan. Gerakan kebangkitan pemikir liberal Arab seperti yang diungkap Albert Hourani melalui Arabic Thought in the Liberal Age bahawa pengaruh kebudayaan Barat oleh cendekiawan Arab menjadi titik lahir pemikiran Arab yang progresif. Mereka melawan kejumudan, taklid dan nasionalisme sempit.

Kelompok yang melakukan perlawanan ini antaranya at-Tahtawi (1801-1873), Khayr ad-Din (1810-1889), Jamal ad-Din al-Afghani (1838-1897), Muhammad Abduh (1849-1905), Thaha Husayn (1883-1973), Syibli Syumayyil (1850-1917) dan Farah Anthun (1874-1922).

Kebebasan sebagai kemajuan

Kewahyuan bukan final. Sebaliknya Naql bukan segala-galanya. Namun yang mendasari kebenaran ada Aql bersama-sama berperanan menilai sesuatu. Sekadar wahyu hanya menghambat kemandirian manusia.

Bangsa Arab jumud sebab anti rasionalisme. Mereka selesa dengan pemikiran mapan. Sedangkan pemikiran itu berdiri di atas status quo dan kekal statik serta anti perubahan.

Adonis mahu mazhab revolusioner. Mazhab tidak sekadar lumpuh pada ranah politik dan agama, sebaliknya kritik terhadap kejumudan. Kebebasan sebagai kemajuan. Sikap kritis dan mempersoal kesucian tradisi pada warisan agama adalah kekuatan pembaharuan pemikiran keagamaan. Mazhab mesti reform tentangan fundamentalis dan terorisme.

Adonis mahu gerakan persis Qaramith. Sebuah gerakan melawan kelas. Menurutnya gerakan itu memisahkan kearaban dan Islam melalui gagasannya iaitu keislaman Arab (islamiyyat al-Arubiyyat) Bukan jadi kearaban Islam (arrubiyyat al-Islamiyyat).

Gerakan Qaramith bersifat universal dan humanis. Tidak eksklusif. Anti kepada sekte dan rasisme. Gerakan yang tidak menyebelahi kaum Quraisy sebagai satu-satunya pemimpin sebaliknya menyokong kelayakan tanpa kira kaum dan agama.

Bebelan Adonis bukan omongan kosong. Tajam. Beliau tahu sejarah jumudnya kebudayaan dan pemikiran bangsa Arab pasca 1967. Justeru, seruannya agar bangsa Arab bangkit dari lena kejumudan dengan merombak dasar pemikiran keagamaan. Bangsa tidak maju sekadar kembali pada Quran dan Sunah.

Beliau mahu masyarakat Arab berani menafsirkan agama sebagai ajaran rasional dengan mengkritik yang asal. Kerana kelompok sama ada dari jalur konservatif atau moderat, kedua-duanya berpegang erat ajaran Quran dan sunah. Perbezaan hanya atas penafsiran – tafsiran sempit atau luas.

‘Bunuh’ Tuhan

Kritik bermula dengan “membunuh” Tuhan. “Buang” tuhan yang menyebabkan otak jadi sempit, mudah terikut-ikut dengan wacana logosentrime seperti mahu tampil islamik yang taasub. Betapa jijiknya pemikiran Melayu-Islam andai berkiblatkan ketaasuban dan perkauman sempit. Cari Tuhan baharu yang memberi kebebasan kepada manusia untuk mencipta kreativiti beragama sekaligus perubahan.

Bangsa Melayu-Islam sepatutnya malu kerana terhegeh-hegeh mahu menjadi Arab yang pernah berkiblatkan kejumudan. Bukan contoh baik. Teladan yang baik adalah panduan Quran dan sunah yang diajar nabi.

Nabi mengajar umatnya nilai liberal – kebebasan, toleransi, keadilan, kemanusiaan, dan kesaksamaan. Nabi tidak mengajar untuk menjadi bangsa setem 80 sen – jumud, rasis, dan perkauman.

Kita tidak mahu mengundur sebagaimana Arab yang pernah gagal. Jumud mempertahan tradisi walhal seketat-ketat tradisi boleh diluwes dengan jalan modenisasi. Kerana pemikiran bukan hal yang boleh disarung dan dibuang pakai. Pemikiran adalah sistem pengetahuan yang terbentuk. Kita tidak boleh menjadi bangsa yang maju dengan menyalin pemikiran yang bukan kita sendiri terokai. Pemikiran mampu menjadi ruh peradaban.

Bak kata Adonis Wa laysa al-fikr aba’ah bal huwa al-jasad dzatah – pemikiran bukan sebuah jubah, melainkan tubuh itu sendiri.

Jelas, Adonis tolak kejumudan Arab. Malangnya Melayu-Islam asyik meniru lagi kejumudan Arab. Lupa bagaimana jatuhnya ketamadunan bangsa Timur Tengah yang dibangga-banggakan? – 30 Mei, 2019.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen