Sekolah Wawasan: Konsepnya baik, pelaksanaan gagal


Mohd Farhan Darwis

Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Onn Jaafar antara tiga Sekolah Wawasan di Subang Jaya yang bertujuan memupuk semangat perpaduan antara pelajar dari aliran berbeza. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 September, 2018.

SEKOLAH wawasan bukan jaminan pelajar yang berbilang kaum akan bergaul sesama mereka kerana pelaksanaannya yang lemah menggagalkan konsep dan idea Dr Mahathir Mohamad, semasa beliau jadi perdana menteri kali pertama dulu.

Sekolah wawasan bertujuan menyatupadukan pelajar berbilang kaum dari aliran sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan dengan menempatkan sekolah-sekolah itu di kawasan yang sama, berkongsi kemudahan yang sama.

Di Sekolah Wawasan USJ 15 di Subang Jaya, Selangor, yang menempatkan tiga sekolah –  Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Onn Jaafar, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Tun Tan Ceng Lock and SJK Tamil Tun Sambanthan – murid-muridnya lebih selesa bercampur dengan rakan-rakan dari sekolah yang sama.

Ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah wawasan juga mengakui konsep tiga sekolah berkongsi kawasan dan kemudahan yang sama itu dari segi ideanya murni untuk memupuk perpaduan, namun realitinya tidak begitu.

Rahim Bashir, 50, yang empat anaknya bersekolah di SK Dato’ Onn berkata pelajar di tiga sekolah itu tidak bercampur antara satu sama lain sebaliknya lebih senang bersama kawan-kawan dari sekolah yang sama.

“Kalau setakat jumpa bila waktu rehat, makan-makan, kemudian habis sambung belajar (di sekolah masing-masing), mereka tak bercampur sesama mereka,” kata Rahim, seorang usahawan.

“Walaupun berkongsi waktu rehat yang sama rehat tapi mereka tak bercampur, bersembang pun tidak… memang satu tempat tapi tiga tempat (sekolah) asing-asing, tak boleh lawan (tanding) sekolah kebangsaan juga.

“Tujuan Dr Mahathir memang bagus, tapi kalau tanya saya, objektifnya tak tercapai,” tambah Rahim.

Idea Sekolah Wawasan diilhamkan oleh Dr Mahathir pada 2002 ketika menjadi perdana menteri buat kali pertama. – Gambar EPA, 16 September, 2018.

Sekolah Wawasan USJ15 dibuka pada 2002, lebih kurang setahun sebelum Dr Mahathir bersara sebagai perdana menteri.

Tiga sekolah itu berkongsi kemudahan seperti dewan, kantin dan padang dengan tetapi mempunyai pejabat pentadbiran masing-masing.

Tamil Selvam, 47, yang menghantar anaknya ke SJKT di Komplek Sekolah Wawasan USJ15 itu juga mengaku aktiviti dan acara yang berbeza tidak menyumbang kepada idea perpaduan yang diharapkan oleh Dr Mahathir.

“Sambutan Hari Merdeka mereka berkumpul sama-sama, tapi kemudian berpisah ikut sekolah masing-masing bila acara persembahan,” kata beliau, yang lima anaknya bersekolah di SKJT Tun Sambanthan.

Beliau bagaimanapun mengaku idea sekolah wawasan sebagai sebuah konsep untuk memupuk perpaduan, sekiranya muridnya bercampur bersama, pandangan yang juga dikongsi oleh Rahim.

“Tujuan asalnya bagus, tapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan, untuk dapat betul-betul bersatu,” katanya.

“Macam tidak ada persefahaman (antara pelajar tiga sekolah), perkauman ada sikit-sikit, tak boleh bersatu walaupun kantin satu.

“Saya tahu sebab anak saya cakap sendiri, perkauman itu ada. Satu kelompok akan bersama kelompok mereka sendiri,” tambahnya.

The Malaysian Insight membuat tinjauan ke Sekolah Wawasan USJ15 selepas Dr Mahathir dalam wawancaranya berkata idea Bangsa Malaysia hanya tinggal mimpi jika rakyat tidak sama-sama memainkan peranan untuk bersatu padu.

Konsep belajar bersama dalam kawasan yang sama tanpa mengira kaum dan agama itu bertujuan memupuk semangat integrasi antara murid dari sekolah pelbagai aliran. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 September, 2018.

Perdana Menteri memberi contoh pelaksanaan sekolah wawasan yang terbantut selepas beliau bersara pada 2003.

Konsep Bangsa Malaysia diutarakan oleh Dr Mahathir dalam ucapannya mengenai masa depan Malaysia pada Februari 1991, ucapan yang dikenali sebagai Wawasan 2020.

Pemerhatian The Malaysian Insight di sekitar Kompleks Sekolah Wawasan USJ 15 juga mendapati murid ketiga-tiga sekolah itu lebih senang bergaul dengan dengan murid-murid dari sekolah yang sama, bermain dan berbual bersama.

Sekolah Wawasan USJ15 adalah antara lima sekolah seumpamanya yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan sejak 2002, masing-masing sebuah di Alor Setar, Kedah dan Simpang Ampat, Pulau Pinang serta dua buah di Perak, di Parit Buntar dan Seri Manjung.

Sekolah dengan konsep belajar bersama dalam kawasan yang sama tanpa mengira kaum dan agama itu bertujuan memupuk semangat integrasi antara murid dari sekolah pelbagai aliran.

Sementara itu, bekas ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), Anas Zubedy melihat idea sekolah wawasan berpotensi dikembangkan.

“Mereka (Pakatan Harapan) baru ambil alih (kerajaan), mungkin ambil masa untuk mereka audit. Objektif sekolah wawasan memang bagus, kalau lebih banyak sekolah wawasan lagi bagus.

“Kita serahkan kepada (Menteri Pendidikan) Dr Maszlee (Malik), biar mereka beri perhatian. Lagipun bukan senang nak buat sekolah wawasan, ada kriteria, lokasi dan sebagainya,” katanya.

“Saya suka sekolah wawasan, kalau boleh diberi lebih perhatian dan bajet memang elok.” – 16 September, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen