SIS selar Majlis Perbandaran Segamat intip orang Islam tak puasa


Sisters in Islam berkata apa yang dilakukan oleh Majlis Perbandaran Segamat bertentangan dengan ajaran al-Quran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Mei, 2019.

SISTERS in Islam (SIS) hari ini menyelar tindakan Majlis Perbandaran Segamat (MPS) di Johor yang menempatkan pegawai penguatkuasanya menyamar sebagai sebagai pekerja di premis makanan untuk mengintip orang Islam yang tidak berpuasa.

Kumpulan hak asasi wanita Islam itu berkata tugas berkaitan agama tiada kena mengena dengan penguatkuasa majlis perbandaran dan apa yang dilakukan oleh MPS bertentangan dengan ajaran al-Quran.

“Strategi majlis itu yang meletakkan pegawai berkulit gelap dan mengambil gambar orang Islam yang sedang membeli makanan dan makan di depan khalayak adalah bertentangan dengan al-Quran yang mengajar kita supaya mengelak perbuatan syak wasangka serta tidak mengintip orang,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Selain itu, SIS menyifatkan tindakan MPS itu “menyalah guna dana awam”.

“Tindakan ini menunjukkan kesilapan majlis perbandaran dalam meletakkan keutamaan yang sepatutnya fokus kepada mendahulukan kebajikan dan maruah orang ramai.

“Tindakan ini memalukan dan memberi gambaran yang salah tentang Islam di mata umat Islam dan orang yang berlainan agama.”

Kumpulan itu juga berkata MPS dan jabatan agama sepatutnya mengimarahkan semangat kebaikan ketika di bulan Ramadan dengan menggalakkan orang ramai memahami orang Islam yang tidak berpuasa atas pelbagai sebab.

Menurut SIS, MPS sepatutnya memberi kelonggaran kepada orang Islam yang melakukan kerja berat, mengalami maslaah kesihatan seperti kencing manis dan penyakit kronik lain, ibu yang menyusukan anak serta mereka yang tidak boleh berpuasa kerana uzur dan berusia.

“Kami kecewa kerana sedangkan ada cara yang lebih baik untuk menggalakkan orang Islam berpuasa, majlis perbandaran dan jabatan agama memilih tindakan yang menghukum dan mencemarkan nama Islam.

“Kami menuntut semua pihak menghentikan perbuatan mengintip yang memalukan ini,” kata SIS. – 23 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen