Remaja bunuh diri, polis digesa siasat pengguna media sosial


Desmond Davidson Ragananthini Vethasalam

Penduduk Sarawak menggesa polis untuk menyiasat dan mendakwa pengguna Instagram yang didakwa menyebabkan remaja 16 tahun membunuh diri pada malam Isnin lalu. – Gambar EPA, 15 Mei, 2019.

PENDUDUK Sarawak menggesa polis untuk menyiasat dan mendakwa pengguna Instagram yang didakwa menyebabkan remaja 16 tahun membunuh diri pada malam Isnin lalu.

Majoriti pengikut remaja berkenaan memberi respons dalam tinjauan di Instagram menyuruh remaja itu memilih mati berbanding hidup.

Ahli politik dan aktivis hak asasi negara Lina Soon bertanya, apa sudah jadi dengan masyarakat hari ini merujuk kepada jumlah 69% reaksi pengguna media sosial yang menyuruh gadis itu memilih kematian.

“Kemurungan adalah penyakit. Remaja itu memerlukan bantuan professional,” katanya.  

Pemimpin DAP Abdul Aziz Isa juga meminta polis menyiasat pengguna Instagram dan mendakwa mereka di bawah Seksyen 306 Kanun Keseksaan kerana membantu dan bersubahat membunuh diri.

Jika didapati bersalah, di bawah seksyen ini mereka akan dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Untuk mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mendadak pada peringkat ini mungkin bukan keputusan yang tepat tanpa penyiasatan lanjut,” katanya.

Aziz yang juga pembantu Ketua Pakatan Harapan Sarawak Chong Chieng Jen berkata, sejak percubaan membunuh diri menjadi salah satu kesalahan di negara ini, bersubahat  juga menjadi satu kesalahan.

Polis Padawan yang sedang menyiasat kematian gadis yang terjun dari tingkat tiga pangsapuri di MJC Batu Kawa tidak lagi memberikan maklumat terkini mengenai siasatan atas permintaan keluarga.

Ketua Polis Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata, keluarga mangsa meminta pihaknya tidak berkongsi berkenaan kes itu.

Polis menemui tinjauan Instagram gadis itu di telefon bimbitnya berbunyi: “Penting, Bantu Saya Pilih D / L”.

Aidil dalam satu kenyataan semalam menyatakan bahawa menurut seorang sahabat mangsa, D / L bermaksud Death / Life.

Undian itu dilaporkan dibuat beberapa jam sebelum dia terjun dari unit yang disewa bersama ibunya.

Sementara itu, pengguna media sosial mengecam mereka yang memilih kematian dalam undian berkenaan. – 15 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen