Tiga anggota Daesh warga Perancis terima hukuman mati di Iraq


Anggota Daesh kini perlu berdepan perbicaraan yang bakal menyaksikan hukuman mati dan penjara seumur hidup. – Gambar AFP, 26 Mei, 2019.

MAHKAMAH Iraq pada hari Ahad menjatuhkan hukuman mati ke atas tiga warga Perancis selepas didapati bersalah menyertai kumpulan Daesh.

Hukuman itu menjadikan mereka sebagai ahli Daesh pertama dari Perancis dijatuhkan hukuman mati, kata seorang pegawai mahkamah.

Ditawan di Syria oleh pasukan yang didukung Amerika Syarikat bagi melawan jihadis, Kevin Gonot, Leonard Lopez dan Salim Machou dipindahkan ke Iraq untuk dibicarakan. Mereka mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan.

Iraq menahan ribuan jihadis yang dihantar pulang beberapa bulan kebelakangan dari Syria, di mana mereka ditangkap oleh Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang didukung AS bagi membanteras “khilafah” Daesh.

Badan kehakiman Iraq berkata pada awal Mei bahawa ia telah membicarakan dan menghukum lebih daripada 500 ahli Daesh yang disyaki warga asing sejak permulaan tahun 2018.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan mati, walaupun tidak ada anggota Daesh warga asing yang dikenakan hukuman tersebut.

Perbicaraan tersebut turut dikritik kumpulan hak asasi manusia, yang mengatakan bukti yang diperolehi mahkamah adalah melalui penyeksaan.

Mereka yang dihukum pada hari Ahad adalah antara 13 warganegara Perancis yang ditangkap dalam pertempuran di timur Syria dan diserahkan kepada pihak berkuasa Iraq pada bulan Februari kerana disyaki menjadi anggota Daesh warga asing.

Salah seorang daripada mereka kemudian dibebaskan kerana didapati ke Syria untuk menyokong minoriti agama, puak Yazidi - iaitu kumpulan sasaran kempen Daesh yang menyaksikan kekejaman kumpulan perlampau itu sehingga dikatakan oleh kumpulan hak asasi menjadi mangsa genosida Daesh. – AFP, 26 Mei, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen