Reman suspek tahfiz terbakar dilanjutkan tujuh hari lagi


Muzliza Mustafa

Pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur telah meragut 23 nyawa pelajar dan warden. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2017.

TUJUH suspek kebakaran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat Kuala Lumpur hingga meragut 23 nyawa pelajar dan warden telah dilanjutkan reman selama tujuh hari.

Majistret Zuhair Rosli hari ini membenarkan permohonan polis untuk melanjutkan reman mereka bagi membantu menyelesaikan siasatan kes.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Rusdi Mohd Isa mengesahkan lanjutan reman itu.

Suspek berusia antara 12 dan 18 tahun itu kini disiasat kerana membunuh dan membakar dengan sengaja.

Peguam yang mewakili kesemua suspek, Mohd Iqhmar Syafiq Mohd Azmi berkata buat masa ini mereka ditahan di tiga lokap berasingan.

“Buat masa ini ibu bapa mereka tidak dibenarkan melawat,” katanya.

Difahamkan yang pihak polis berhak berbuat demikian memandangkan ini adalah kes berprofil tinggi.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menolak litar pintas sebagai punca kebakaran berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian.

Ketua Pengarah Wan Mohd Nor Ibrahim dalam satu kenyataan media semalam berkata petrol disimbah pada pintu, rak penyangkut tuala, rak kasut dan dinding berdekatan pintu masuk bilik asrama di tingkat tiga bangunan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang meragut 23 nyawa minggu lepas.

Polis sebelum ini telah menahan tujuh remaja yang dipercayai memulakan kebakaran selepas berlaku insiden ejek-mengejek antara mereka dengan pelajar tahfiz.

Wan Mohd Nor berkata penyiasat menemui petunjuk dan bukti yang menunjukkan pusat tahfiz itu sengaja dibakar.

“Kebakaran bermula di pintu masuk utama ke asarama di tingkat tiga. Ini berdasarkan kenyataan saksi dan mangsa.”

Beliau juga berkata dua tong gas yang dijumpai di pintu masuk juga membantu api merebak dengan cepat.

“Ini (tong gas) telah menyebabkan api merebak dengan cepat dan membunuh mangsa dalam masa yang singkat,” katanya. – 22 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen