PEGAWAI penguatkuasa Majlis Perbandaran Segamat (MPS) di Johor menyamar sebagai pekerja restoran dan tempat makan untuk menangkap orang Islam yang tidak berpuasa, lapor The New Straits Times.
Presiden MPS Mohd Masni Wakiman berkata usaha tersebut dijalankan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Daerah Segamat, terutamanya di premis di bawah kendalian pihak berkuasa tempatan itu.
Operasi melibatkan 32 pegawai penguatkuasa termasuk dua orang yang ada kemahiran membuat roti canai, membancuh teh dan menggoreng mee mamak.
“Kita pilih khusus pegawai penguatkuasa yang berkulit gelap untuk kerja menyamar ini.
“Kalau bercakap dalam telor Indonesia atau Pakistan, mereka ini meyakinkan dan pelanggan akan percaya mereka ini memang bekerja sebagai tukang dan pelayan makanan,” kata Mohd Masni seperti dipetik portal berita akhbar itu.
“Apabila pesanan sampai, penguatkuasa ini akan ambil gambar secara rahsia mereka yang sedang makan dan berhubung dengan Majlis Agama Islam Segamat.”
Mohd Masni juga dipetik berkata pihaknya tidak mahu dilihat sebagai tidak berbuat apa-apa dalam menangani isu Muslim makan secara terbuka pada bulan Ramadan.
“Ia bukan saja tidak menghormati Islam tetapi memberikan gambaran buruk kepada MPS kerana dilakukan di gerai di bawah seliaannya,” katanya.
MPS mempunyai 185 gerai dan tempat makan berlesen di 15 tempat di dalam kawasan bidang kuasa majlis, kata Mohd Masni.
Laporan itu juga memetik kadi Segamat, Baharin Jalal berkata pihaknya menghargai usaha yang dilakukan oleh agensi lain untuk melindungi imej Islam.
Katanya, tindakan segelintir Muslim itu memalukan dan memberi tanggapan salah tentang Islam pada mata penganut agama lain.
Sehingga 5 petang semalam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor menangkap 102 individu atas kesalahan tidak berpuasa dan makan di tempat awam, lapor Sinar Harian.
Di bawah Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 adalah menjadi kesalahan bagi orang Islam makan atau minum secara terbuka pada bulan Ramadan.
Mereka yang menjual makanan dan minuman kepada orang Islam untuk dimakan serta merta pada bulan Ramadan juga melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(a).
Kesalahan itu jika sabit membawa hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya. – 23 Mei, 2019
Komen