Hanya Maij berkuasa tangkap individu ponteng puasa, kata exco Johor


Mohd Farhan Darwis

Selain Majlis Agama Islam Johor (Maij), adalah menjadi kesalahan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang menjalankan penguatkuasaan berkaitan perkara itu, kata Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi. – Gambar Facebook, 23 Mei, 2019.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi berkata tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang ponteng puasa hanya boleh dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Johor (Maij).

Adun Bukit Permai itu berkata selain Maij, adalah menjadi kesalahan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang menjalankan penguatkuasaan berkaitan perkara itu.

“Setahu saya bidang ini (tangkap individu ponteng puasa) kuasa pejabat agama, bahagian penguatkuasaan yang boleh tangkap orang, saya tak tahu sekiranya pejabat daerah ada kuasa macam itu. 

“Setahu saya tidak ada, tapi tak tahulah kalau mereka ada undang-undang sendiri. Pejabat agama sahaja ada kuasa itu, nak tangkap orang tak puasa atau berjudi itu kuasa bahagian penguatkuasaan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berkenan tindakan penguatkuasa Majlis Perbandaran Segamat (MPS) yang menyamar sebagai pekerja di premis makanan untuk menangkap orang Islam yang tidak berpuasa.

Presiden MPS Mohd Masni Wakiman berkata usaha tersebut dijalankan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Daerah Segamat, terutamanya di premis di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan itu.

Operasi melibatkan 32 pegawai penguatkuasa termasuk dua orang yang ada kemahiran membuat roti canai, membancuh teh dan menggoreng mee mamak.

Mohd Masni berkata, penguatkuasa MPS akan mengambil gambar secara rahsia mereka yang sedang makan dan kemudiannya berhubung dengan Majlis Agama Islam Daerah Segamat untuk tindakan penguatkuasaan.

Ketua Bahagian Bersatu Kulai itu berkata, tiada sebarang kesalahan sekiranya tindakan penguatkuasaan dilakukan agensi agama berkenaan dan bukannya MPS.

“Kalau pejabat agama yang tangkap betul, tapi bab menyamar ini saya tak tahulah,” katanya.

Mereka yang menjual makanan dan minuman kepada orang Islam untuk dimakan serta merta pada bulan Ramadan juga melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(a) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2019.

MPS mempunyai 185 gerai dan tempat makan berlesen di 15 tempat di dalam kawasan bidang kuasa majlis berkenaan.

Di bawah Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 adalah menjadi kesalahan bagi orang Islam makan atau minum secara terbuka pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjual makanan dan minuman kepada orang Islam untuk dimakan serta merta pada bulan Ramadan juga melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(a).

Kesalahan itu jika sabit membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

MPS petang tadi menafikan laporan berita mengenai pegawai penguatkuasanya mengintip orang Islam yang tidak berpuasa.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook petang ini, MPS berkata ia tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang dipetik oleh Malay Mail dan harian Metro berhubung perkara itu.

“Pihak MPS tidak pernah melakukan operasi penyamaran untuk mengintip atau menangkap individu Islam yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadan sebagaimana yang dinyatakan. Perkara tersebut adalah di luar bidang kuasa pihak MPS. 

“Untuk makluman juga, dalam syarat lesen perniagaan yang dikeluarkan, tiada larangan waktu tertentu untuk peniaga menjalankan aktiviti perniagaan dalam bulan mulia ini,” menurut kenyataan itu.

Ia susulan laporan oleh beberapa akhbar yang mencetus kritikan orang ramai terutamanya pengguna media sosial.

Tidak ketinggalan, kumpulan hak asasi wanita Islam, Sisters in Islam (SIS) yang menyelar tindakan mengintip dan menangkap orang Islam tidak berpuasa itu.

SIS berkata tugas berkaitan agama tiada kena mengena dengan penguatkuasa majlis perbandaran dan apa yang dilakukan oleh MPS bertentangan dengan ajaran al-Quran.

“Strategi majlis itu yang meletakkan pegawai berkulit gelap dan mengambil gambar orang Islam yang sedang membeli makanan dan makan di depan khalayak adalah bertentangan dengan al-Quran yang mengajar kita supaya mengelak perbuatan syak wasangka serta tidak mengintip orang,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

SIS juga berkata MPS dan jabatan agama sepatutnya mengimarahkan semangat kebaikan ketika di bulan Ramadan dengan menggalakkan orang ramai memahami orang Islam yang tidak berpuasa atas pelbagai sebab. – 23 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen