Siasat akaun media sosial remaja bunuh diri, kata Ramkarpal


PIHAK berkuasa perlu menyiasat akaun media sosial remaja bunuh diri dan keadaan yang menyebabkan remaja itu bertindak sebegitu, kata peguam DAP Ramkarpal Singh.

Pengerusi Biro Undang-Undang Nasional DAP itu berkata ia perlu untuk menghalang salah guna media sosial berlaku.

Desakan Ramkarpal itu dibuat selepas kes bunuh diri remaja perempuan 16 tahun di Batu Kawah, Sarawak, yang menulis hasratnya untuk membunuh diri di Instagramnya sebelum bertindak demikian.

Remaja berkenaan membuat pengundian, dan tindakan mahu bunuh diri itu disokong 69% pengikut media sosialnya.

Ramkarpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor berkata, walaupun masih terlalu awal untuk memastikan kejadian sebenar, ada kemungkinan remaja berkenaan berdepan tekanan sehingga bertindak bunuh diri.

Beliau juga mempersoalkan sekiranya tragedi itu boleh dielak sekiranya pengikutnya berjaya memujuk remaja itu daripada meneruskan rancangan bunuh dirinya.

“Saya tidak faham bagaimana ada orang yang boleh menyokong perkara ini. Banyak persoalan timbul daripada kejadian malang ini.

“Adakah remaja tersebut akan hidup lagi sekarang sekiranya majoriti pengikut akaun Instagramnya memujuknya daripada membunuh diri?

“Adakah beliau akan mengikut nasihat pengikut (media sosialnya) untuk meminta bantuan profesional sekiranya mereka memintanya berbuat demikian? Adakah galakan pengikut (media sosialnya) benar-benar mempengaruhi keputusannya untuk bunuh diri?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Disebabkan persoalan tersebut, Ramkarpal berkata kes remaja tersebut tidak wajar diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tanpa siasatan lanjut.

Beliau memberikan contoh kes di Amerika Syarikat pada 2017, apabila seorang lelaki membunuh diri selepas menerima galakan daripada teman wanitanya.

Wanita berkenaan, Michelle Carter, didapati bersalah kerana membunuh tanpa niat dan dipenjara dua setengah tahun.

“Saya tak kata kejadian ini serupa dengan kes Carter tetapi siasatan perlu dijalankan untuk mengetahui kejadian sebenar.

“Penting untuk kejadian seperti ini tidak berulang di masa depan, dan perkara ini perlu disiasat dengan teliti dan tidak dianggap sebagai kes terasing.

“Memandangkan bunuh diri adalah kesalahan jenayah di negara ini, subahat dalam tindakan bunuh diri mungkin juga jadi jenayah,” katanya lagi. – 15 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen