MAJLIS Perbandaran Segamat (MPS) menafikan laporan berita mengenai pegawai penguatkuasanya mengintip orang Islam yang tidak berpuasa.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook petang ini, MPS berkata ia tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang dipetik oleh Malay Mail dan harian Metro berhubung perkara itu.
“Pihak MPS tidak pernah melakukan operasi penyamaran untuk mengintip atau menangkap individu Islam yang tidak berpuasa dalam bulan Ramadan sebagaimana yang dinyatakan. Perkara tersebut adalah di luar bidang kuasa pihak MPS.
“Untuk makluman juga, dalam syarat lesen perniagaan yang dikeluarkan, tiada larangan waktu tertentu untuk peniaga menjalankan aktiviti perniagaan dalam bulan mulia ini,” menurut kenyataan itu.
Beberapa akhbar melaporkan beberapa pegawai penguatkuasa MPS menyamar sebagai pekerja di premis makanan untuk mengintip dan menangkap orang Islam yang tidak berpuasa.
News Strait Times memetik Yang Dipertua MPS Mohd Masni Wakiman sebagai berkata majlis perbandaran itu bekerjasama dengan Majlis Agama Islam Daerah Segamat untuk mengesan orang Islam yang tidak berpuasa, terutamanya di gerai di bawah pemantauan MPS.
Mohd Asni juga dipetik berkata operasi MPS melibatkan 32 penguatkuasa termasuk dua orang yang mahir menebar roti canai, membancuh teh dan menggoreng mee mamak yang menyaamr sebagai tukang masak dan pelayan kedai untuk menangkap orang Islam yang makan di 185 gerai.
“Kita pilih khusus pegawai penguatkuasa yang berkulit gelap untuk kerja menyamar ini.
“Kalau bercakap dalam telor Indonesia atau Pakistan, mereka ini meyakinkan dan pelanggan akan percaya mereka ini memang bekerja sebagai tukang dan pelayan makanan,” kata Mohd Masni seperti dipetik NST.
Laporan berita yang kemudian dipetik media lain telah mengundang kritikan orang ramai terutamanya pengguna media sosial. – 23 Mei, 2019.
Komen