Waris tahfiz terbakar mahu lantik peguam


Nabihah Hamid

Noor Azizan Abdul Aziz yang kehilangan anak lelakinya berumur 16 tahun dalam kebakaran itu berkata mereka mahu tahu cerita sebenar daripada pengetua Mohd Zahid Mahmood. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 September, 2017.

SEMINGGU selepas tragedi kebakaran pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat, keluarga lebih 10 mangsa berkumpul untuk menuntut keadilan.

Walaupun polis bertindak pantas menahan tujuh suspek yang ditahan reman sehingga hari ini, pihak pengurusan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah sebaliknya didakwa diam membisu, tidak memaklumkan kepada mereka maklumat mengenai aspek keselamatan bangunan itu yang didedahkan oleh pihak berkuasa.

Antara aspek keselamatan itu termasuk beroperasi tanpa kelulusan yang sah daripada pihak berkuasa tempatan serta tidak mempunyai sijil perakuan siap dan pematuhan serta tidak ada laluan kecemasan sekiranya berlaku kebakaran.

Mereka kini mahukan jawapan. Mereka memberitahu The Malaysian Insight semalam mereka bersetuju untuk melantik peguam bagi berurusan dengan pihak pengurusan pusat tahfiz itu.

Noor Azizan Abdul Aziz yang kehilangan anak lelakinya berumur 16 tahun dalam kebakaran itu berkata mereka mahu tahu cerita sebenar daripada pengetua Mohd Zahid Mahmood.

“Kami hendak cerita daripada (pengetua) ustaz Zahid. Apa yang berlaku dia tahu. Sekurang-kurangnya beritahulah kami.

“Tiada wakil tahfiz datang berjumpa kami. Kami ini buntu dan terumbang-ambing. Sekarang ini katanya dia tak boleh bagi kenyataan mungkin polis tidak bagi kenyataan, tapi sekarang ini bukan pada orang lain tapi pada kami (keluarga) saja.

“Walaupun sudah lantik peguam, kami sama-sama setuju bukan untuk mendakwa tetapi untuk mencari keadilan dan menuntut hak kami,” katanya selepas mendengar taklimat penasihat undang-undang dan peguam dalam satu perjumpaan tertutup petang semalam di Kuala Lumpur.

Bapa kepada mangsa Muhammad Taufik Hidayat itu turut memaklumkan waris pelajar yang terbunuh tidak mendapat sebarang sumbangan yang diterima oleh pusat tahfiz berkenaan. 

“Sehingga ini, tiada maklumat. Sumbangan apa yang pusat tahfiz dapat, bukan kami hendak sangat tetapi kami kena tahu ia diagihkan macam mana.

“Orang sedih sebab apa, sebab anak-anak yang mati bukan sebab bangunan itu terbakar. Ada cari waris sendiri untuk bagi sumbangan dan kita pun beri nama.

“Bukan kita nak sangat pun (duit) tetapi sekurang-kurangnya ia dapat bantu apa-apa untuk persediaan pada kami. Untuk kubur dan lain-lain. Hari itu saya tanya ustaz Zahid apa cerita kepuk dengan batu nisan. Sampai sekarang tiada cerita lagi,” katanya.

Zahid yang juga Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA) memberitahu akhbar The Star kelmarin pusat tahfiz itu menghimpunkan sumbangan sehingga RM1 juta dan berhasrat mengagih-agihkannya kepada waris mangsa.

Azizan berkata lantikan peguam itu adalah untuk membuka jalan perbincangan secara baik dan bukannya untuk mengambil tindakan mahkamah.

Kecewa

Sementara itu, Burhan Abdul Manan, bapa kepada seorang pelajar yang terselamat, kecewa dengan cara pihak pengurusan mengendalikan musibah tersebut.

Burhan Abdul Manan bersama anaknya yang terselamat dalam kebakaran itu kecewa dengan cara pihak pengurusan mengendalikan musibah berkenaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 September, 2017.

Beliau kini bersendirian memberi ruang kepada anaknya Danial untuk pulih daripada trauma yang dialami selepas kebakaran itu. 

“Apabila berlaku kebakaran, pihak madrasah tiada pun memaklumkan kepada waris mengatakan madrasah itu terbakar. Anak saya pinjam telefon orang untuk beritahu saya.

“Sampai ke hari ini pun, waris pelajar yang terselamat tak dapat panggilan daripada mudir (pengetua) apa perkembangan yang selanjutnya. Ini sudah masuk tujuh hari. Saya hendak hantar ke mana-mana sudah tawar hati.

“Anak saya sekarang trauma. Saya pun tidak tahu dia hendak belajar di mana selepas ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Borhan berkata apa saja berita mengenai kebakaran itu dan perkembangan susulannya sehingga ini, seminggu selepas kejadian, beliau dapat tahu daripada media, dan bukannya daripada pihak pengurusan pusat tahfiz itu.

“Saya dengar semuanya pun daripada berita media. Cerita dari surat khabar mengenai derma saja,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi waris yang enggan dinamakan mempersoalkan ciri keselamatan bangunan tersebut.

“Ciri-ciri keselamatan (bangunan) tiada, sekuriti tiada dan pemadam api pun tiada. Prihatin pada mangsa pun tiada.

“Kini saya tak boleh langsung tengok bangunan itu. Berita apa semua saya takut nak tahu. Anak saya juga trauma,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamatan Malaysia Wan Mohd Nor Ibrahim semalam mendedahkan kebakaran pusat tahfiz di Kampung Datuk Keramat itu berpunca oleh api dicucuh menggunakan petrol yang disimbah pada beberapa bahagian bangunan itu.

Petrol itu disimbah pada pintu, rak penyangkut tuala, rak kasut dan dinding berdekatan pintu masuk bilik asrama di tingkat tiga bangunan sementara pusat pelajar itu.

Kebakaran itu membunuh 21 pelajar dan dua guru warden asrama. Hampir semua mangsa ditemui dalam keadaan rentung terbakar. – 22 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen