Sekolah pelbagai aliran bukan punca kurang perpaduan, kata Maszlee


Nabihah Hamid Ragananthini Vethasalam Andrew Chin

Sekolah bukan satu-satunya faktor perpaduan, ekosistem negara perlu menyeluruh menyemai nilai perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2019.

SEKOLAH pelbagai aliran bukan punca kurangnya semangat perpaduan dalam masyarakat, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, kalau semangat kasih sayang dan hormat menghormati sesama manusia diterapkan dalam pendidikan.

Katanya, perpaduan boleh dipertahankan jika masyarakat berbilang kaum di Malaysia ada nilai kasih saya dan menghormati antara satu sama lain.

Menurut Maszlee, beliau sedar ada pandangan bahawa perpaduan hanya dapat dicapai sekiranya Malaysia mengamalkan hanya satu aliran sekolah iaitu sekolah kebangsaan tetapi itu bukan satu-satunya pendapat yang ada.

“Ada yang mengatakan kalau sekolah pelbagai aliran pun (dilaksanakan) di negara lain, masih boleh bersatu. Jadi banyak pendapat dan kita ambil maklum semua (pandangan),” katanya dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, baru-baru ini.

“Bagi pihak pendidikan kita sentiasa menyemaikan konsep-konsep perpaduan agar dapat dihayati oleh semua rakyat.

“Untuk tujuan sedemikian kita menggalakkan banyak aktiviti kurikulum dan kokurikulum agar dapat menyatukan berbilang bangsa, agama dan sekolah daripada pelbagai aliran,” katanya.

Maszlee menjawab soalan kenapa sistem pendidikan masih gagal jadi alat penyatuan meskipun 50 tahun selepas peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

Beberapa pertubuhan Melayu dan badan lain sehingga ini lantang mendesak kerajaan menghapuskan sekolah jenis kebangsaan dan mewajibkan semua murid didaftarkan di sekolah kebangsaan.

Hanya nilai dan semangat perpaduan boleh mewujudkan perpaduan, sekolah hanya salah satu medium, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Mei, 2019.

Mereka juga lantang mahu kerajaan memperkukuhkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan menolak pemakaian Bahasa Inggeris sebagai aliran di sekolah kebangsaan.

Pihak lain pula berpendapat, menggunakan hujah sama terhadap sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah aliran agama yang seratus peratus disertai pelajar Melayu dan Islam juga dilihat menghambat perpaduan.

Sekolah Wawasan yang diperkenalkan pada tahun-tahun akhir Dr Mahathir Mohamad jadi perdana menteri kali pertama dulu sehingga ini bukan juga jaminan perpaduan sekolah pelbagai aliran kerana pelaksanaannya yang lemah.

Dr Mahathir dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight pada Ogos tahun lalu berkata cita-cita perpaduan Bangsa Malaysia hanya jadi mimpi jika rakyat tidak menerima idea itu.

Menurut Maszlee, sekolah dan institusi pendidikan secara amnya bukanlah satu-satunya ruang untuk memupuk perpaduan. Katanya, seluruh rakyat bertanggungjawab untuk bersama-sama mewujudkan satu ekosistem yang mendorong ke arah perpaduan.

“Memang dalam pendidikan kita berhasrat untuk menyatukan rakyat tetapi sekolah dan universiti bukan satu-satunya institusi dalam usaha kita menyatu padukan rakyat.

“Kita perlu juga dukungan dan bantuan daripada institusi dan agensi lain. Kita lihat perlu wujudnya ekosistem yang mewujudkan suasana perpaduan itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, ditanya harapannya untuk pendidikan Malaysia bagi jangka panjang, Maszlee berkata beliau mahu budaya membaca diterapkan dalam masyarakat.

“Kita mensasarkan Malaysia untuk jadi negara membaca pada 2030. Kita tahu membaca merupakan kunci kepada ilmu. Membaca akan menjadikan masyarakat lebih terdidik, berpengetahuan.

“Masyarakat berpengetahuan boleh berbincang sesama sendiri dengan lebih bertamadun. Mereka akan boleh saling memahami. Walau bagaimanapun, bila mereka menjadi semakin berilmu semata-mata tetapi tidak ada unsurnya manusiawi itu tidak cukup.

“Sebab itu dalam pendidikan kita menekankan konsep nilai,” katanya. – 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Memang benar. Mengenai konsep nilai, dukacita ia telah kehilangan. Mana nilai berdisiplin di sekolah? Kalau tiada disiplin diri, macam mana akan ada nilai-nilai lain?

    Dimuat naik 4 tahun yang lalu oleh Ravinder Singh · Ulasan