Sembang kencang isu PTPTN


Noor Azam Shairi

Pada 16 Mei lepas, PTPTN melancarkan rundingan awam di laman webnya untuk mendapatkan maklum balas orang ramai atas dua perkara: bagaimana mahu memastikan tabung itu dapat diteruskan untuk manfaat generasi akan datang, dan bagaimana mendapatkan semula bayaran balik pinjaman tanpa membebankan peminjam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 29 Mei, 2019.

ADA satu pepatah Melayu – jauh menyalak kuat, dekat mencawat ekor. 

Inilah gambaran keadaan yang sedang dihadapi oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), setelah ia pergi kepada rakyat membentangkan masalahnya untuk mereka sama-sama membantu ia mencari penyelesaiannya.

Pada 16 Mei lepas, PTPTN melancarkan rundingan awam di laman webnya. Rundingan awam itu mahu mendapatkan maklum balas orang ramai atas dua perkara: bagaimana mahu memastikan tabung itu dapat diteruskan untuk manfaat generasi akan datang, dan bagaimana mendapatkan semula bayaran balik pinjaman tanpa membebankan peminjam.

PTPTN melakukan proses ini dengan cukup telus. Ia membentangkan kedudukan kewangannya sepanjang operasi sejak 1997. Tiada apa yang disorok; semua ditunjuk – daripada jumlah pinjaman, hutang yang dikutip, hutang yang tidak dapat dikutip sampailah kepada unjuran masa depan.

Harapan PTPTN ialah setelah meneliti letak duduk keadaan tabung itu, orang ramai akan berlapang dada memberikan pandangan mereka untuk membantu memecahkan masalah yang ada.

Namun dua minggu selepas kertas rundingan itu dipaparkan kepada umum, hanya seorang daripada setiap 10 yang melihatnya sudi memberikan pandangan mereka.

Hakikat yang memenatkan itu memaksa panel penasihat PTPTN hari ini mengeluarkan satu kenyataan menggesa orang ramai mengalihkan perbualan aktif mereka di media sosial dan kumpulan tertutup ke laman rasmi rundingan awam.

Kenapa ini berlaku? 

Di media sosial riuh rendah orang bercakap tentang PTPTN – sampai langit pun seolah-olahnya boleh runtuh. Di saluran yang terbuka atau kumpulan tertutup, macam-macam idea orang berbahas terutama tentang apa yang patut dan tidak patut PTPTN buat untuk mendapatkan semula hutangnya.

Hakikatnya, hanya sedikit cadangan, ulasan dan maklum balas yang sampai ke saluran rasmi rundingan awam PTPTN.

Rundingan awam ini bukan sembang kosong di kedai kopi – tanpa fakta dan data, hanya sembur air liur ikut emosi.

Rundingan awam PTPTN ini dibuat dengan terbuka dan telus. PTPTN membuka bukunya dan memberikan maklumat latar belakang isu. 

Misalnya begini: 

Hanya 32.5% daripada RM56 bilion pinjaman yang dikeluarkan sejak 1997 sudah dibayar balik.

  • PTPTN sekarang menanggung hutang RM40 bilion, yang boleh meningkat jadi RM76 bilion menjelang 2040. Sebagai perbandingan, hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad yang terbelit skandal ialah RM38 bilion. 
  • Separuh daripada peminjamnya tidak membayar balik pinjaman dengan konsisten. Seorang daripada setiap lima langsung tidak pernah bayar hutang.
  • Bagi setiap RM7,000 yang gagal ia kutip, seorang pelajar baru akan dinafikan pinjaman.

Angka-angka itu menunjukkan bagaimana mahu atau tidak mahu, PTPTN perlu mendapatkan balik pinjamannya atau ia akan terpaksa ditanggung oleh semua rakyat.

Angka-angka yang sama jugalah dibentangkan oleh PTPTN pada sidang meja bulat bersama pihak berkepentingan antara Januari dan Mac lepas. Mereka membincangkan dua perkara pokok: bagaimana mahu memastikan tabung itu dapat diteruskan untuk manfaat generasi akan datang, dan bagaimana mendapatkan semula bayaran balik pinjaman tanpa membebankan peminjam.

Sidang meja bulat itu kemudian mengenal pasti empat isu teras: skim baharu pembayaran balik ikut kemampuan, meningkatkan bayaran balik secara konsisten, langkah penjimatan, dan mengurangkan kos serta meningkatkan pendapatan. 

Sidang meja bulat itu juga mencadangkan 10 idea untuk menyelesaikan empat isu teras itu, yang sekarang ini dibentangkan kepada umum untuk didapatkan pandangan mereka.

Soalnya, kenapa riuh cakap di belakang tetapi jadi bisu apabila berdepan?

Kenapa orang lebih selesa bercakap di belakang – atau istilahnya, sembang kencang – tetapi mengunci mulut apabila diminta berkongsi pandangan.

Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan juga didesak letak jawatan atau dipecat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2019.

Ketika banyak orang menuntut itu dan ini sebagai sesuatu yang hak, malah diistilahkan juga sebagai hak bersama, kenapa ketika negara ini terbeban masalah ia tidak juga dilihat sebagai masalah bersama.

Ketika kertas rundingan awam ini dilancarkan kepada umum, orang ramai dengan penuh tenaga lantang menghentam pimpinan PTPTN. Pengerusinya Wan Saiful Wan Jan bukan saja didesak letak jawatan atau dipecat, malah ada juga yang mencaci maki beliau sampai memanggilnya “bangsat”.

Apa yang mereka tidak lakukan ialah menumpukan seluruh tenaga dan daya fikir untuk meneliti cadangan yang ada dan memberikan maklum balas kepada PTPTN. 

Malaysia yang baharu tidak akan dibina kalau rakyatnya hanya sembang kencang. Malaysia yang baharu mesti berani menghadapi apa saja tentangan. Malaysia yang baharu mesti meninggalkan tabiat lama – menyalak kuat hanya dari jauh tetapi mencawat ekor apabila sudah dekat.

Atau, apakah memang ini nilai yang ada pada majoriti kita: hanya menunggu semua masalah orang selesaikan tanpa kita sedikit pun memberi sumbangan. 

Betullah kata orang: hanya ada dua kelompok manusia dalam kalangan kita – sama ada mereka itu sebahagian daripada penyelesaian atau sebahagian daripada masalah. 

Dalam Malaysia yang baharu ini, kita hendak jadi apa? – 29 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen