Art Fazil: Antara kualiti dan kuantiti


Meor Yusof Aziddin

“Hey Ali

Ali Mim Alif Lam Sin Ali Malas…

Kawanku Ali malas sekali

Cakap pasal politik negeri

Cakap pasal turun naik ekonomi

Dari pagi sampai ke tengah hari

Dari petang sampai ke malam sepi

Suruh kerja dia tak peduli

Katanya aku sedang bercuti…”

(Ali Mim Alif Lam Sin dari album Rusuhan Fikiran 1993, Rausyanfikir)

 

LIRIK di atas adalah sebahagian daripada lirik lagu Ali Mim Alif Lam Sin, dendangan kumpulan Rausyanfikir yang berkonsepkan folk rock. Rausyankir adalah kumpulan muzik trio dari Singapura yang dianggotai tiga anak muda yang berbakat Art Fazil, Mohd Khair Yassin dan Esham Jamil.

Mereka sempat melahirkan dua album yang berkualiti iaitu Rausyanfikir (1992) dan Rusuhan Fikiran (1993). Mim Alif Lam Sin adalah tulisan jawi yang maknanya dalam bahasa Melayu “malas”. Lagu Ali Malas ini bercerita tentang sikap orang Melayu yang suka berangan. Lirik yang penuh sindiran dengan melodinya yang catchy membuatkan lagu ini sangat menarik untuk didengar.

Saya berkesempatan bertemu dengan Art Fazil baru-baru ini, berbual dan bertukar-tukar pandangan dan pengalaman dalam sesi minum kopi di kedai mamak. Banyak hal yang kita bualkan, tentang Bob Marley, Nick Drake, M.Nasir, Sting, Iwan Fals, Kembara dan Ramli Sarip antaranya.

Selepas kumpulan Kembara, peminat muzik folk mengharapkan pelapis dan kemunculan Rausyanfikir memang tepat pada waktunya walau awal 1990-an irama rock kapak menguasai pasaran muzik tanah air waktu itu.

Album pertama mereka yang berkonsepkan folk rock juga etnik dengan lirik yang bertemakan kemanusiaan dan kritik sosial, pada asalnya diterbitkan sendiri, berkongsi modal antara mereka bertiga dan susunan muzik secara keseluruhannya digarap oleh maestro terkenal Eddie Marzuki. Seterusnya syarikat rakaman Pony Canyon berminat dengan rakaman master yang disiapkan.

Kedua-dua album mereka mendapat sambutan yang menggalakkan dari peminat muzik, 30,000 unit setiap album. Untuk album yang berkonsep, jumlah tersebut bolehlah dikira memberangsangkan.

Selepas album Rausyanfikir yang pertama, Art sempat menghasilkan album solo Inggeris dan album tersebut turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penggemar seni tanah air.

Sesetengah penyanyi yang sudah selesa dan punya nama biasanya tidak akan keluar dari zon selesa, berbeza dengan Art yang membuat keputusan berhijrah dan menimba pengalaman baru di United Kingdom pada 1995 sehingga 2008. Di sana beliau aktif bermain muzik di kelab-kelab di England, Wales dan Scotland antaranya.

Mungkin pemergian seorang ahli mereka Esham Jamil memberi kesan mendalam kepada Art dan Khair sehingga secara tidak langsungnya Rausyanfikir terus senyap dan ahlinya membawa haluan masing-masing.

Art bermula sebagai busker di subway tren di London selama tiga bulan sebelum beralih sebagai pemuzik pub dan kafe, juga aktif dalam program penyanyi dan penulis lagu.

Lama di sana, mengapa tak bikin album? Seperti katanya: “Untuk survive sebagai pemuzik itu tidak ada masalah, cuma untuk menjadi seorang artis rakaman, ia sukar. Tentang imej, konsep, pasaran dan sebagainya membuatkan sukar bagi syarikat rakaman membuat keputusan walaupun kita berbakat.”

Sebagai seorang penyanyi dan penulis lagi banyak kejayaan dan anugerah yang diraihnya sepanjang bergelar anak seni dan sehingga ke hari ini, Art Fazil masih aktif berkarya seiring dengan perkembangan zaman yang serba maju hari ini.

Singapura, negaranya, berkali ganda lebih kecil dari Malaysia, tetapi mereka berjaya menghasilkan produk lebih berkualiti dari negara kita. M. Nasir, Ramli Sarip, Sweet Charity, Kembara, Rausyanfikir semuanya berasal dari Singapura.

Pengaruh muzik mereka dari band atau penyanyi yang bijak seperti U2, Pink Floyd, Bob Dylan, Nusrat Fateh, Sting, The Police, Iwan Fals antaranya.

Kumpulan muzik rock kapak kita pula hanya fokus pada muzik, bukan pada liriknya. Itu pun kebanyakan lagu dari band rock kapak kita dihasilkan oleh komposer dan penulis lirik, yang mana itu bagi saya satu kekurangan yang nyata dan jelas.

Yang kita hasilkan hanyalah penyanyi; yang mereka hasilkan pengkarya. Itu bezanya. – 22 September, 2017.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.

* Meor Yusof Aziddin ialah seorang pemuzik, penyanyi folk yang telah menghasilkan 10 album antara 2001 dan 2013, juga penulis buku bertema kehidupan.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen