Undang-undang internet akan dipinda susulan kes remaja bunuh diri


Sheridan Mahavera

UNDANG-undang yang mengawal penggunaan internet akan dipinda, kata menteri susulan kes seorang remaja bunuh diri selepas dipengaruhi oleh pengikut di akaun media sosialnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 akan dipinda untuk mengatasi dan mengelakkan kejadian sama yang berlaku di Padawan, Sarawak semalam berulang.

Kenyataan menteri itu adalah berikutan gesaan masyarakat umum yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengikut di akaun Instagram mangsa yang didakwa mendorong remaja perempuan itu membunuh diri.

“Saya dimaklumkan polis sedang menyiasat perkara itu dan saya memberitahu SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia) untuk berhubung dengan mereka. Sebaik sahaja kita mendapat maklumat, SKMM sedia membantu pihak polis,” kata Gobind kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Mel Nasional Pos Malaysia di Shah Alam malam tadi.

“Pada masa yang sama kita akan melihat bagaimana Akta Komunikasi dan Multimedia boleh dipinda bagi mengatasti masalah ini dan saya pernah menyatakan bagaimana untuk mengatasi buli siber sebelum ini,” tambahnya.

“Jadi ini adalah sesuatu yang kita perlu lihat dan cuba bertindak. Saya akan mengadakan pertemuan dengan SKMM dan bincangkan bagaimana untuk mengatasi isu seperti ini di masa akan datang.”

Remaja terbabit diaporkan terjun dari bangunan pada malam Isnin beberapa jam selepas beliau bertanya di akaun Instagramnya sama ada dirinya patut hidup atau mati.

Sebelum meninggal dunia, remaja terbabit memuat naik undian yang menyatakan: “Sangat Penting, Tolong Saya Pilih D/L”.

“D” membawa maksud mati dan “L” hidup. Undian itu, yang tidak lagi ditemui di akaun Instagramnya, menyaksikan 69% mengundi D. Beberapa jam selepas undian itu dimuat naik, remaja terbabit ditemui mati.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gelugor yang juga pengerusi biro undang-undang DAP Ramkarpal Singh turut menggesa pihak polis untuk menyiasat mereka yang mengambil bahagian dalam undian itu dan mengundi untuk remaja terbabit membunuh diri kerana melakukan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan kerana membantu dan bersubahat dalam jenayah.

Gobind berkata, SKMM juga akan melihat sama ada tindakan yang dilakukan pengguna di akaun Instagram remaja terbabit boleh ditafsirkan sebagai kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Tambahnya, kementerian dan SKMM masih belum memutuskan sama ada untuk menghubungi wakil Facebook Malaysia, yang merupakan pemilik Instagram berhubung insiden itu.

Pada masa yang sama, Gobind turut menggesa media menggunakan budi bicara maksimum dalan laporan mereka berhubung insiden memandangkan ia perkara sensitif kepada keluarga yang terlibat.

“Terdapat juga aduan mengenai laporan media yang membuat liputan insiden berkenaan. Kit aperlu faham ramai yang terlibat secara langsung dan kita perlu mengambil langkah agar mempertimbangkan pandangan dan perasaan mereka.

“Saya akan bercakap lebih lanjut mengenai perkara ini di masa akan datang tetapi sebagai peringatan (kepada media) dalam kes seperti ini, sila gunakan budi bicara.” – 16 Mei, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen