Maszlee kata banyak kementerian buat tetapi orang hanya ingat kasut hitam


Nabihah Hamid Ragananthini Vethasalam Andrew Chin

Banyak perubahan besar dibuat kementerian, tetapi yang orang ingat hanyalah kasut hitam, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 12 Mei, 2019.

SELEPAS hampir setahun jadi menteri dan membuat beberapa keputusan penting untuk pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik tidak faham kenapa beliau terus dicap dengan keputusan awalnya menukar pemakaian kasut hitam sebagai kasut sekolah.

Sebulan selepas dilantik menteri, Maszlee mengumumkan pelajar sekolah diberi kebenaran memakai kasut hitam. Pengumumannya itu dikecam banyak pihak yang menuduh beliau salah fokus dan terlalu memberi tumpuan pada isu remeh temeh.

Di Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu malah digelar “menteri kasut”. Bekas perdana menteri Najib Razak yang juga bekas menteri pendidikan berulang kali menyindir Maszlee kononnya tidak ada pandangan jauh tentang pendidikan.

Episod itu sedikit pun tidak mematahkan semangat bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ini untuk membetulkan sistem pendidikan yang pincang.

“Hampir setahun (juga) orang berkata mengenai zero reject policy (dasar tiada murid tercicir), (tentang) pindaan Akta Universiti dan Kolej (Auku) mengenai pemilihan kampus pertama selepas setahun.

“Kita juga telah memansuhkan sistem peperiksaan dengan lebih banyak lagi nilai komprehensif untuk pelajar. Mereka bercakap mengenai banyak perkara,” katanya, merujuk pada beberapa keputusan besar sejak setahun yang lalu.

“Tetapi jika mereka masih terikat dengan isu kasut hitam, saya tidak pasti apa yang tidak kena pada mereka atau mungkin pada media juga kerana tidak boleh melihat skop yang lebih besar.

“Suatu hari nanti mereka (yang mengkritik) akan berterima kasih selepas melihat hasilnya pada anak mereka,” kata Maszlee dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun faham bahawa kutukan terhadapnya adalah resam dalam politik.

“Ahli politik tetap ahli politik. Mereka (pembangkang) tidak akan bercakap baik tentang saya,” katanya.

“Lihat saja di Parlimen, apa yang mereka minat hanyalah isu perkauman dan agama.

“Bagi kita, kita hendak bangunkan dan selamatkan negara dan bantu rakyat. Anda boleh lihat pencapaian dan banyak lagi perkara boleh diperkatakan,” tambahnya.

Maszlee menyebut misalnya suasana di universiti yang lebih terbuka sekarang berbanding di bawah pentadbiran Barisan Nasional (BN). Beliau menyebut juga usaha keras pihaknya memastikan tiada pelajar yang tidak terpinggir dalam pendidikan.

“Ia (pendidikan) adalah satu perkara inklusif… pendidikan untuk semua. Jadi anda boleh panggil saya menteri pendidikan untuk semua,” katanya lagi, menjawab gelaran “menteri kasut” yang dicap sesetengah pihak padanya.

Dengan berseloroh, Maszlee juga berkata kenapa beliau tidak digelar “menteri kebebasan” atau “menteri universiti” atas perubahan-perubahan yang dilakukannya untuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Dalam tempoh setahun lalu, Kementerian Pendidikan di bawah pimpinan Maszlee juga berjaya menaik taraf 60% sekolah daif, memberi peluang pendidikan lebih baik kepada pelajar dari keluarga miskin berpendapatan rendah B40, serta mengurangkan 30% beban tugas guru.

Ditanya bagaimana beliau menilai prestasi dirinya sendiri dalam skala 1 hingga 10, Maszlee berkata biarlah rakyat menilai beliau dan pasukannya yang baru “setahun jagung”.

“Saya rasa tidak adil untuk kita menilai diri sendiri. Arwah abah saya juga berpesan supaya jangan masuk bakul angkat sendiri. Jadi kita serahkan kepada rakyat untuk menilai,” katanya. – 12 Mei, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen